Home Novel Cinta Bukan Suami Biasa
Bab 21

Terapi alam terimbau kenangan


Al Hadi terus ke tempat parkir keretanya. Kali pertama Sarah ber'awak' dan ber'saya', ada nada tidak mesra. Dia memecut laju untuk mengejar teksi tadi. Jam menunjukkan pukul 1 petang. Banyak kenderaan yang keluar masuk. Maklumlah waktu cuti semua ambil peluang membeli barang keperluan. Al Hadi hilang jejak teksi tadi. Argh, Al Hadi pasrah. Jika tidak jumpa Sarah, dia akan menunggu di depan rumah Sarah. Buntu fikirannya. Bagaimana mahu memujuk Sarah? Mahu bertanya siapa? Dia tidak mungkin menceritakan kisah rumahtangganya kepada sesiapa. Tidak. Dia tidak akan melakukannya. Selagi boleh disimpan, dia simpan.


Sarah termenung sendiri. Dia tidak makan ubat semalam, itu dia pasti. Masakan dia mahu makan ubat di depan Al Hadi. Habis terbongkar rahsianya. Hari ini moodnya tidak keruan. Mudah saja moodnya turun naik. Dalam tempoh beberapa jam saja, moodnya berubah daripada mild depression ke hypomania kemudian bertukar ke manic. Kini, dia jadi depression. Rasa bersalah. Rasa dirinya teruk dan tidak berguna. Sarah rasa lebih baik dia mati saja. Tidak menyusahkan sesiapa. Al Hadi pun tidak akan tercari-cari dia. Setiap kali depression, dia rasa mahu pergi dan lari daripada Al Hadi. Rasa mahu cerai dan pergi jauh-jauh sehingga tidak dijumpai lagi. "Ya Allah, hambamu ini isteri yang teruk ya Allah. Isteri yang berdosa. Isteri yang tidak layak untuk sesiapa. Ya Allah, jika benar dia untukku, Kau beri aku kekuatan". Dia berbisik perlahan sambil airmata mengalir laju di pipinya. Mereka yang tidak faham, tidak akan tahu bagaimana rasanya mengharungi perasaan ini. Mustahil untuk manusia normal memahami dirinya yang sakit. Mustahil. Mustahil. Masyarakat akan mengejeknya. Masyarakat akan menyingkirkannya. Pastinya Al Hadi malu beristerikan dia.


"Pakcik, boleh berhenti di Taman Eko-Rimba Kanching," kata Sarah menahan sebak kepada pemandu teksi.


"Baik nak," kata pakcik itu.


Apabila sampai di pintu masuk, Sarah mengeluarkan duit RM12 dan menyerahkan kepada pemandu teksi. Dia keluar dan berjalan menuju ke kaunter pembayaran di pintu masuk. Sarah membayar tiket dan pergi masuk ke kawasan di sebelah padang. Ada ramai pengunjung yang datang terutama bersama anak-anak. Sarah merenung air sungai yang mengalir, menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan. Jiwanya tenang. Bau air dan daun sangat mendamaikan. Tadi dia sengaja menutup smartphonenya. Dia tahu pasti Al Hadi sedang kecoh mencarinya. Argh, biarlah dia. Sarah hanya mahu bersendiri. Kasihan Al Hadi, dapat isteri sebegini. Dia mahu memohon penceraian, tapi belum berani. Ada banyak rahsia yang Al Hadi tidak tahu. Ia termasuklah yang dia sebenarnya pernah mengandung, bersalin dan anak mereka meninggal dunia selepas 2 hari akibat congenital diaphragmatic hernia. Jika Al Hadi tahu, apakah Al Hadi akan memaafkannya kerana merahsiakan semuanya?


Sarah membuka beg duitnya. Kemudian mengeluarkan gambar Iman di NICU. Hanya gambar ini dia ada. Satu lagi, gambar semasa roh Iman sudah pergi meninggalkan jasadnya. Airmatanya mengalir deras. Tidak tertanggung kesedihan dan kerinduannya. Sarah mencium dan mengusap lembut gambar Iman. "Iman, mama rindu. Mama tiada siapa di dunia ini. Iman seronok main di syurga? Mama banyak lagi tanggungjawab kat dunia", bisik Sarah perlahan.


Sarah bangun bergerak ke surau berdekatan untuk Solat Zohor. Cadangnya, selepas solat, dia akan pulang ke Gombak menaiki Grab atau Uber. Sarah membuka beg duitnya, hanya ada RM5. Dia terlupa mahu keluarkan duit semasa di Tesco Rawang. Itulah kelemahannya. Sarah sering terlupa perkara kecil tapi penting. Sarah buntu. Dia membuka smartphonenya semula. Dia cuba menghubungi Aisyah, jika dia boleh mengambilnya di sini. Tapi bukan rezekinya Aisyah balik ke rumah orang tuanya di Seremban. Elok sahaja dia berhenti bercakap dengan Aisyah, bertalu-talu whatsapp dan missed call. Ada lebih 30 missed call dan 20 whatsapp daripada Al Hadi. Sarah harus buat keputusan lagi.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ummu Ilham