Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,030,627
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1 - Permulaan kisah
Petang itu aku di dalam perjalanan menjemput teman baikku di tempat kerjanya yang terletak di Bangsar. Aku ke sana pun kerana Farhin yang meminta aku untuk menjemputnya. Tengah hari tadi kawan baikku itu ada menelefon dan memberitahuku yang dia sedang menghadapi satu masalah yang memerlukan bantuan khas dariku. Apabila aku tanya kepadanya apakah masalah yang sedang dihadapinya ketika itu, kata Farhin ‘biarlah rahsia’. Dia tak mahu berterus-terang denganku.

Walau pun Farhin tidak memberitahuku apakah masalah yang sedang dihadapinya, aku sudah dapat mengagak yang masalahnya itu pasti mempunyai kaitan dengan teman lelakinya bernama Burhan. Nama inilah yang menjadi topik perbualan kami sejak beberapa hari yang lalu. Terus-terang aku mengaku yang aku memang tidak berkenan langsung dengan teman lelakinya itu. Dari pemerhatianku Burhan ni hanya menggunakan Farhin untuk hidup lebih mewah sahaja. Namun aku  mengambil tindakan dengan mendiamkan diri saja kerana aku sedar Farhin begitu mencintai teman lelakinya itu.

Aku memberhentikan motorsikalku berhampiran pintu masuk bangunan pejabat itu lalu aku terus melangkah menuju ke arah lobi. Aku tidak menghiraukan pandangan aneh orang ramai terhadapku. Rasanya aku tidak membuat apa-apa kesalahan tetapi mengapa aku dipandang seperti makhluk asing pula. Oh ya... aku hanya tersedar penyebab mengapa mereka memandangku seperti itu ketika mataku menyorot ke arah pakaian yang tersarung di tubuhku. Hari ini aku mengenakan sehelai t-shirt berwarna hitam, seluar jeans paras lutut, topi beserta kasut sarung berwarna putih. Apa yang salahnya? Ah... biarkanlah apa orang nak fikir. Ujarku sendiri.

Sebaik saja pintu lif terbuka aku ternampak kelibat Farhin keluar dari sana. Dia memandangku dari atas ke bawah berulang kali. Kemudian bagaikan baru mendengar sebuah kisah lucu, temanku itu tiba-tiba sahaja ketawa sambil dia melangkah menghampiriku.

“Emm...aku ingatkan pakwe manalah tadi yang bersandar kat sini kau rupanya.”Ujarnya dalam ketawa yang masih bersisa.

Aku sedikit pun tidak ambil hati dengan kata-katanya itu kerana ini bukan kali pertama aku disalah anggap sebagai lelaki. Mungkin dengan ketinggianku yang mencecah 170 cm dan tanpa secalit make-up di wajahku membuatkan aku kelihatan seperti lelaki agaknya. Aku membuat andaian sendiri.

“Jom makan!”Aku mengajak Farhin sambil aku menutup mulutnya dari terus mengusikku.

Kami memilih untuk ke Wong Solo Shah Alam. Ayam penyet di sana memang kegemaran kami berdua. Memang sangat lazat. Sekali dah rasa memang akan ketagih jadinya. Itu pendapatku. Selalu juga aku dan Farhin ke sana apabila kami berkelapangan terutama pada hujung minggu.

Ketika kami sedang menikmati hidangan masing-masing, Farhin mengadu kepadaku tentang perangai aneh Burhan sejak akhir-akhir ini. Aku tiba-tiba rasa marah apabila mendengar Farhin bercerita kepadaku mengenai perangai teman lelakinya. Menurut Farhin teman lelakinya itu ada menelefonnya beberapa hari yang lalu meminta Farhin bersetuju agar hubungan mereka putus atas sebab dia telah menemui cinta baru! Ish senang benar cara lelaki itu memutuskan hubungan sesuka hati saja. Dia ingat Farhin tak ada perasaan ke?Marahku di dalam hati.

