Home Novel Cinta Sesuci Cinta Dalili
Sesuci Cinta Dalili
Cik Qieya
7/7/2018 15:55:49
3,438
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

 Sreeettttttt! 


Bunyi tayar bergesel dengan permukaan jalan kuat membelah suasana. Bingit sehingga memekakkan telinga. Keadaan menjadi gamat secara tiba-tiba. Bunyi hon bertalu-talu dari arah belakang. Ada yang terus memotong dan menunjuk isyarat tak puas hati.


Dada sendiri disentuh, jantungnya laju berdegup. Nafasnya turun naik. Terkejut dengan situasi yang berlaku. Darah juga dirasakan mengering seolah disedut. Manik-manik halus tumbuh dari setiap kalenjar roma.


Mujurlah jalan agak lengang, kenderaan juga tak begitu banyak. Kalau tidak dia yakin lagi parah keadaan jadinya.


Leher dipanjangkan, menjenguk ke luar cermin kereta. Nafas yang belum pun teratur kembali dirampas. Wajah bertukar pucat. Seorang gadis yang terduduk di tengah-tengah jalan sambil menekup kedua belah telinga menyapa pandangan.


Tergeletak dia di kerusi pemandu. Allah, apa yang dia dah buat ni? Cepat-cepat kereta diletakkan ke bahu jalan. Bimbang mengganggu kenderaan lain. Dalam keadaan seperti itu, keselamatan harus diutamakan.


Pintu kereta ditolak, dia melompat turun dengan kadar segera. Gadis tadi dihampiri bersama rasa bersalah menggunung tinggi.


“Cik tak apa-apa?” soalnya cemas.


Dia bertinggung di hadapan gadis berambut paras bahu berkenaan. Ditiliknya kalau-kalau ada anggota tubuh yang tercedera. 


Terpandang sahaja luka di bahagian lutut gadis itu, bibirnya terus terkunci rapat. Luka yang agak teruk pada pengamatannya, sehingga ada kulit yang terkoyak dan menampakkan isi dalam. Darah merah membuak-buak keluar dan meleleh ke atas jalan. Pasti lutut gadis itu bergeser dengan permukaan jalan. 


Dia mula menyumpah diri sendiri. Kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kecuaian dia sendiri. Kalau dia tidak menjawab panggilan semasa memandu tadi, pasti kejadian ini tak akan berlaku. Gadis itu pula tak akan mendapat kecederaan serius.


Sapu tangan kecil dikeluarkan dari poket belakang seluar. Kain tersebut ditekapkan ke atas lutut gadis berkenaan. Terjerit gadis itu menahan rasa ngilu dan pedih. Cepat-cepat dia meminta maaf.


“Kau fikir jalan ni kau punya ke nak buat sesuka hati? Nak tunjuk hebat pakai kereta besar? Kalau teruk budak ni tadi macam mana?” Seorang lelaki bersuara dengan nada tinggi.


Entah siapa. Mungkin lelaki itu berniat untuk membantu. Cuma caranya yang agak tidak kena. Marah bukan penyelesaian terbaik.


Kepala didongak, memandang lelaki berjaket hitam yang berdiri di belakangnya.


“Saya minta maaf.”


“Buat apa minta maaf dengan aku? Pergilah bawa dia ke klinik!” Gesa lelaki berjaket tersebut. Nampak yang dia begitu marah.


Akur. Kemalangan yang berlaku pun disebabkan kesalahan dia, memang sepatutnya dia yang bertanggungjawab.


“Jom saya bawa cik ke klinik.”


Kain gadis berkenaan yang terselak sehingga ke paras peha, ditarik semula ke paras buku lali. Dalam keadaan seperti itu sangat berbahaya jika dibiarkan tertedah untuk tayangan umum. Bimbang ada yang mengambil kesempatan dalam kesulitan. 


Lagi-lagi dalam zaman sekarang ini, sangat sukar untuk menebak apa yang ada dalam hati orang lain. Yang baik pun belum tentu seratus peratus baik.


“Ta... Tak apa. Sa... Saya okey.” Terketar-ketar gadis berkenaan bersuara. Badannya menggigil. Mukanya juga nampak agak pucat.


