Bab 3

      Lampu LED bewarna oren dan merah yang membentuk  dua segi tiga kecil mewakili 'up and down' aku pandang penuh sabar. Angka 15 tertera di sebelah segi tiga yang terbalik ke bawah. Kelihatannya lif tersebut semakin dekat dengan 'lobby floor'. Mungkin aku perlu tunggu beberapa saat lagi? Lif yang satu lagi pula berada di tingkat 30. Nampak gayanya 'menunggu' sahaja pilihan yang aku punya.


      Aku rasa lif kat hotel abang ni agak terhegeh-hegeh pergerakannya hari ini. Patut ke aku suruh abang tukar sahaja lif ini kepada yang baru? Yang lajunya berdesup seperti kereta Formula One.


      Kejap! Apa yang aku tengah fikir ni? Kenapa otak ini perlu membahaskan tentang lif? Fikiranku tengah bersumbat ketika ini. Dengan permasalahan yang bangkit pagi tadi. Abang tentu masih marah lagi dengan aku. Mulut aku ni celupar betul kadang-kadang. Aku boleh sahaja bertanya dengan cara yang lebih baik tadi. Tapi..., aku rasa aku tak salah tadi. Sebab abang yang marah dulu. Patut ke aku biarkan sahaja hal ini? Kalau aku biarkan, aku rasa tak tenteram dan bersalah. Aku tak boleh nak buat kerja kalau diserang rasa bersalah macam ni. Susah jugak jadi baik hati macam aku ni kan? Err...


      Disebabkan rasa bersalah inilah aku bergegas datang ke hotel milik abang setelah membuka pintu kedai bunga 'De Flower' yang aku usahakan sejak tahun lepas. Walaupun hari ini banyak tempahan bunga yang perlu diuruskan, aku tetap jua memandu kereta selaju mungkin untuk datang ke sini. Kerana apa? Kerana aku rasa bersalah menuduh abang tidak sayangkan mama dan papa.


      "Jangan beritahu Ery yang abang sebenarnya tak sayangkan mama dan papa," kata-kata yang aku tuturkan pagi tadi sudah banyak kali terngiang-ngiang di telinga. Aku menarik hujung telinga. Cuba mengusir kata-kata sendiri. Tolonglah! Aku rasa bersalah yang amat. Aku perlu berjumpa abang dengan segera dan meminta maaf. Kenapa lif ini tidak lagi kunjung tiba? Lif pun nak cari gaduh dengan aku jugak ke?


      "Buat apa kat sini?" Aku memusingkan badan ke belakang. Aku mengetap bibir apabila mendapati suara itu adalah milik abang.


      "Ery nak jumpa abang," jawabku. Sempat aku menjeling sekilas wajah lelaki di sebelah abang.


      "Kenapa?" Tanya abang, acuh tidak acuh. Dengan pandangan yang begitu tajam sekali. Seperti tidak selesa aku datang. Masih marah lagi nampaknya.


      "Ery nak ajak abang lunch." Kenapa lidah ni rasa berat sekali untuk cakap yang aku datang untuk minta maaf?


      "Lunch apanya baru pukul 10.30 pagi," kata abang dalam nada yang masih lagi mendatar. Ya, abang masih lagi marah terhadapku.


      Aku menarik sengih. Kekok sekali situasi kini. Come on! Kenapa 'ajak lunch' jugak yang keluar bila aku ingin menutup rasa kekok? Bukan aku tak tahu sekarang ni pukul berapa. Macam tak ada alasan lain yang boleh otak aku fikirkan.


      "Maksud Ery, Ery nak ajak abang lunch dengan Ery waktu lunch nanti." Kenapa lidahku melantun, bercakap tentang lunch lagi? You just need to drop to the topic, self!


      "Boleh je call. Tak perlu pun susah-susah datang sini." Mulutku terkunci terus. You got all of your point, abang. Serius! Aku rasa nak menangis sekarang ni.


      "Abang ada meeting kat luar kejap lagi. So, lunch kat luar jugak," putus abang dan sekaligus menolak ajakanku. Dia membuka langkah, meninggalkanku. Lelaki yang sejak tadi berdiri di sisi abang melemparkan senyuman dan membongkokkan badannya sedikit kepadaku sebelum mengejar langkah abang.


      Tanpa berfikir panjang aku berlari ke arah abang dan memeluknya daripada belakang. Abang berhenti melangkah dan terjeda dengan perlakuanku. Aku mengeratkan pelukan.


      "Ery minta maaf. Ery tak sengaja cakap macam tu pagi tadi. Ery tak berniat nak sakitkan hati abang." Akhirnya kata-kata yang ingin aku tuturkan sejak pagi tadi melantun keluar dari bibir.


      "Abang dengar tak?" tanyaku setelah lima saat berlalu dan abang masih lagi tidak memberikan sebarang reaksi.