Rasa meluatku terhadap Burhan semakin bertambah selepas mendengar tindakan beraninya meninggalkan Farhin tanpa sebab yang munasabah. Bukan aku tidak tahu kalau bukan Farhin yang menghulurkan wang bagi down payment keretanya, jangan haraplah sampai sekarang dia dapat memandu kereta baru. Kerjanya pun hanya setakat pembantu am saja. Agaknya kalau Si Burhan tu kumpul duit gajinya untuk setahun pun belum tentu lagi dia mampu memiliki kereta seperti itu. Omelku geram.

“Aku tak tahu nak buat apa lagi sekarang ni Maya. Sepatutnya majlis pertunangan kami berlangsung bulan depan. Barang-barang hantaran pun aku dah beli. Itu tak apa lagi, ni yang paling penting sekarang ni apa aku nak jawab kat mak dan ayah aku kat kampung tu. Dah heboh satu kampung pasal aku nak bertunang, tup tup tiba-tiba tak jadi pulak.”Sayu Farhin meluahkan isi hatinya yang kecewa terhadap Burhan yang disangkanya ikhlas menyayanginya itu.

“Dah lah Farhin tak guna kau bazirkan air mata kau untuk lelaki macam Burhan tu. Dia tu tak layak untuk ditangisi. Buang airmata, buang masa kau ajelah beb.”Pujukku berharap Farhin semakin tenang.

Farhin berhenti menangis. Dia mengesat airmatanya. “Aku dah tak kisah dah dia tinggalkan aku sebab perempuan lain. Paling penting sekarang ni aku nak tuntut balik duitdown payment kereta yang dia pinjam dari aku dan juga duit yang lain-lain. Aku nak kenakan balik lelaki tak guna tu!”Farhin seperti beriya-iya sungguh untuk membalas balik perbuatan Burhan terhadapnya.

“Macam tu lah.Aku sokong kau!”Balasku sambil menepuk bahunya memberi semangat kepadanya.

Aku mencapai gelas berisi air tembikai di atas meja dan menyedutnya sehingga tinggal separuh.Tiba-tiba Farhin mengemukakan satu permintaan yang membuatkan aku hampir tersedak. Dia meminta bantuanku untuk mengenakan Burhan. Haish... aku kan kalau boleh memang tak mahu langsung terlibat dalam hal-hal peribadi orang lain tetapi bila aku mengenangkan yang Farhin ni kawan aku, aku fikir-fikirkan jugalah. Rasa macam tidak sampai hati pula untuk aku menolak permintaannya itu kerana selama ni sakit peningku hanya Farhin sajalah yang ambil tahu. Mungkin ini merupakan waktu yang tepat untuk aku membalas jasanya.Fikirku.

“Yalah...aku tolong.”Balasku akhirnya.

Seminggu kemudian ketika aku sedang leka menonton drama bersiri Zahira lakonan pelakon kegemaranku Adi Putra aka Encik Iqbal yang kacak itu, Farhin yang baru pulang dari kerja tergesa-gesa menghampiriku. Farhin memberitahuku yang Burhan ada rancangan untuk bercuti ke luar negara bersama kekasih barunya. Menurut Farhin lagi mereka berdua akan ke Auckland minggu hadapan.

“Tak guna betul mamat tu macam tak ada apa-apa saja yang terjadi antara kami yang boleh buat dia sedih. Sekarang senang hati aje dia nak pergi bercuti!”Luah Farhin geram sambil dia menggepal penumbuknya.

Aku tersenyum lebar apabila otakku menghantar satu idea gila untuk mengenakan Burhan.Farhin yang pada mulanya agak terpingga-pingga dengan reaksiku turut ketawa apabila aku memberitahunya tentang idea gilaku itu kepadanya. 100% setuju beb! Itu kata Farhin kepadaku.

