Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
123,341
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

"BETUL ke kau nak kahwin dengan lelaki tu?"

Tiba di dewan kuliah, Emily pula jadi detektif bagi menggerudi rahsia Anom. Huh...pening Anom. Ingatkan sudah berjaya lari daripada Qayyum, dia boleh hidup tenang. Tingkah Emily pula menambah serabut fikirannya.

"Dia bukannya 'lelaki tu'. Dia ada nama. Nama dia Habib." Anom menjawab tanpa memandang Emily. Dia mengeluarkan sandwich daripada kantung plastik dan terus mengunyahnya macam seharian tidak berjumpa makanan. Akibat melayan si sengal Qayyum, perutnya mengaum-ngaum bagaikan harimau lapar.

"Habib?" Emily ketawa geli hati.

"Kenapa?" Anom menjegilkan mata. Dia tahu mengapa Emily tertawa tetapi sengaja ramah mulut bertanya. Tentu sahaja Emily gelakkan nama Habib yang cukup jarang ada pada nama orang Melayu.

"Tak ada apa-apa. Dia kaya ke?" Sambil tersengih, Emily bertanya.

"Kenapa pulak kau tanya macam tu?"

"Yalah...namanya Habib. Mesti suku sakat dengan Habib Jewels. Wah..untunglah kau, hari-hari dapat pakai barang kemas," usik Emily, tergelak kuat.

"Tak ada maknanya." Anom mencebik. Dia tidak kisah dengan semua itu. Dia bukannya gila barang kemas dan intan berlian. Tidak ada pun, bukan menjadi hal yang besar baginya. Dia tidak suka barang kemas bergayut-gayut di leher, tangan dan telinganya. Sampai ke kaki pun hendak disalutkan gelang emas. Huh! Lemas!

"Tapi bila tengok kereta mewahnya yang selalu bertukar-tukar tu, aku rasa dia bukan calang-calang orang. Mesti dia orang kaya." Emily menyelidik lagi.

"Memang pun. Dia Datuk," jawab Anom dengan mulut sibuk mengunyah roti.

"Ooh...anak Datuk?" tanya Emily, tersilap dengar.

"Tak. Dia yang berpangkat Datuk. Ayahnya Tan Sri Bakri, seorang billionaire. Memang dia sangat kaya." Bersahaja Anom membuka cerita tentang bakal tunangnya. Kalau orang lain sudah tersengih-sengih bangga mendapat bakal suami orang kaya. Tetapi tidak dia. Tiada rasa apa-apa yang singgah di hatinya. Berbangga? Jauh sekali.

"Wah...untunglah kau," sambut Emily dengan mata terkelip-kelip. Masih kurang percaya mendengar cerita teman sehati sejiwanya.

"Apanya yang untung?" Kerutan di dahi Anom berlapis-lapis.

Tidak faham Anom dengan perkataan 'untung' itu. Jika maksudnya bertuah kerana bakal berkahwin orang kaya, Anom pun apa kurangnya? Walaupun tidak semewah keluarga Habib, tetapi keluarganya bukanlah dalam kategori melarat. Jika dinilai dari sudut harta benda, mereka berdua agak seimbang. Jadi, apa yang untungnya?

"Yalah...untunglah dapat kahwin orang kaya. Bahagialah kau. Apa nak semua dapat," ulas Emily.

'Bahagia?' Anom mencebik. Betapa dangkalnya persepsi Emily tentang perkahwinan. Bahagia dalam berumah tangga bukan setakat hidup dilimpahi kemewahan tetapi perlu ada persefahaman. Ini kalau belum berkahwin sudah macam anjing dan kucing, bagaimana jika sudah tinggal serumah? Nampak gayanya memang setiap harilah dia bercekau dengan Habib.

"Tapi dia nampak macam dah berumur. Berapa umur dia tu?" Emily melanjutkan pertanyaannya.

"33 tahun."

"Eeii...tuanya? Macam tak padan aje dengan kau."

Terus terkunci mulut Anom. Bab itu memang tidak boleh disangkalnya. Malah bukan itu sahaja, ada banyak lagi jurang perbezaan di antara dia dan Habib yang Emily tidak tahu. Kalaulah rahsia itu meletup, memang dia bakal digelakkan Emily berbulan-bulan lamanya.

