Home Novel Cinta Bukan Suami Biasa
Bab 37

Majlis yang menyakitkan


"Hai, boleh saya duduk sini", kata seorang wanita muda. Cantik orangnya. Berbaju merah hati, bertudung hitam. 


Tadi apabila sampai sebelum majlis dia mahu duduk di belakang. Al Hadi perlu duduk di meja sebelah pengurusan tertinggi dan dia tidak mahu. Akhirnya, Al Hadi beralah dan membiarkan dia duduk di belakang bersama kakitangan yang lain.


Boleh", jawab Sarah sepatah. Dia tidak mahu bercakap banyak. Apabila terlalu banyak, nanti banyak pula yang salah. Begitulah dilema penghidap bipolar seperti dia. Mudah terlepas cakap dan nampak narcissistic


"Saya, Aina. Akak?"


"Saya Sarah". 


"Akak staff sinike?" 


"Eh, tak..teman husband".


"Oh, kenapa tak duduk sebelah husband?"


"Tak naklah. Segan." 


"Oh.."


Sarah tidak lagi menjawab selepas itu. Biarlah apa yang mahu difikirkan oleh wanita itu. Pelik? Biarlah.


"Dijemput pengarah program malam ini, untuk menyampaikan sepatah dua kata, Encik Al Hadi Bin Abdullah, penolong pengurus besar, pengurusan acara dan latihan, bahagian sumber manusia, KMI Engineering Berhad". Suara pengerusi majlis memecah lamunan Sarah. Oh, tinggi juga jawatan Al Hadi. Satu level lagi untuk naik pengurus besar. Dan dia masih seorang ejen takaful dan wasiat cabuk yang bertarung dengan bipolar untuk survive. Melihat kakitangan KMI ini juga membuatkan dia rendah diri. Self-esteemnya jatuh di tempat paling rendah. Justeru, dia tiada lagi keyakinan diri untuk berdiri di samping Al Hadi. 


Selepas tamat semua ucapan, acara seterusnya adalah presentasi multimedia untuk inisiatif terbaru bahagian sumber manusia, KMI. Sarah ralit menontonnya. Sungguh dia sebenarnya suka menonton presentasi multimedia. Dengan wajah teruja, Sarah menepuk tangan seusai tamat persembahan itu. Terasa bahunya disentuh, dia menoleh. Kelihatan Al Hadi yang segak dan berkarisma menunduk setentang wajahnya sambil tersenyum. 


"Jom, abang nak kenalkan dengan bosses"


"Tak payahlah. Tak nak".


"Eh, jomlah. Please. Abang tak pernah kenalkan wife abang."


"Encik Al Hadi, tahniah program malam ini. Memang best!"


"Thank you"


Mata Aina beralih kepada genggaman tangan Al Hadi yang cuba menarik Sarah dan sebelah tangan lagi di bahu Sarah. Siapa perempuan ini kepada Encik Al Hadi?


"Oh, kenalkan isteri saya, Sarah".


"Oh I see, baru saya tahu kakak ni isteri encik. Tadi dah kenal-kenal dah."


"Jom, sayang", ajak Al Hadi lagi. Sarah akhirnya bangun dalam keterpaksaan. Tidak mengapa, sekejap saja, senyum, salam, angguk-angguk. Itu saja. Sarah mencari keyakinan dirinya. Sarah mengikut Al Hadi ke meja pengurusan tertinggi. Seorang demi seorang Al Hadi pergi. Entah apa motif Al Hadi dia pun tidak pasti. Mata kakitangan KMI banyak bertumpu kepada dia. Ada yang riak terkejut. Ada yang senyum. Mengapa? 'Tolong jangan tengok aku'. Dalam keadaan begini, Sarah boleh anxious. Sarah jadi panik. Sarah perlu keluar dari tempat ini. Nafasnya makin sesak.


"Abang, Sarah nak pergi toilet"


"Okay, abang tunggu sini ya. Nak abang teman?"


"Tak perlu. Sarah okay".


Sarah duduk di lobi resort menenangkan diri. Tadi dia berbohong dengan suaminya. Katanya mahu ke tandas sebenarnya mahu keluar dewan. Ya, dia tidak mahu suaminya risaukan dia. Al Hadi sangat sibuk malam ini. Biarlah dia selesaikan tugasannya. Dia, biarlah dia bertenang sendiri. Ini coping skill yang dipelajari. Apabila rasa sesak dengan suasana sesak dan bising, keluar sebentar.


Tiba-tiba di belakangnya ada sekumpulan wanita datang dan duduk sambil minum kopi. Mereka seperti kakitangan KMI. Nampak seperti Aina yang baru dikenalinya tadi dan rakan-rakannya. Tapi mereka tidak perasan keberadaan Sarah di situ. Baguslah. Memang dia mahu shut down dari manusia. Dia mahu bertenang.


"Wey, melepas kau Nana"


"Apsal pulak?"


"Aku duduk sebelah wife Encik Al Hadi tadi. Kau bukan nak tackle dia ke?. Dah kahwinlah pulak. Hahaha"


"Tulah, aku nampak tadi masa dia bawa wife dia jumpa top management. Aku ingat dia single and available. Rupanya dah kahwin. Nasib tak mula langkah lagi. Hahaha. Tapi, dia masih single and available. Ada tiga tempat kosong lagi, okay", jawab wanita yang dipanggil Nana.


"Huish, jangan Nana, suami orang tu. Tapi, aku tengok wife dia tu macam pendiam, macam sombong pun ya juga. Muka biasa-biasa je. Kau lagi cantik. Tapi, tengok Encik Al Hadi, dia bukan jenis kaki perempuan. Itu jenis kaki masjid. Aku rasa kau tak ada harapan", kata Aina. Ya mungkin Aina.


"Belum cuba belum tahu, tengok kakilah", jawab Nana.


Sarah cuba menyembunyikan diri di sebalik ketinggian sofa. Tidak lama wanita-wanita itu bangun dan masuk semula ke dewan. Tinggallah Sarah di situ. Marah, kecewa, sedih bergaul menjadi satu. Ya, nampak benar dia bukan orang yang sesuai dengan Al Hadi. Perlukah dia pergi meninggalkan Al Hadi sekali lagi?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ummu Ilham