Aku merenung wajahku di dalam cermin di hadapanku. Wajahku nampak lain setelah disolek. Mataku menyorot pula ke arah dress berwarna putih yang tersarung di tubuhku yang menampakkan susuk tubuhku yang langsing. Sudah lama aku tidak berpenampilan seperti ini. Kali terakhir mungkin pada dua tahun yang lalu. Hari ini aku berpenampilan lebih cantik dari biasa kerana aku sedang membantu Farhin menjalankan satu misi penting yang dipanggil ‘Zero Burhan’ yang membawa objektif untuk mengajar sedikit mamat lupa diri macam Si Burhan tu. Hari ini aku akan menjalankan ‘idea gila’ yang pernah aku beritahu pada Farhin minggu lalu ketika dia memaklumkan kepadaku tentang rancangan percutian Burhan.

Setelah berpuas hati dengan penampilanku, aku keluar sambil menarik bagasiku. Aku sedar ketika itu banyak mata yang memandang ke arahku sepanjang aku menghayun langkah namun aku berpura-pura tidak nampak kerana bagiku lagi cepat misi ini berakhir lagi bagus.

Tetapi yang kelakarnya , walau pun aku sudah berdandan cantik namun hayunan langkah kakiku berterabur habis sementelah sudah lama aku tidak memakai kasut bertumit tinggi. Tiga inci pulak tu. Walau pun aku berusaha berlagak cun namun dalam hati aku sudah menahan malu sebenarnya! Aku sempat ketawa sendiri di dalam hati.

Penerbangan ke Aucland dijadualkan akan berlepas pada jam 1.30 petang. Nampaknya kali ini syarikat penerbangan menepati jadual penerbangan mereka dan tidak ada sebarang halangan untuk menunda perjalanan ini.

Aku disambut mesra oleh seorang pramugara di pintu masuk pesawat yang segak mempamerkan senyuman dan mengucapkan selamat datang kepadaku.Aku kemudian terus ke tempat duduk mengikut nombor yang tertulis di atas tiket penerbangan.

Sesekali aku menoleh ke arah tempat duduk penumpang lain. Berharap agar aku terlihat kelibat Burhan. Tapi tiada. Takkan pula aku nak pergi telitiwajah  satu persatu penumpang dalam pesawat ni. Menggangu pula nanti. Sudahnya aku ambil keputusan untuk menjalankan misi ini bila tiba di Auckland. Barulah best sebab yang aku mahukan adalah menjadikan percutian Burhan dan teman wanitanya itu rosak. Dibatalkan dan hubungan mereka putus. Biar Burhan tu merasa hidup susah kembali. Baru padan muka dia!

Penerbangan yang memakan masa lebih sembilan jam itu akhrinya selamat mendarat. Aku mula bangun untuk beratur keluar. Bagaikan sudah di set di dalam minda, telingaku dapat mengecam suara Burhan yang diselangi oleh ketawa manja wanita di belakangku. Aku menoleh. Memang sah Burhan! Meluat betul aku melihat aksi romantiknya bersama wanita muda itu sedangkan kawanku Farhin lagi sedang patah hati.

Aku mempercepatkan langkahku mengekori mereka sehinggalah mereka berdua singgah di sebuah café. Tidak lama selepas itu aku mula beraksi. Aku berjalan menghampiri Burhan lalu aku betul-betul berdiri disebelahnya. Dia memandangku dengan penuh minat sambil mempamerkan senyuman menggodanya.‘Eleh!Ingat aku cair ke, mahu karang melayang satu penumpuk kat muka kau!’Aku mencebik.

“Emm...rasanya macam kita pernah jumpa sebelum ni?” Burhan sengaja menggunakan nada romantis.Aku tersenyum sinis mendengar nada suaranya itu.

“Ya memang kita pernah berjumpa pun.” Balasku lalu aku menuang jus oren itu ke atas kepalanya .

“Hei apa you buat ni?” Burhan bangkit memarahiku.Aku lihat perempuan di sebelahnya juga turut bangun membantu mengelap baju Burhan.

“Apa you buat ni. You ni siapa?” Tanya wanita itu pula.

Inilah masa yang aku nanti-nantikan. Mempersembahkan satu mini drama ciptaan Maya .Idea drama yang bakal tercetus ini pun datangnya dari pengaruh drama-drama yang aku tonton setiap hari di kaca televisyen. Hari ini mari aku praktikkan bakat lakonanku yang sejak sekian lama tersimpan. Desis hatiku.

