Home Cerpen Fantasi MONOKROM
MONOKROM
FATTAH MOHA
30/8/2017 21:11:37
1,865
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Tahun 2030

Kuala Lumpur, Malaysia


Aku tersentak apabila bunyi dentuman yang kuat menerobos indera telingaku. Spontan, mataku terbuntang dan terus terpaku ke arah siling kaca rumahku yang bergegar. Aku terpempan di atas katil apabila sebuah jet besar melintasi bumbung rumahku.

Apa yang sedang terjadi?

Awan hari ini tidak seperti kebiasaan. Maksudku, ia bukan dua serampang kombinasi warna yang selalu dilihat - sebaliknya monokrom. Selama 26 tahun aku hidup di Bumi, belum pernah lagi aku mengalami peristiwa ini. Fenomena alam mungkin? 

Aku bingkas berdiri dari pembaringan dan terkulat-kulat keluar dari rumahku. Segala macam benda yang kulihat berwarna monokrom, termasuk tanganku sendiri.

Ini memang gila.

Apa yang aku sedang saksikan benar-benar buat jantung aku berdegup kencang. Sebuah kepala Mickey Mouse gergasi yang bergigi tajam sedang ‘gembira’ mengejar sekumpulan manusia. Sesekali, aku lihat seseorang terkandas lantas terus diratah. Sebuah vakum gergasi yang kuanggarkan berukuran 20 kaki sedang ralit menyedut orang-orang yang berkeliaran lari. Air liur yang kutelan terasa kelat.

PANG!

Tersentak dari lamunan, pipi kananku terasa sakit. Saat aku pandang ke kaki, sepasang selipar biru terlompat-lompat mahu mendapatkan aku. Bengang, aku tendang kuat selipar itu dan terpelanting jauh ke hadapan. Ia tidak bergerak lagi dan aku fikirkan bahawa dia sudah ‘mati’ dek tendangan padu aku.

Belum sempat aku menarik nafas lega, terdengar bunyi kibasan yang kuat dari kejauhan. Ketika aku melirik ke hadapan, sebilah kipas sedang mendesup ke arah aku. Panik, aku berlari melintasi ruang tamu, dapur dan diakhiri dengan pintu belakang rumahku. Kibasan itu masih galak mengejar aku tanpa isyarat untuk melencong ke arah lain.

DUP!

Aku tersembam ke tanah. Ibu jari kakiku terasa begitu sakit akibat tersadung objek yang keras - mungkin batu. Desupan angin dari kipas itu jelas terasa saat ia melintasi belakang badanku. Aku menarik nafas lega. Lambat sesaat saja, tubuh pemberian Tuhan ini boleh terputus dua.

Di hadapanku sekarang, terdapat deretan banglo yang tersergam indah. Sebatang pokok yang rendang di sebelah Timur menarik perhatian aku untuk berehat di bawah teduhnya. Dengan nafas yang tercungap-cungap, aku berjalan ke pokok itu dan bersandar. 

Peluh yang merenik di dahi aku kesat perlahan. Bajuku lencung dan kotor dengan kesan tanah. Aku mengeluh.

Aku benci pada kekotoran.

Kelopak mata aku cuba tutup walaupun bunyi dentuman dan jeritan di sekeliling semakin galak terdengar di cuping telinga.

“Riz! Rizvan!”

Sayup-sayup namaku dipanggil dari kejauhan. Aku mengamati gerak tubuh dua figura manusia yang sedang melambai-lambai ke arahku dari jarak kira-kira 100 meter. Skeptis, aku perlahan-lahan berdiri dan berjalan ke arah mereka.

Kemudian langkahku terhenti.

“Vincent! Rajah!”

***

“Begitulah ceritanya.”

Aku memandang Vincent, skeptikal. Rajah yang duduk di sebelah aku, mengangguk.

“Betul lah cerita yang Vincent beritahu kau tu. Kau fikir kita orang ada masa ke nak tipu kau sekarang ni? Ayoo.”