"Tapi kalau diikutkan, perkahwinan kami ni kiranya perkahwinan sekufu. Kalau kau nak tahu, aku dan dia seimbang dari segi agama, latar belakang keluarga, tahap pendidikan dan juga paras rupa. Perbezaan umur tak termasuk dalam perkahwinan tak sekufu. Jadi berdasarkan semua tu, tak salah aku berkahwin dengan dia."

Aik! Macam tidak percaya sahaja Anom boleh ulang ayat Habib bagi memberi pemahaman mendalam kepada Emily tentang topik perkahwinan dalam Islam. Ini kalau Habib dengar, tentu sengihan lelaki itu lebar sampai ke telinga. Silap-silap Habib boleh pengsan.

Tersedak-sedak Emily mendengar jawapan Anom. Hairan sungguh. Anom yang dia kenali hampir tiga tahun bukan seorang Muslim yang mengambil berat bab-bab agama. Namun, apabila mendengar Anom lancar menyebut tentang perkahwinan sekufu dan tidak sekufu dalam Islam, dia rasa mahu tercekik. "So, dah bulatlah tekad kau nak kahwin dengan dia?" tanya Emily, masih keliru dengan jawapan Anom.

"Hmm..." Anom mengangguk.

Beria-ia Anom Sufi mempamerkan muka yakin di hadapan Emily sedangkan hati di dalam masih terselit perasaan ragu-ragu dengan keputusan sendiri. Apabila ditelek dan diteliti, memanglah keputusannya untuk berkahwin dengan Habib seperti mendadak sahaja. Tetapi hendak buat macam mana? Habib sendiri tidak banyak memberinya masa untuk berfikir. Semuanya serba hendak cepat. Terasa macam tergesa-gesa.

Kadang-kadang, Anom terfikir yang dia buat keputusan begini kerana Qayyum. Disebabkan Qayyum yang gatal hendak bertunang dengan Miza, dia pun jadi terikut-ikut dengan rentak Qayyum dan membuat keputusan terburu-buru untuk berkahwin dengan Habib. Tetapi apabila difikirkan balik, rasanya tidak salah dia menerima Habib sebagai suami sementelah Habib tiada cacat celanya malah sempurna serba-serbi.

Habib adalah calon terbaik yang ALLAH datangkan untuknya. Kata-kata itu yang selalu papa tegaskan di telinganya. Anom yang malas mengerahkan otak berfikir panjang, terus menerima kata-kata papa tanpa banyak bersoal-jawab. Mungkin sudah sampai jodohnya dengan Habib. Habis cerita.

"Baru-baru ni Daniel ada call aku ajak lepak kat kelab. Kita pergi jom? Kita pun dah lama tak clubbing. Asyik terperap kat rumah aje. Bosan gila kau tahu tak? Apa kata kita pergi weekend ni, Ann?" Topik perbualan Emily tiba-tiba sahaja beralih ke arah yang lebih menerujakan. Topik yang mampu membuatkan pipi putihnya memerah bagaikan dioles pemerah pipi.

Anom Sufi cuma mampu menggeleng kepala. Hendak keluar ke kelab? Ketahuan dek Habib nanti, memang masak dia dibebel. Papa sekarang pun sudah berjangkit perangai Habib, mula hendak mengawal pergerakannya. Pantang dia berkata mahu keluar malam, mulalah papa menyelidik hingga ke akar umbi. Mengalahkan agen CIA pula.

Namun, apabila mendengar nama Daniel disebut Emily, dia mula terasa cuak. Lebih-lebih lagi apabila terpandangkan muka Emily yang semerah strawberi apabila bercerita tentang lelaki kaki clubbing itu.

Nampak macam rapat sahaja hubungan Emily dan Daniel. Sejak bila mereka rapat ya? Bila pula mereka bertukar-tukar nombor telefon? Mungkin dihari pertama mereka berkenalan dahulu. Hari dia diheret Habib keluar dari kelab malam The Zass. Hati Anom sudah tidak boleh duduk diam memikirkan Emily.

"Selalu ke Daniel call kau?" Anom sibuk hendak jaga 'tepi kain' Emily.