“You tanya I siapa? I ni teman wanita Burhan.” Aku memulakan dialog pertama di dalam drama rekaanku.

Kedua-duanya tercengang memandangku.Wajah Burhan lah yang paling ketara nampak berubahnya ketika mendengar pengakuanku yang tidak berasas itu.

Aku hanya menjadi pemerhati apabila Dahlia bertanya kepada Burhan tentang siapa aku yang tiba-tiba muncul di antara mereka.Sungguh hatiku di geletek rasa lucu memandang wajah kalut Burhan yang ketika itu disoal tidak henti-henti oleh teman wanitanya yang bagaikan tidak sabar-sabar menanti jawapan keluar dari mulutnya.

“Dahlia jangan dengar apa perempuan ni merepek. I memang tak kenal siapa dia ni.” Burhan cuba memujuk teman wanitanya.

Pang! Sepantas kilat aku menghadiahkan sebiji penampar ke pipi kanan Burhan bertujuan untuk meyakinkan Dahlia yang aku memang mengenali teman lelakinya itu.Ketika itu wajah Burhan berubah pucat bagai ayam berak kapur.Terkejut mungkin kerana tiba-tiba saja dia ditampar olehku.

“Sampai hati you kata tak kenal I. I ni teman wanita you. Kita dah nak bertunang dah pun. Sedarlah Burhan!” Aku sedikit menjerit.Aku berpura-pura mengalirkan airmata bagi menghidupkan lagi drama ini.Ternyata lakonanku berkesan.Burhan sudah melopong manakala Dahlia pula menangis sambil memukul dada Burhan persis anak kecil yang dirampas barang permainannya.

Oh ya... aku memang sengaja berpenampilan menarik hari ini kerana misi ini juga. Jika aku berpakaian ringkas seperti selalu sudah tentulah Dahlia tidak akan percaya yang aku ni teman wanita Burhan. Sementelah Burhan ini memang terkenal dengan citarasa tingginya terhadap wanita cantik dan moden saja.

Aku berpura-pura mengesat airmataku.“Ini semua pasal kau perempuan.Aku tak kenal kau pun. Kenapa kau berlakon pulak ni!” Kuat Burhan menengkingku kerana baginya aku lah punca membuatkan kekasih hatinya itu mengalirkan airmata.‘Ceh nak jadi Romeo konon nak melindungi Si Juliet!’Kutukku di dalam hati.

Burhan semakin berani mendekatiku. Aku kira bila-bila masa saja dia bakal meletakkan tangannya di atas mukaku tapi jangan haraplah kerana itu tidak akan menjadi kenyataan kerana aku sudah bersiap sedia menggepal sebiji penumbuk yang bila-bila masa saja akan aku layangkan ke mukanya jika dia cuba bertindak kasar terhadapku.

“Lakonan you kata? Habis tu yang you sesuka hati ke luar negara bersama perempuan ni kenapa pulak? You tinggalkan I macam I ni tak ada nilai langsung pada you. I tak boleh terima!”Aku sengaja menambahkan lagi kemarahan Burhan.

Bagaikan api yang sedang marak disimbah minyak kemarahan Burhan semakin memuncak mendengar ayat-ayat rekaanku. Burhan mengangkat tangannya untuk menamparku. Namun belum pun sempat tangannya mendarat pada tubuhku tangannya tiba-tiba disambar oleh seseorang. Aku segera menoleh memandang lelaki yang tiba-tiba muncul di antara kami itu.Aku hanya memandang lelaki beruniform juruterbang itu menggengam kuat lengan Burhan.Aku bagaikan terpana seketika memandang wajah juruterbang yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah percakaran kami.

“Saya minta tolong anda berdua hentikan pertengkaran ini.”Serius suara juruterbang itu.

Aku segera tersedar dari terus merenungnya. ‘Kacau betullah dia ni. Misi ini boleh gagal selagi aku tidak dapat meyakinkan Dahlia yang Burhan hanya mempermainkannya. Sekarang ditambah pula dengan mamat baju putih ni. Mahu sia-sia lakonanku ini karang.Aduhai!’ keluhku.Dalam hati aku membentak geram kerana kehadiran juruterbang itu telah mengganggu misiku.Aku menjelingnya tidak puas hati.

