Home Novel Cinta Cinta Untuk Dia
Cinta Untuk Dia
Cik Qieya
27/7/2018 17:45:42
2,591
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

Kampung Kota Gelang, Pahang - 2012


Mata Encik Ibrahim berpapasan dengan pandangan rakan lamanya. Bibir masing-masing mula mengukir senyuman, lebar sampai ke telinga.


“Tercapai juga impian kita, Rahim.” Haji Mansor bersuara tenang.


Kegembiraan jelas terpancar. Berseri-seri mukanya mengalahkan empunya badan yang bakal disatukan.


“Tak sangka juga, selama ni aku fikir cuma impian karut saja. Rupa-rupanya dalam diam ada hati yang dah saling terpaut.” 


Encik Ibrahim menjeling anak gadisnya yang bersimpuh di sebelah isteri tercinta. Tersipu-sipu si pemilik badan bila diri menjadi tumpuan. Makin berbunga hati seorang ayah ini jadinya. Gembira tak terkata.


Dulu semasa anak-anak masih kecil mereka pernah berhasrat mahu berbesan. Mengeratkan lagi sillaturrahim. Namun bila anak-anak meningkat dewasa, impian masing-masing terus lebur. 


Lagi-lagi bila anak-anak lebih memilih pasangan sendiri. Dah tak nampak hasrat sekian lama bakal terkabul.


Sehinggalah permulaannya ketika sahabat lama itu bertandang ke rumah semasa hari raya aidiladha tahun lalu. Membawa bersama si anak teruna sebagai teman. Mereka pun tak ada nak fikir apa-apa mengenai jodoh yang pernah dirancang. 


Namun tak siapa sangka, dari titik pertemuan itu segalanya bermula. Impian yang mula samar, perlahan-lahan menampakkan sinarnya.


“Alhamdulillah mudah urusan kita. Berkat doa siapalah yang tahu ya tak?” Masih tak lepas senyuman Haji Mansor.


“Begitulah. Kita usaha macam mana pun, Allah jua sebaik perancang,” tambah Encik Ibrahim.


“Kalau dah masing-masing tak membantah, eloklah kita mula cari tarikh. Lagi cepat, lagi molek rasanya,” usul Haji Mansor. Tak mahu bertangguh-tangguh lagi. Perkara yang elok harus dipercepatkan.


Matanya mengerling anak teruna yang duduk berdekatan pintu. Bukan dia tak perasan dari tadi asyik mencuri pandang si tuan puteri. Tergeleng kepala dia. Nampak benar hati si anak dah mula berputik bunga bahagia.


“Aku turutkan saja, Mansor. Tapi kalau boleh biarlah mengikut adat kata orang. Maklum, anak perempuan aku sorang tu saja. Nak juga merasa macam orang lain,” ujar Encik Ibrahim, jujur.


Lagipun sebelum ini dia sudah berbincang dengan isterinya. Mereka sepakat hendak langsungkan mengikut adat. Kata orang step by step. 


Disebabkan sebelum ini anak-anak lelaki mereka hanya terus melangsungkan majlis pernikahan disusuli kenduri besar, jadi mereka teringin juga mahu merasa majlis sarung cincin pertunangan.


Zarine itu sahajalah anak perempuan yang mereka ada. Anak bongsu pula, jadi tak salah mereka hendak rasa seperti orang lain.


Haji Mansor mengangguk. Faham dengan permintaan sahabatnya itu. Kalau ikutkan dari pihaknya, mahu lepaskan yang wajib sahaja. 


Akad nikah, majlis makan-makan sikit, cukuplah. Tapi dia faham, pastilah dari pihak perempuan mahu adakan majlis kenduri yang lebih besar. Maklum sahaja, kali terakhir akan merasa majlis perkahwinan anak-anak. Yang lain semuanya dah lepas.


“Aku tak ada masalah, Rahim. Selagi tak membelakangkan agama, mana yang molek buatlah. Aku jalan saja. Kaum perempuan pula macam mana?” Haji Mansor toleh ke sisi kiri. Memandang isterinya bertanyakan pendapat.


“Mana yang baik saya ikut saja, bang. Anak lelaki kita pun sorang saja yang tinggal. Ani pun nak juga merasa majlis sarung cincin macam kawan-kawan yang lain.” Hajah Wan Rosnani membalas.

Itulah yang difikirkannya sejak berminggu-minggu ini. Bukan mahu membazir, tapi lebih kepada niat mahu merasa sahaja. 


“Betul tu, Kak Ani. Lagipun kita nak kahwinkan anak kali ni saja, lepas tu dah tak ada nak merasa lagi dah. Dah habis selesai semuanya. Tak salah rasanya kita nak merasa ikut adat. Tapi tidaklah sampai melebih-lebih, bersederhana cukuplah. Janji lepas budak-budak ni.” 


Giliran Puan Azzah mencelah. Turut menyokong pendapat bakal besannya. Dari tadi dia hanya menjadi pendengar dalam perbincangan tersebut. 


Encik Ibrahim tersenyum senang. Rundingan dengan kawan baik sendiri, maka tak banyak kerenahnya. Mudah pun mudah. Sudah faham dengan kehendak masing-masing. Tinggal mahu dilangsungkan majlisnya sahaja.


“Kalau masing-masingg dah setuju, agak-agak bila tarikh sesuai untuk mulakan majlis?” Haji Mansor dah mula serius.


Soal perkahwinan tidak boleh dibuat main-main. Perlukan persediaan rapi, rancangan yang tersusun. Banyak aspek harus diambil kira dan ditimbang tara. Semua pihak harus berkerjasama tanpa melepaskan tangan.


“Cuba tanya dengan empunya badan. Dia juga yang nak kena ambil cuti nanti.” Hajah Wan Rosnani memandang anak terunanya.


“Macam mana, Zif? Agak-agak bila boleh ambil cuti?” soal Haji Mansor.


Qazif yang tertunduk-tunduk memandang kaki sendiri segera panggung kepala. 


“Hah?”


“Bila agak-agak dapat ambil cuti? Kami ni ikut tarikh kamu saja.” Haji Mansor mengulangi pertanyaan.


“Zi... Zif ikut saja.” Teragak-agak membalas. 


Sesekali dia mencuri intai ‘tuan puteri’ yang masih bersimpuh segan tidak jauh darinya. Juga tertunduk-tunduk malu memandang tangan sendiri yang bersabung di atas riba. Ada getar halus setiap kali dia memandang raut putih mulus tersebut. 


“Ikut apa!” sergah Haji Mansur. Sengaja mahu mengusik.


“Ikutlah bila-bila. Lagi cepat lagi elok.” Akibat terkejut dengn sergahan abahnya sepintas lalu sahaja ayat berkenaan terluah dari mulut.


Kemudian kalut bila tersedar keterlanjuran kata-kata sendiri. Nak berpatah, dah terlajak perahu. Aduh malunya!


Berderai ketawa Haji Mansor dan Encik Ibrahim. Hajah Wan Rosnani dan Puan Azzah masing-masing menggeleng kepala. Ada senyuman meniti bibir mereka. 


“Nampaknya dah ada yang tak sabar tu, bang,” giat Puan Azzah.


Berderai ketawa masing-masing yang ada di situ.


Akhirnya kata sepakat diterima untuk melangsungkan majlis pertunangan tengah tahun nanti. Kenduri besar pula akan diadakan hujung tahun bagi pihak sebelah perempuan dan berselang satu minggu kemudian di pihak lelaki.


 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cik Qieya