“Mana boleh okey, luka cik teruk sangat ni. Kena cuci, kalau dibiarkan bahaya. Tengok, badan cik pun menggigil. Cik memang tak okey.”


Sweater yang tersarung pada tubuh ditanggalkan, disarungkan ke bahu gadis berkenaan. Namun tindakannya ditahan, tangan yang cuba untuk menyangkut sweater ke bahu gadis itu ditolak perlahan.


“Tak apa, saya tak sejuk.”


Dia menggeluh, tak tahu sama ada gadis itu memang tidak sejuk atau tak selesa menyarung baju lelaki. Kalau dah gadis itu menolak, dia pula tak ada hak untuk memaksa.


Gadis tersebut yang sedang berusaha bangun segera dibantu. Dipapahnya ke tepi jalan dan dibawa ke arah pondok menunggu bas tidak jauh dari situ.


Lelaki yang berhenti untuk melihat apa yang berlaku tadi terus berlalu ke keretanya selepas diyakinkan tiada kecederaan serius yang terjadi. Beberapa orang yang lain juga bersurai ke kenderaan masing-masing setelah tiada isu yang perlu dipanjangkan.


“Boleh jalan tak? Saya bawa cik ke klinik ya?” Masih dihambat rasa bersalah.


Gadis itu menggeleng sebagai jawapan. 


“Tak apa sikit aje ni.”


“Hal ni jadi sebab kecuaian saya. Jadi saya kena bertanggungjawab, saya bawa cik ke klinik ya? Jangan risau kos rawatan semua saya tanggung.”


“Tak apa, encik baliklah. Tak teruk mana pun ni.” Gadis itu tetap berdegil. Tertoleh-toleh ke setiap arah. Mukanya juga nampak seperti dalam ketakutan.


“Tapi luka cik ni kena cuci dulu. Saya janji, lepas selesai semua urusan saya hantar cik balik.”


“Tak apa, nanti saya cuci sendiri. Bukan tak biasa dapat luka macam ni.”


Keluhan terlepas. Dia kasihankan gadis itu, berjalan pun terhincut-hincut. Takkan dia nak biarkan gadis tersebut pulang dalam keadaan seperti itu?


“Macam ni saya tolong cik, cik tolong saya. Tolong terima bantuan saya aje. Boleh? Sebab selagi cik tak terima selagi tu tak lepas rasa bersalah saya ni.”


Gadis itu terdiam. Matanya dijatuhkan memandang kaki sendiri. Kalau ikutkan dia nak terus pulang ke rumah sahaja. Tapi lelaki itu nampak bersungguh-sungguh mahu membantu, tak salah dia menerima. Sekurangnya tidaklah emak curiga dia balik awal ke rumah nanti.


“Encik... tak ada niat jahat kan?” Lurus soalan diaju.


Kejadian tadi sedikit sebanyak membuatkan dia terpaksa berhati-hati. Masih tak hilang lagi ketakutannya. Mujurlah dia sempat melarikan diri. Dan dia juga berterima kasih pada lelaki yang melanggarnya itu. Kalau tidak entah apa nasib dia.


Lelaki berkenaan tertawa kecil. Kali pertama bertemu dengan gadis yang begitu polos pada pandangannya.


“Taklah, jangan takut. Saya cuma nak tolong cik aje. Mari saya papah cik ke kereta saya.”


Dia bingkas bangun dari kerusi pondok bas. Baru sahaja hendak menyentuh lengan gadis tersebut, tindakannya sekali lagi ditahan.


“Tak apa saya boleh jalan sendiri.”


“Betul ke boleh jalan ni?” Khuatir. Lagi-lagi melihat gadis berbaju kemeja T yang dikenakan dengan gaun labuh paras buku lali tersebut sesekali memejam mata menahan kesakitan.


Gadis itu hanya mengangguk. Selepas berjaya bangun dengan susah payah, akhirnya langkah lelaki berseluar slack hitam dan kemeja biru laut itu diekori. Sekali lagi dia tertoleh ke kiri dan kanan. Riaknya masih nampak berhati-hati.



Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cik Qieya