“This is not my fault, but this mad woman!”Jerkah Burhan lagi.

Bulat mataku memandangnya. Amboi! Sedap betul mulut dia panggil aku macam tu. Namun belum pun sempat aku membuka mulut untuk membalas ayat berbisa Burhan, juruterbang tadi mencelah lagi.

“Saya minta maaf. Saya tak berniat nak masuk campur. Cuma Encik dan Cik saya rasa tak elok bergaduh depan orang awam macam ni. Kita di tempat orang.” Ujar lelaki itu lembut sambil dia memandangku dan Burhan.Entah mengapa pandangan matanya sedikit menggusarkan hatiku.

“Dia ni senang hati ke luar negara bersama perempuan lain dan tinggalkan I macam tu aje. I tak boleh terima!”Jawabku tidak berpuas hati. Aku terus mengalirkan air mata bagi meraih simpati yang seterusnya akan membuatkan Dahlia percaya dengan lakonanku.

“Baik you diam sebelum I tampar mulut you tu!”Ugut Burhan lagi yang nampaknya sudah hilang sabar.Ya membuatkannya hilang sabar lah yang aku mahukan.

Juruterbang itu sekali lagi menghalang Burhan dari menghampiriku.Dahlia pula sudah terduduk menangis teresak-esak.Ada sekelumit kegembiraan terbit di dalam hatiku kerana potensi untuk misi ini berjaya sudah kelihatan.Tetapi kegembiraanku itu diragut pergi oleh satu suara.

Both of you stop now please.” Tegas suara juruterbang muda itu.

‘Ish menyibuk betullah dia ni!’ Kutukku di dalam hati.Aku tidak ambil peduli dengan kata-kata juruterbang itu yang bagaikan memberi peringatan tegas kepada kami.Aku mahu meneruskan sketsa ini hingga ke penghujungnya.Kehadirannya sebagai watak tambahan di dalam drama arahanku ini memang tidak pernah aku jangkakan.

“Pukullah kalau you berani.”Cabarku lagi dengan tujuan aku memang sengaja mahu menaikkan kemarahan Burhan. Tetapi lain pula jadinya apabila juruterbang itu yang membuka mulut.

“Cik hentikan semua ni, kalau tak saya...” Celah juruterbang itu namun aku lebih pantas memintasnya.

“Encik pilot saya minta maaf sebab dah menyusahkan encik. Tapi... tak salah rasanya jika saya sedang 'berbincang' dengan ayah kepada anak dalam kandungan saya ni.” Aku mempamerkan ekspresi sedih sambil memandang wajah lelaki itu.

Melopong mulut Burhan.Juruterbang itu pula terkebil-kebil memandangku.Mungkin dia terkejut mendengar pengakuan berani mati aku agaknya.Aku sendiri sebenarnya lagilah terkejut dengan kenyataan spontan yang keluar dari mulutku sendiri.Tanpa sedar ayat itu terus meluncur keluar.

Burhan menyerah kalah dengan kembali ke tempat duduknya.Agaknya dia sudah mengecam yang aku ini adalah kawan baik Farhin dan mungkin dia juga menyedari yang aku sedang mengenakannya.Dahlia pula semakin kuat esakannya. Burhan sedaya upaya cuba memujuk kekasih hatinya itu lalu pertengkaran kami tadi berakhir begitu saja.

Aku kembali ke tempat dudukku.Aku mengesat sisa airmata di pipi.Aku tersenyum sebagai tanda kemenangan kerana aku sempat terdengar tadi yang Dahlia mengambil keputusan untuk memutuskan hubungannya dengan Burhan dan membatalkan percutian mereka.