“Maksudnya semua ni berlaku sebab website Wonderfuture tu lah? Memang bijak pandai betul pencipta website tu siap boleh tukar imaginasi orang kepada realiti.” Aku berkerut dahi.

“Itulah kenyataannya,” jawab Rajah.

“Siapa yang buat laman web tu?” soalku.

“Mr Intelect. Tapi dia rahsiakan identitinya daripada pengetahuan orang lain. Aku dah cuba korek maklumat dia, tak berhasil,” balas Vincent.

“Korek maklumat orang lain tanpa bawa kita orang? Kawan jenis apa kau ni? Ayoo!” Rajah berseloroh. Aku dan Vincent ketawa kecil.

“Kau orang nak tahu satu benda tak?”

“Apa dia, Cent?” soal Rajah.

“Website ini hanya boleh diakses di negara Malaysia aje. Jangan tanya aku kenapa, sebab aku sendiri pun tak tahu.” Vincent tersengih memandang aku dan Rajah.

“Itu aku dah tahu. Pokok persoalannya sekarang, macam mana kita nak berjumpa dengan Mr Intelect tu?” soalku, serius.

Let’s make a theory. Aku syak yang Mr Intelect tu ada jantung. Maksudnya kita boleh tusuk aje pisau kat bahagian dada dia,’ ujar Rajah. Jawapan yang tidak relevan bagi soalan yang aku ajukan.

“Aku tak syak yang dia ada jantung.” Vincent bidas pendapat Rajah. Aku pandang Vincent, tertanya-tanya juga kenapa dia kata begitu.

“Kau pernah jumpa dia ke? Ini kan cuma teori aku aje. Manusia hari ni pun kadang perangai macam binatang juga,” gumam Rajah berbaur sinis.

“Ya, memanglah cuma teori kau. Tapi, takkan manusia boleh ubah dunia pula?”

“Tak mustahil,” celahku.

“Entah entah dia robot ke, apa ke. Who knows?”

Sunyi.

Aku tersenyum.

“Kita lawan aje Mr Intelect tu dengan semangat yang kita ada.”

Mereka saling berpandangan sebelum mengangguk tanda setuju.

***

Aku tiba di hadapan bangunan KLCC. Letihku masih bersis dek bertarung dengan benda-benda gila ketika dalam perjalanan ke sini. Dari luar, bangunan berkembar ini masih sama. Tidak ada perubahan walau secoet pun.

“Kau pasti ke Mr Intelect tu ada kat sini?” soal Rajah kepada aku.

“Mungkin,” balasku skeptikal.

“Macam mana kau tahu yang dia ada kat sini pulak?” soal Vincent.

“Teori. Cuba kau orang tengok sekeliling. Ada ke benda gergasi dan aneh yang serang bangunan ni?” soalku.

Vincent menggeleng.

“Sebab itu lah aku syak yang ini tempat persembunyian dia,” balasku.

Aku mara ke hadapan lalu dibuntuti oleh Vincent dan Rajah, memasuki gerbang bangunan itu. Gema bunyi tapak kaki aku, Rajah dan Vincent saling bertingkah di segenap ruang. Aku melilau ke setiap sudut. Semua barangan peniaga masih ada, cuma tidak ada penjaga.

“Riz, aku rasa aku nak terkucil lah. Aku nak gerak ke tandas dulu.” Vincent menepuk bahu aku dari belakang.

“Cepat sikit,” kataku.

Aku teruskan langkah lalu terpandang topeng ‘Anonymous’ yang tergantung di dinding kedai. Topeng itu pernah dipakai oleh Vincent suatu masa dulu.

DUM!

Kali ini aku pasti yang bunyi dentuman itu datang dari dalam bangunan ini, bukan dari luar.

“Apa tu?” soalku.

“Aku tak tahu,” jawab Rajah.