"Err...adalah juga. Taklah selalu." Emily sudah membuang muka ke samping. Lagaknya macam cacing kepanasan. Entah mengapa.

Mengecil mata Anom merenung wajah Emily. Baginya, lain benar jawapan Emily. Macam ada yang tidak kena di mana-mana. Boleh percayakah jawapan Emily ini?

Anom curiga bukan sebab cemburukan Emily berkawan dengan Daniel tetapi dia tidak berapa gemar temannya itu rapat dengan pemuda kaki ukur kelab malam itu. Bukan dia tidak tahu macam mana perangai Daniel. Sikap lelaki itu lebih banyak negatif daripada positifnya. Sudahnya nanti, Emily pula yang terpengaruh dengan perangai buruk Daniel. Eh...cara dia membebel sudah macam ustazah pula. Nampak sangat dia sudah dijangkiti sindrom 'Ustaz Habib'!

"Kita pergi jom, Ann?" goda Emily lagi apabila Anom diam sahaja. Tangan Anom digoyang-goyangkannya. Gaya dia memujuk tidak ubah macam anak kecil merengek kepada si ibu untuk membelikannya aiskrim.

Emily sudah rindu mahu ke kelab malam. Kali terakhir dia menjengah pusat hiburan itu ialah pada malam dia berkenalan dengan Daniel dahulu. Sejak itu dia tidak pernah lagi ke sana biarpun berulang kali diajak Daniel. Bukan dia yang rela berkurung di rumah tetapi daddydan mummynya yang menegah. Memang begitu syarat yang diletakkan kedua orang tuanya iaitu tanpa Anom Sufi, jangan berangan dia boleh keluar malam. Sebab itu, sedaya upaya dia cuba memujuk Anom untuk keluar sama.

"Habib tak benarkan aku ke kelab. Papa aku pun sekarang dah pandai kawal aku." Lemah suara Anom. Hatinya pun sudah menggelitik mahu merasai suasana bingit di pusat hiburan namun apa kan dayanya? Kaki dan tangannya seolah-olah sudah dirantai Habib dan papa.

"Alaa...jomlah, Ann. Kenapa kau nak ikut sangat cakap dia? Kau dengan dia bukannya ada apa-apa lagi. Bertunang pun belum," pujuk Emily.

"Memanglah tapi..."

"Sementara belum ada ikatan ni baiklah kau pergi. Nanti-nanti, bila dah kahwin langsung dia tak benarkan kau keluar." Emily belum mahu mengalah. Bijak mencari peluang untuk memanipulasi perasaan Anom yang sedang haru-biru.

Anom berjeda. Payah rasanya mahu membuat keputusan. Di antara keinginan untuk melunaskan naluri keremajaan dan perasaan hormat kepada kedua orang tua, yang mana satu harus dia pilih?

"Jomlah, Ann. Sementara ada peluang ni baiklah kau keluar. Aku janji, ini yang terakhir. Lepas ni aku takkan ajak kau keluar lagi." Belum putus asa nampaknya Emily memujuk Anom.

Tidak mahu membiarkan Emily terus mendesaknya, akhirnya Anom menganggukkan kepala. Ini yang terakhir, bisiknya dalam hati. Selepas ini dia tidak akan jenguk lagi kelab hiburan biarpun dipujuk Emily. Itu tekadnya. Namun, apabila memikirkan reaksi Habib dan papa, dia jadi risau sendiri. Mereka benarkan ke dia keluar malam? Jawapannya, sudah tentu tidak. Justeru, hendak selamat daripada dibebel, ada baiknya dia cari alternatif lain. Cara paling mudah ialah berbohong.

Namun, kalau papa boleh lagi dia kelentong, tetapi Habib? Bolehkah Habib percayakan alasannya? Hmm...lantaklah kalau Habib tidak mahu percaya. Habib pun belum ada hak untuk mengawal tindak-tanduknya dan dia pun tidak wajib untuk taat perintah Habib. Lainlah kalau Habib sudah ada 'lesen besar'. Bolehlah dia hormat dan taatkan Habib sepenuh hati.

Jadi, dia akan ikut Emily keluar. Itu keputusan muktamadnya.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.