Aku segera mencapai luggage dan melangkah keluar dari café itu. Sempat juga mataku menyorot ke arah juruterbang yang hampir-hampir menyebabkan misi ini gagal.Aku lihat juruterbang itu menggeleng kesal sebelum dia kembali duduk bersama rakan-rakannya.Aku mencebik melihatnya.Entah mengapa tiba-tiba aku merasa meluat terhadapnya sedangkan juruterbang itu tidak melakukan apa-apa kesalahan pun.Aku sendiri tidak tahu mengapa.

Ah itu tidak penting pun. Bagiku yang penting ialah misi ini telah pun berjaya. Pulang saja ke Malaysia nanti pasti Farhin akan gembira mendengar kisah aku mengenakan Burhan. Aku pula yang jadi tidak sabar untuk menyimpan cerita ini sehingga aku pulang ke KL minggu hadapan. Cerita sensasi ini akan jadi kurang seronoknya jika aku simpan lama-lama. Lalu aku membuat keputusan untuk menelefon rakanku itu setibanya aku di hotel nanti.

Bagiku kalau sudah alang-alang menjalankan misi ini awal-awal lagi aku telah membuat rancangan untuk tinggal beberapa hari di sini.Tempat penginapan juga telah aku tempah awal sebelum aku berangkat ke sini.Bolehlah aku berehat dan berjalan-jalan di sini beberapa hari ini sebelum aku kembali sibuk bekerja nanti.Peluang yang ada haruslah dimanfaatkan.

Aku membuka kasut tumit tinggi yang tersarung di kedua-dua belah kakiku dan hanya berkaki ayam saja ketika aku berjalan keluar untuk mendapatkan teksi.Kakiku terasa begitu lenguh setelah memakai kasut tumit tinggi itu terlalu lama.Ketika itu jugalah mataku bertembung dengan mata seseorang yang agak aku kenali. Ah juruterbang tadi! Dia memandangku dari atas ke bawah kemudian menjelingku sebelum dia beredar bersama rakan-rakan setugasnya.

Geram betul aku lihat cara lelaki itu menjelingku. Bagaikan aku ini sudah dilabel perempuan jahat saja.Pasti dia rasa jengkel terhadapku kerana pertengkaran tadi.Ditambah pula aku mengaku yang aku mengandung.Pasti dia menganggap aku ini perempuan murah.Aku segera melangkah mendapatkannya untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku di dalam cafe tadi kepadanya biar dia tidak salah anggap terhadapku. Namun langkahku terhenti apabila mindaku memberitahuku yang aku tidak perlu pun untuk memberi penjelasan kepada juruterbang itu kerana bukannya kami akan bertemu lagi selepas ini. Jelasku di dalam hati.

Tetapi aku merasa hairan mengapa pula jantungku berdebar-debar ketika mata kami bertembung tadi? Ini kali pertama aku merasai perasaan begini.Anehnya.

Malas mahu berfikir panjang tentang perkara itu aku segera mendapatkan teksi untuk ke Rendezvous Hotel yang terletak di tengah bandar raya Auckland.Aku pernah menginap di hotel itu semasa kunjungan pertamaku ke bandar ini beberapa tahun yang lalu.Pada pendapatku perkhidmatan yang disediakan di hotel itu memang terbaik dan sangat memuaskan.Setelah beberapa minit perjalanan aku sudah dapat melihat hotel yang tersergam indah itu. Bila saja aku terpandang meter teksi yang angkanya semakin bertambah aku terus menepuk dahiku. Aku terlupa membawa wang tunai rupanya. Lebih tepat lagi aku terlupa menukar mata wang! Aduh bagaimana sekarang ini.Ini semua gara-gara aku terlalu fokus dengan misi dan merangka rancangan mengenakan Burhan sampaikan aku terlupa untuk mengatur keperluanku sepanhang aku di sini. Keluhku sambil mulutku terkumat-kamit memarahi diri sendiri kerana menjadi pelupa terhadap perkara sepenting itu.

Aku menjadi semakin gelisah ketika pemandu teksi betul-betul memberhentikan teksinya di hadapan hotel penginapan. Aku menoleh ke arah kiri dan kanan berharap aku dapat mencari jalan bagaimana harus aku membayar tambang teksi.Aku berharap aku bakal menemui sesuatu yang boleh membantuku keluar dari masalah ini namun tiada. ‘Macam mana aku nak bayar tambang teksi ni?’

Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal memikirkan cara lain untuk mencari duit tengah-tengah malam begini. Namun bila saja mataku menangkap kelibat seseorang yang aku kenali satu idea nakal atau lebih tepat lagi plan selamatkan diri terus melintas di kepalaku.

“I am sorry, but. I dont have any cash with me. Err... but you can take it from my husband. That guy in a pilot’s uniform.”Ujarku kepada pemandu teksi itu sambil jari telunjukku menuding ke arah juruterbang yang sedang mengeluarkan barang-barangnya dari teksi di belakangku.

Pemandu teksi itu memandangku penuh curiga.Gayanya bagaikan tidak mempercayai kata-kataku. “Err...actually this is our first honeymoon but my husband still has to work and I am so disappointed with him. That’s why we took different cabs.”Tambahku dengan penuh emosi bagi meyakinkan pemandu teksi itu dengan cerita rekaanku.

“Don’t worry... I will take cash from your husband.”Kata pemandu teksi itu.

Aku yang rasa teramat-amat lega segera keluar dari teksi dan terus masuk ke dalam ruang lobi hotel . Ketika aku sedang beratur di kaunter aku melihat pemandu teksi itu sedang berkata sesuatu kepada juruterbang yang ternyata kelihatan terpingga-pingga itu. Sudah tentulah dia terkejut apabila tiba-tiba saja pemandu teksi itu meminta wang darinya.Aku segera menyorokkan wajahku apabila lelaki itu tiba-tiba memandang ke arah lobi.Entah apalah yang mereka bualkan dan akhirnya aku nampak Encik Pilot yang tidak aku ketahui namanya itu menghulurkan wang kepada pemandu teksi tersebut.

Degupan jantungku berdenyut laju tidak seirama.Peluh dingin juga semakin lebat menitis di dahiku.Aduh ramai pula yang beratur di kaunter macam tahu-tahu pulak aku sedang melakukan kesalahan dan tidak membenarkan aku segera meloloskan diri dari ditangkap oleh lelaki itu.Ketika itu sudah tentulah aku takut kalau-kalau dia menghampiri dan memarahiku kerana aku telah mempermainkannya.

Ketika aku menoleh ke arah pintu utama aku nampak juruterbang itu sedang berjalan menghala ke arah kaunter.Aku yang semakin panik secepat mungkin menyelesaikan urusan check in bilik. Dapat saja kunci bilik, aku segera masuk ke dalam perut lif berharap agar dia itu tidak menyedari kehadiranku.Namun memang sudah ditakdirkan mataku bertembung jua dengan matanya. Aku terkedu namun apa yang menariknya aku nampak dengan jelas lelaki itu melemparkan senyuman kepadaku.

‘Kenapa pilottu senyum-senyum kat aku pulak? Ish....tak betul agaknya. Walau apa pun... maafkan aku ya wahai juruterbang yang tak aku tahu namamu!’ Omelku sendiri.

Masuk saja ke dalam bilik penginapan aku segera merebahkan badanku ke atas tilam empuk bagi melegakan urat-urat badanku yang tegang setelah berjam-jam lamanya berada di dalam pesawat.Aku kemudian mencapai tuala untuk membersihkan diri. Berendam selama satu jam di dalam tab mandi membuatkan tubuhku kembali segar. Aku menarik langsir, membiarkan mataku menikmati pemandangan kota Auckland pada waktu malam yang amat menakjubkan.

Aku memandang hambar lampu-lampu neon yang nampak sayup berkelip-kelip. Aku termenung lama tatkala kenangan lalu tiba-tiba datang melatari ruang minda. Kadang kala aku tertanya-tanya pada diriku sendiri ke mana perginya Maya yang dulu.Maya yang penyayang dan memiliki hati yang penuh dengan kasih sayang.Mungkin segalanya berubah gara-gara satu tragedi yang berlaku pada dua tahun yang lalu.Tragedi itulah yang telah mengubah diriku dan pendirianku buat selama-lamanya.Perlahan-lahan aku memejam rapat ke dua-dua belah mataku.Bagaikan satu tayangan tanpa suara bayangan memori lalu kembali melatari ruang mataku.