Aku meliarkan pandangan ke kiri dan kanan. Tiba-tiba, bunyi tawa seorang lelaki menerobos indera telingaku. Pantas, aku pusing ke belakang.

“Selamat datang!”

Aku terhumban jauh ke dinding. Kesan tumbukan yang kurasakan padu oleh tangan tak guna itu buat kepala aku sakit dan berdenyut-denyut. Berdiri tidak jauh dari aku, seorang lelaki berpakaian kot makmal sedang mendepangkan tangannya, seolah-olah ‘menyambut’ kedatangan kami bertiga. Dia memakai topeng ‘Anonymous’ yang sudah berkurun-kurun kepopularannya.

“Kau okey tak ni?” soal Rajah yang meluru ke arah aku.

“Aku okey,” balasku sambil berdiri lantas mengesat darah di tepi bibir.

“Jadi kau lah Mr Intelect?” soalku dengan perasaan yang berkobar-kobar.

Figura itu tidak henti-henti ketawa sejak tadi. Lagaknya seperti seorang yang berkuasa penuh ke atas dunia ini. Aku jadi muak mendengar tawanya yang membingitkan telinga itu.

“Oh, rupanya kau dah kenal aku. Ya, akulah Mr Intelect.”

“Atau lebih akrab dipanggil…” Aku lihat lelaki itu membuka topengnya. “Vincent.”

Mataku terbuntang luas. Pada waktu yang sama, aku jadi sangat bengang. Figura manusia yang berdiri di hadapanku ialah Vincent. Topeng yang dipakainya tadi dilontar agak jauh ke tepi.

“Apa yang kau buat ni, Cent?!” soalku bernada tinggi.

“Aku buat apa yang aku suka.”

“Kau ni memang celaka lah!” jerkah Rajah kepadanya.

Vincent memandang Rajah, lalu perlahan-lahan menghampiri aku.

“Aku nak jadi pemerintah kepada negara ni, Riz.”

“Pemerintah? Kau nak gugat kemerdekaan kita ni untuk kali kedua? Rakyat Malaysia jenis apa kau ni?” jerkahku.

“Aku peduli apa semua tu? Yang penting hati aku yang kesepian ni ceria sentiasa!”

Amarahku kian memuncak. Aku menghayunkan tangan kananku sekuat hati dan mengenai mukanya. Vincent tersembam ke lantai. Pantas, aku melutut di atas tubuhnya dan tumbukan demi tumbukan aku berikan.

“Abang!”

Konsentrasiku terganggu apabila terdengar suara kanak-kanak dari gerbang pintu. Aku pandang Vincent yang berkerut dahi melihat Sarah. Vincent pantas menolak aku dari atas tubuhnya dan meluru ke arah Sarah.

“Macam mana Sarah boleh ada kat sini? Abang dah kata kan tadi jangan ikut abang!”

“Sarah cari abang lah! Tadi ada patung beruang besar kejar Sarah. Sarah takut.” Aku lihat Sarah memeluk Vincent.

“Jangan risau, abang ada.” Vincent mengusap lembut rambut adiknya. Aku jadi tersentuh melihat rasa kasih Vincent terhadap Sarah.

“Vincent, kau mesti hentikan semua ni. Kau dah buat adik kau takut,” ujarku kepadanya. Lembut.

“Kau diam lah!”

“Apa hal kau ni, Cent? Riz cakap perkara yang betul! Kau tak layak jadi pemerintah negara ni!”

Vincent memandang tajam raut wajah Rajah. Dia mengesat darah yang mengalir di tepi bibirnya. Aku lihat dia menarik keluar sebilah pisau yang mungkin berukuran 7 inci dari poket kotnya yang besar. Dia meluru ke arah Rajah.

“ARGHHH!”

Aku terdengar bunyi jeritan yang kuat. Saat itu juga, langkah Vincent terhenti. Dia pantas berpaling ke belakang.

