Home Cerpen Alternatif AKU INGIN MENJADI MIMPI INDAH
AKU INGIN MENJADI MIMPI INDAH
Alfian Mender
31/5/2017 13:18:20
3,036
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

“... dalam tidurmu. Aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau rindu... ” suara itu beralun lembut di tepian cuping telingaku. Lemas aku terbuai dengan kemerduannya. Hilang seketika derita jasadku. 


"Aku ingin kau tahu bahawa ku selalu memujamu..." suaraku dalam hati ikut menyanyi. Mata ku pejam, cuba menghayati makna lirik lagu tersebut, sambil rambutku dibelai-belai lembut di pangkuannya. Itulah dia sang pendampingku.


Dialah isteri.


Dialah ibu.


Maafkan abang kerana pernah melukakan hatimu suatu masa dulu.


Kapsul biru disuap masuk ke dalam mulutku perlahan.


Satu.


Ku paksa telan walau tekakku terasa perit untuk menerimanya.


Dua.


Ku gagahi jua demi anak-anak kita.


Tiga.


Ku ukirkan sekuntum senyuman pahit. Sepahit ubat yang ku telan demi sekuntum senyuman manis di hadapanku.


Begitulah.


3 kali sehari.


9 biji kapsul.


Dan tangan itu jugalah yang banyak jasanya membantu aku yang terlantar di atas katil sejak sebulan yang lalu. Ke tandas, dipimpin. Makan minum, disuap. Kapsul merah yang dulu ku telan sekarang bertukar warna. Mungkin ubat baru. Ubat eksperimen untuk suatu penyakit misteri. Belum ada diagnosis yang konklusif, kata doktor. Aku membiarkan sahaja doktor mencari jawapan untuk teka- teki itu, malas untuk aku berfikir panjang. Aku menerima apa sahaja yang difikirkannya baik untukku. Perlahan-lahan, aku menyentuh bibir empunya wajah di hadapanku itu, dengan tanganku.


Tangan yang penuh dosa.


Bibir yang pernah berdarah.


Maafkan abang kerana pernah menyakiti dirimu suatu masa dulu.


Hatiku sebak. Aku mendongak ke atas, cuba untuk mengelak pipiku dari basah. Ku biarkan mataku berkaca-kaca. Terasa malu untuk ku tumpahkan di hadapan wanita yang pernah berkali-kali menangis di hadapanku. 


Tangisan derita. 


Deritaku kerana dihantui dosa lampau. Dan deritanya kerana pernah ditinggalkan oleh si lelaki durjana.


Aku.


Yang sepatutnya menjadi dahan tempat berpaut.


Maafkan abang kerana pernah berlaku curang terhadapmu suatu masa dulu.


**********


Malam itu, aku terasa lain dari kebiasaan. Tangan dan kakiku terasa kebas. Dari hujung jari, rasa menyucuk-nyucuk menjalar naik hingga ke segenap tubuhku, sebelum badanku bertukar kejang. Perit, namun ku gagahi jua. Aku menolak untuk dihantar ke hospital. Aku enggan menjadi pesakit dengan pelbagai aduan yang bukan-bukan. 


Psychosomatic.


Aku bukan mental. Aku enggan menjadi bahan gossip. It's not just in the head!


Biarlah, seandainya kesakitan ini adalah balasan untuk kepedihan yang pernah aku sebabkan.


Kemudian, darah mula mengalir keluar dari lubang hidungku. Seketika aku merasa kaget. Namun raut wajah isteri yang sentiasa tenang, mententeramkan hatiku. Aku memandang ke siling, tembus hingga ke langit tujuh, lantas bertanya, “Sudah sampaikah waktuku, Tuhan?”


Biarlah, mungkin ini adalah dosa lalu yang mengalir bersama.


Setelah membersihkan lencun darah yang membasahiku, isteri duduk di birai katil sambil mengusap-usap rambutku. Membelai dengan penuh kasih. Ada gengaman rambut yang tercabut dari akarnya. 


Biarlah, jika ketampanan fizikalku suatu masa dulu pernah menjadi punca aku lupa diri.


Aku terlena di pangkuan isteri sehingga fajar menjelma.


Terima kasih, lafazku tidak kedengaran. Kepada Tuhan, sebab masih mengizinkan aku bernafas. Kepada isteri, sebab masih setia bersamaku.


Maafkan abang kerana abang tidak pernah menjadi mimpi indah buatmu.


**********


Seminggu selepas peristiwa malam itu, aku merasa lebih bertenaga. Melalui panggilan telefon, doktor mengarahkan agar dos ubat dikurangkan 2 kali sehari. Mungkin kesan sampingan ubat, itu telahannya. Temujanji diawalkan ke minggu berikutnya. Pagi itu, aku meminta isteri untuk menghantar anak-anak ke rumah ibu mertua sempena bermulanya cuti sekolah.


Tanpamu sepinya waktu merantai hati...


Aku tersenyum sendiri. Melodi lagu itu terngiang-ngiang di telingaku. Baru sekejap isteri meninggalkanku, aku mula terasa sepi. Sepi dalam rindu. Begitu hebat kuasa cinta. Tiba-tiba terdetik di hati untuk mencari CD Once yang entah di mana sudah ku letak. Terasa ingin mengimbas kembali detik mula - mula bertentang mata dengan si dia. Di rak simpanan CD, tidak ku temui. Dalam laci meja persolekan di bilik peraduan kami, pun tidak ada.


Mungkin ada di situ.


Aku menghampiri kabinet TV di ruang tamu. Laci kabinet itu ku buka satu persatu. Aku bersorak kecil bila melihat CD tersebut tersembunyi di dalam laci paling bawah. Aku memasang CD itu, memilih track lagu Dealova, lalu menikmati bait-bait indah liriknya. Inilah satu-satunya lagu yang tidak pernah jemu untuk ku dengar walau diulang berkali-kali.


Tiba-tiba fikiranku terimbas sesuatu. Ada sesuatu dalam laci tersebut yang membuatku terfikir kembali.


Kau seperti nyanyian dalam hatiku yang memanggil rinduku padamu....


Aku menghampiri semula laci tersebut lalu membukanya. Ada dua buah botol plastik berwarna putih dan satu mangkuk kecil berisi serbuk berwarna merah. Aku mengangkat mangkuk tersebut dan menghidu kandungannya. Baunya agak kuat, tapi aku tak pasti akan ia. Aku kemudian mengambil botol yang lebih besar saiznya. Aku membelek-beleknya, membaca maklumat yang dulu aku anggap tidak berguna.


Dua biji, dua kali sehari.


Hatiku mula berdebar-debar. Aku membukanya dan mendapati kapsul-kapsul berwarna merah mengisi separuh botol itu. Ada sesuatu yang membuat fikiranku menjadi tidak tenteram bila melihat kapsul-kapsul yang amat aku kenali itu. Mindaku ligat membuat perbandingan.


Serbuk merah itu!


Perasaan dan fikiranku mula saling berperang. Mustahil. Aku membuat kesimpulan awal. Tapi entah mengapa, tapak tanganku mula dibasahi peluh dingin. Ritma nafasku semakin laju. Aku mengambil botol yang satu lagi.


Hanya dirimu yang bisa membuatku tenang, tanpa dirimu aku merasa hilang...


Tanganku sedikit terketar bila botol itu ku angkat. Hampir luluh jantungku bila membaca label yang tertera padanya. Permainan apakah ini? Aku membuka penutupnya dan di dalamnya terkandung serbuk berwarna biru.


Warna biru metalik yang amat aku kenali...


...dan sepi...


Aku terduduk. Serasa lemas seluruh badan. Serbuk biru tertumpah seiring dengan tumpahnya airmataku. Dan semacam suatu adengan dalam drama TV, episod pahit itu diiringi lagu latar yang menjadi tema majlis persandingan kami 8 tahun yang lalu.


Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu....


SEKIAN

[ Dapatkan antologi cerpen PenaWan SAKSIKU CARNATION terbitan CHERMIN BOOKS untuk membaca salah satu karya saya bertajuk "Di Sebalik Bayang Oedipus", bertemakan keganasan rumahtangga ]

*Kredit Lagu - Dealova (Once)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.