Aku berlari keluar dari bilik kuliah sejurus saja Profesor Keith menamatkan kelas petang itu.Aku tergesa-gesa kerana aku sudah terlambat untuk bertemu dengan Fakhrul. Aku terus melemparkan senyuman sebaik saja aku terlihat kelibatnya yang sedang menungguku di kawasan taman. Fakhrul adalah rakan senior yang sudah lebih setahun aku kenali tetapi sudah hampir enam bulan kami menjalin hubungan cinta. Walau pun sudah dua tahun aku menuntut ilmu di London, aku tidak pernah bertemunya sehinggalah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kedutaan Malaysia tahun lalu. Ketika itu Fauzi, rakan serumahnya yang merupakan rakan sekelasku memperkenalkan aku kepada Fakhrul.Bermula sebagai kawan biasa, hubungan kami bertambah rapat dari hari ke hari.Akhirnya hubungan persahabatan kami membuahkan bibit-bibit cinta sehingga kami berdua digelar pasangan bercinta paling romantis kerana teman-teman sering melihat kami sentiasa berdua-duaan.

Fakhrul bukanlah cinta pertamaku namun apa yang membuatkan dia berbeza dengan lelaki-lelaki lain yang pernah aku dampingi ialah kesabaran yang dimilikinya kerana sementelah aku ini memang sangat keras kepala dan degil orangnya.

Selepas tamat pengajian kami pulang ke tanah air bersama segulung ijazah.Abah sangat bangga dengan keputusanku yang cemerlang.Abah juga telah menyediakan satu tempat untukku di pejabatnya. Oh ya aku lupa memperkenalkan siapa Abahku. Datuk Abdullah Ghani seorang ahli korporat yang sangat terkenal di Malaysia yang menerima banyak pengiktirafan termasuklah anugerah ahli perniagaan terbaik Asia Tenggara.Cukup dengan mendengar namanya sahaja, Abah sudah dikenali ramai.Aku dan adik-beradikku turut tidak terkecuali mendapat tempias dari kejayaan Abah.

Walau pun aku cuma anak angkat kepada keluarga ini, Abah tidak pernah membeza-bezakan aku dengan anak-anaknya yang lain. Cuma Mama dan Kak Long saja yang melayaniku dengan dingin. Entahlah...apa salahku kepada mereka juga aku tidak tahu. Namun aku tetap berusaha belajar menerima, ,memaafkan dan menyayangi mereka seikhlasnya. Family first kan.

Beberapa hari selepas aku kembali ke KL aku menceritakan tentang hubungan aku dengan Fakhrul kepada Abah.Kata Abah dia ingin bertemu Fakhrul mahu berkenal-kenalan kata Abah.Aku yang pada awalnya sangat teruja akhirnya kecewa ketika mengetahui agenda sebenar Abah berbuat demikian.Abah dengan terus terangnya memberitahu Fakhrul bahawa dia tidak merestui hubungan kami kerana aku telah dijodohkan dengan pilihan keluarga sejak kecil.

Aku yang pada mulanya sangat berkeras mempertahankan hubungan kami, akhirnya beralah dan putus asa apabila Fakhrul sendiri bertindak menjauhkan diri dariku.Panggilan telefon dan pesananku terbiar sepi tidak berbalas.Akhirnya hubungan kami putus dan terbiar begitu saja.Cuma baru-baru ini ada cerita sampai ke telingaku dari teman-teman sekampus yang Fakhrul baru mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihan keluarganya.

Tipulah kalau aku katakan yang hati aku tidak terusik langsung dengar berita itu, namun aku tabahkan hati dengan cuba menerima yang Fakhrul bukanlah jodoh untuk aku. Aku doakan moga dia bahagia dengan kehidupan barunya itu. Kini aku sudah boleh menerima yang kami berada di haluan masing-masing dan saling tiada kaitan antara satu sama lain lagi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.