Sarah tidak lagi berada di lantai, sebaliknya terawang-awang di udara. Sebuah patung beruang besar sedang melambung-lambung figura Sarah yang longlai, lalu dihempas ke lantai buat beberapa kali. Tubuh Sarah dirobek kasar oleh kukunya yang tajam. Aku kaku melihat keadaan Sarah yang semakin lunyai dikerjakan.

“SARAH!! CELAKA PUNYA PATUNG BERUANG!!”

Vincent meluru ke arah patung beruang gergasi itu. Bersenjatakan pisau tajam yang panjang, dia mengoyakkan kulit patung itu dan menghentamnya bertubi-tubi. Aku lihat mulut Vincent terkumat-kamit menyumpah seranah patung itu. Aku tidak sampai hati membiarkan Vincent bertarung sendirian. Aku menyergah Rajah - dia faham akan isyaratku. Kami berdua meluru ke arah patung itu.

“Jangan kacau aku!” Vincent menjerkah aku dan Rajah sambil dia melibas-libaskan pisau itu. Aku lihat patung beruang besar itu semakin marah dan kesakitan.

“Semua ni masih boleh diubah!” jawabku.

Vincent berhenti melibas pisau tajamnya ke tubuh patung gergasi itu. Dia berpaling ke arah aku lalu tersenyum.

“Ya… ia akan berubah lepas aku tiada nanti.”

Tiba-tiba tubuh Vincent dirangkul pantas dan dijulang tinggi oleh patung beruang besar itu. Vincent meronta sekuat mungkin. Patung beruang besar itu menghempas Vincent ke lantai dan rakus melunyaikan tubuhnya. 

“VINCENT!!”

Aku memandang Rajah dengan isyarat ‘what’s next?’ kepadanya. Kami saling berpandangan.

“Riz, awas!”

Aku lihat tapak tangan gergasi patung beruang itu semakin mendekati aku. Panik menjalar segenap tubuhku, buatkan aku seakan terpaku di lantai bangunan. Saat ini, otak dan anggota tubuhku tidak bekerja sehaluan.

Dengan bibir yang terketar-ketar, aku menutup mata. Menyaksikan sendiri penderitaan yang dialami oleh Sarah dan Vincent sebentar tadi buat aku jadi takut menghadapi getir-getir kematian. Beginikah penamat riwayat aku?

ZUPP!

Keadaan tiba-tiba menjadi sunyi. Aku membuka mata dan terkejut apabila menyedari bahawa tubuhku masih berada di tempat yang sama. Rajah yang berdiri statik tidak jauh dari aku, masih beriak kaget. 

Aku sedar yang figura Sarah dan Vincent tidak terlihat di hadapanku, bahkan di mana-mana sudut pun. Patung beruang besar itu sudah hilang, seiring dengan warna monokrom yang mendominasi kota ini beberapa detik yang lalu. Aku yakin bahawa semuanya sudah kembali seperti sedia kala.

“Rizvan, kita merdeka!”

“Untuk kali keduanya, ya,” jawabku, sayu.

Rajah memeluk aku erat. Air mata jantanku gugur dari kantung mata - Rajah juga sama. Kini aku sedar betapa peritnya hidup dalam keadaan yang huru-hara. Bekas pejuang-pejuang negara yang pernah berhempas pulas untuk memerdekakan Malaysia suatu ketika dulu pasti tak mahu tanah tercinta ini dijajah lagi oleh kuasa pidana.

Saat ini, aku sangat berharap agar Vincent, Sarah dan semua yang terkorban dalam nahas ‘Wonderfuture Disaster’ dapat bernafas lagi. Ya, udara tak akan pernah habis, tapi tidak pada antusias dan cinta kita terhadap negara. Tanpa pengalaman, kita tidak akan belajar dari kesilapan. Maka, belajarlah daripada sejarah dan perit getir kehidupan.

Terima kasih, Vincent.


TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FATTAH MOHA