Home Novel Thriller/Aksi OBSES
OBSES
SYASYA BELLYNA
9/12/2012 20:57:46
44,021
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Prolog

RUANG TAMU UTAMA, CASTLEBURY

API yang marak beberapa jam yang lalu kian malap. Adila menoleh ke arah Ismail yang duduk menyangkung di depan pendiangan. Beberapa batang kayu kecil dimasukkan di antara celah bara untuk dijadikan bahan bakar baru. Sedikit demi sedikit rupa batang kayu itu dimamah api. Ismail menggosok-gosok kedua-dua belah telapak tangan beberapa kali. Kehangatan dari unggun api diharapkan dapat memanaskan tubuhnya. Cuaca sejuk mencucuk hingga ke tulang hitam.

Pemetik api dikeluarkan dari poket. Zulfadzhli menyalakan sebatang rokok, lalu asapnya disedut dalam-dalam sebelum dihembus kasar dari rongga hidungnya. Dia duduk di atas sebuah kerusi besar yang menghadap unggun api. Pandangannya ke arah ketinggian siling istana. Ketinggian siling itu membuatkan dia terpegun sambil jari jemarinya mengusap-usap dagu.

Rokman dan Ezariff mengambil tempat di bangku bersebelahan tangga sambil termenung. Ezariff mengimbas masa lalu dan cuba mengingati segala memori mereka sejak pertama kali menjejakkan kaki ke kota istana lama itu. Rokman pula asyik mengingatkan perbualannya dengan selebriti popular itu. Dia menyedari bahawa dialah calon yang kurang meluangkan masa bersama Emily. Terpancar kerutan di dahi dan sedikit kegusaran di dalam dirinya.

Hentakan kaki menarik perhatian sekumpulan lelaki yang sedang menunggu dalam keresahan. Umi Kalsom, Adila, Nash dan Shahrul menuruni anak tangga dengan wajah serius. Nash terus berlari dari sebuah jendela ke sebuah jendela untuk melihat keadaan sekeliling. Manalah tahu kalau-kalau terlihat kelibat seseorang yang ingin ditemui.

Umi Kalsom pula dilanda kegelisahan. Banyak hal akan tergendala akibat dari kehilangan Emily. Musibah bakal dihadapi sekiranya tidak diselesaikan.

Zulfadzhli menggaru-garu belakang tengkuk.

“Mungkin dia keluar dari Castlebury dan berada di merata-rata tempat. Mungkin juga dia balik ke Malaysia,’’ teka Zulfadzhli.

“Tapi mesti dia bawa pasport sekali jika keluar dari Castlebury,” ujar Shahrul sebelum menunding ke arah Adila dengan penuh persoalan. Di tangan wanita itu tergenggam pasport Emily.

Mendengar kata-kata Shahrul, Nash segera menghampiri Adila. Pasport Emily dibelek-belek. Kedengaran dia menghela nafas dengan berat. Pandangannya berlari ke sana sini.

“Kita kena cari dia sekarang,” pinta Nash.

“Apa kata kita libatkan pihak berkuasa sekali,” cadang Huzairi yang menyampuk dari tadi berdiri di tepi pendiangan.

“Jangan! Kita tak boleh libatkan pihak berkuasa, media atau orang awam sekalipun. Aku tak mahu sebarang spekulasi timbul dari kehilangan Emily,” larang Adila.

“Kalau begitu, kamu semua sanggup mencari Emily? Sanggup mengejar dia sampai ke hujung dunia?’’ sampuk Wan Azdi.

Dia muncul bersama sebuah bagasi di sisi kaki kanannya. Merah mata putihnya. Sudahlah tak cukup tidur, jiwa pula terseksa kerana menahan geram terlalu lama terhadap Emily. Entah sampai bila dia terpaksa menahan tahap kesabarannya itu.

“Dia layan kita semua macam kita ni tak ada hati. Selama beberapa minggu kita tinggal di sini, dia hanya tahu mempermainkan perasaan semua orang. Emily tu hipokrit. Kalau dah ada insan istimewa, tak perlu membuang masa dan berdolak dalih,” tuduh Wan Azdi.

Shahrul mengerutkan muka.

“Apa kau cakap ni, Wan?” tanya Shahrul.

“Ada tak Fauzan kat sini? Dia pergi mana? Dengan perempuan tulah!” ujar Wan Azdi tersenyum sinis.

Semua penghuni Castlebury terkejut. Barulah mereka menyedari akan ketiadaan Fauzan di ruang tamu itu.

“Eh, malam tadi Fauzan ada. Aku sempat bersembang dengan dia.” Celah Ezariff yang sukar percaya yang dia tiada.

“Malam tadi pun Emily ada, kan?” soal Wan Azdi.

Wan Azdi menguatkan kenyataan sendiri. Mengukuhkan ideanya bahawa mereka berdua menghilangkan diri apabila ada kesempatan.

“Mustahil Wan. Untuk apa Emily lari bersama Fauzan sedangkan dia boleh menamatkan semua ini dengan cara yang lebih baik,” ujar Nash, menggeleng.

Wan Azdi mencemik.

“Kau nak ke mana dengan bagasi besar tu?” soal Rokman pula.

“Aku nak balik. Aku tak sanggup menunggu macam orang bodoh,” sambil Wan Azdi menyorong bagasinya ke muka pintu.

“Aku tak pasti apa yang terjadi. Tapi kalau Emily ghaib secara tiba-tiba, pasti bersebab,” tekaan kata-kata Umi Kalsom menarik perhatian semua orang.

“Malam terakhir aku bersama Emily, dia ada cakap sesuatu yang membuatkan aku terfikir. Katanya, hati bukanlah tempat terbaik untuk diuji kerana di situ syurga segala emosi. Tempat yang melahirkan segala perasaan. Ada rasa gembira, cinta, harapan... tapi hati juga boleh jadi sarang kejahatan,” tambah Umi Kalsom.

Umi Kalsom segera merenung semua wajah penghuni istana.

“Sarang kejahatan!” Dia mengulangi perkataan itu. Cuba menduga perubahan pada raut wajah setiap daripada mereka.

“Kenapa Umi?” soal Rusydan apabila melihat wajah Umi Kalsom berkerut keras.

“Maksud kau?” Nash ingin tahu.

Umi Kalsom berpeluk tubuh.

“Siapa di antara kamu yang pernah menyakiti atau mengkhianatinya?” Soalan Umi Kalsom menyentak hati penghuni kota Istana Castlebury. Masing-masing menurunkan pandangan. Mungkin timbul penyesalan dalam kalangan mereka.

“Siapa yang membuatkan Emily meragui segalanya?” tanya Umi Kalsom.

Pandangan mata Umi Kalsom semakin tajam. Mereka masih membisu, sepi dan kaku. Apa yang dilihat Umi Kalsom hanyalah pandangan yang tersirat seribu satu rahsia.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SYASYA BELLYNA