      "Tengok tak ramalan cuaca hari ini?" Eh?


      "Tengok, bos," jawab lelaki yang sejak tadi di sisi abang sebelum sempat aku menjawab. Aku kira abang bertanyakan soalan itu kepadaku.


      "Ada hujan tak hari ini?" Tanya abang lagi.


      "Tak ada bos. Hari ini diramalkan cuaca cerah sepanjang hari. Waktu malam pun cuaca agak baik." Mendengarkan jawapan itu, abang meleraikan pelukanku dan kembali menyambung langkah ke arah lif yang sedang terbuka pintunya diikuti lelaki itu.


      Aku terpana dan masih lagi terpana walaupun abang telah hilang daripada pandanganku. Aku cuba mencerna apa yang sedang terjadi. Rasa bersalah yang membuak-buak semakin menyerang urat saraf. Adakah abang begitu terluka dengan kata-kataku sehingga tidak sudi menerima kata-kata maafku. Ingin sekali aku menangis, membuang rasa sebak. Tetapi aku terlampau terkejut dengan reaksi abang sehinggakan keinginanku untuk menangis padam serta-merta.


⛅⛅⛅⛅⛅⛅⛅⛅⛅⛅⛅⛅⛅⛅⛅


      12.30 tengah hari dan aku masih lagi di sini. Di aras lobi hotel abang. Lebih tepat lagi, sedang duduk di atas sofa lembut bewarna merah pekat. Berhadapan kaunter penyambut tetamu. Masih lagi mencerna apa yang telah terjadi dua jam yang lalu. Masih lagi mencari kekuatan untuk memberi reaksi dan masih lagi cuba menenangkan diri. Masih lagi.


      Deringan Vivo V9 yang entah kali keberapa tidak aku pedulikan. Aku tahu panggilan itu penting. Pasti Lily yang menghubungiku untuk bertanyakan tentang bunga-bunga segar yang sepatutnya tiba di kedai kami sejak sejam yang lalu. Namun, bagaimana mungkin bunga-bunga tersebut akan muncul jika aku masih lagi di sini? Bukannya aku ada kuasa untuk menghantar bunga tersebut melalui angin. Andai aku punya kuasa itu pasti lebih mudah urusanku. Aku boleh tetap duduk di atas sofa sementara menghantar bunga-bunga tersebut.


      "Cik Ery okay ke?" Seorang wanita di awal 30-an menegurku. Barangkali dia sudah tidak tahan melihat aku duduk di atas sofa ini tanpa melakukan apa-apa. Diam tidak berkutik di saat yang lain sibuk dengan urusan masing-masing.


      Aku menumpahkan pandangan kepadanya. Cantik orangnya. Dengan kulit putih bersih, hidung sederhana mancung, mata yang menawan, bibir yang dioles lipstik merah jambu dan rambut hitam lebat yang disanggul. Dia menghadiahkan sebuah senyuman mekar kepadaku dan aku tidak membalas.


      "Telefon Cik Ery berbunyi. Rasanya ada hal penting sebab orang tu call banyak kali. Lebih baik Cik Ery jawab. Kesian dia," ujarnya.


      Aku syak telinga dia bingit mendengar telefonku berdering minta diangkat banyak kali. Jadi, dia yang tadinya duduk di kaunter penyambut tetamu kini berada di hadapan aku pula. Adakah aku kelihatan begitu menyedihkan sekarang ini?


      Aku menjawab panggilan Lily akhirnya. "Cik Ery! Cik Ery kat mana? Dari tadi saya call kenapa tak angkat?" Lily di hujung talian menyoal. Dapat aku rasa kerisauannya.


      Entah mengapa aku lebih berminat untuk memusatkan penglihatan kepada lima kuntum bunga mawar putih yang diletakkan dalam pasu di atas kaunter penyambut tetamu daripada menjawab pertanyaan Lily. Beberapa saat kemudian, seorang wanita secara tidak sengaja tertolak pasu bunga tersebut ketika mahu mencapai pen dan...


      Logiknya pasu bunga itu perlu jatuh ke lantai kerana daya tarikan graviti menguasai bumi. Apabila jatuh ke lantai, pastinya pecah bersama-sama bunyi 'Prangg!' bukan? Malang sekali tidak begitu. Pasu bunga yang beberapa sentimeter sahaja mahu mencium lantai kini terletak elok di tempat asalnya. Aku diserang rasa tidak enak dengan apa yang berlaku.


      "Bi...ru...," nyata wanita di awal 30-an tadi lambat-lambat dan aku terkejut besar dengan kata-katanya. Tidak mungkin dia nampak apa yang aku nampak. Ada api biru yang menolak pasu bunga itu ke atas kembali tadi.


      Aku memandang wajahnya yang kaget dengan mata yang membulat. Adakah dia benar-benar melihat apa yang aku lihat?


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh