Home Alternatif Alternatif Karton
Karton
Astrid K.
23/9/2018 10:43:03
26,391
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Bab 3

Masa Yang Berputaran Ke Belakang


  "Kita hantar saja dia terus ke Rumah Bougainvillea dekat Bukit Gurney tu. Bila dia tinggal dekat sana terus, lebih senang dia belajar menjahit, mengemas dan jadi perempuan yang wajar." Kata satu- satunya wanita tua yang gemar bersanggul dalam rumah tu. Ibu saudara saya. Dia sedang bercakap dengan ibu saya menggunakan telefon meja. Di tepi mejanya, secawan kopi susu yang dia minta saya bancuh untuknya.


  "Tak, dia akan tinggal di sana, tak perlu lagi tinggal di rumah ni. Beberapa tahun lagi, saya nanti akan carikan dia calon suami. Dia tak kurang manis, pasti ada ramai anak- anak orang kaya yang berkenan untuk ambil dia sebagai isteri,"
Saya mengintai di tepi dinding pintu ruang tamu mendengar apa yang dicakapkan mereka, dan dia tak perasaan langsung. Perempuan tua itu marah- marah. Katanya, dia tak suka saya memekak dengan banjo buruk saya, dan dia tak faham kenapa ibu saya ajar macam mana bermain banjo pada anak perempuannya. Perbualan telefon mereka dah tamat. Dia mengangkat cawan kopi di sebelahnya dan menghirupnya beberapa kali. Saya menghela nafas, dan mula melangkah dari situ, berkira- kira untuk naik ke bilik.


  Tapi tak sampai beberapa saat, dia malah batuk- batuk, kedengaran keras dan teruk sekali. Bila saya kembali intai, dia tengah meringkuk dekat hujung kerusi malas. Sambil batuk, darah merah pekat membuak keluar dari mulut dia. Dia nampak saya. Mata dia merenung, mungkin minta dibawakan air atau tolong dailkan nombor 999 guna telefon meja yang ada di sebelah kaki saya. Tidak pasti, mata saya mengedip laju, terus saya lari ke dalam bilik saya dekat atas loteng. Saya petik banjo sambil tersenyum. Mata saya terpejam.


*---------*


  Bila saya buka mata, hari sudah terang. Menerusi pintu berkaca, saya lihat anak anjing yang buta tu ada di beranda. Dia sedang memakan sisa- sisa roti yang saya letakkan di piringnya pada petang semalam.


  Betapa malam tadi adalah sebuah kombo katastrofi. Panas, nyamuk dan mimpi buruk (tentang dua orang yang sudah mati). Di atas sofa, saya duduk memikirkan mak cik Julita- wanita yang gemar bersanggul, dan berkebaya yang saya mimpikan sebentar tadi. Mungkin, sumpahan yang lelaki tua tu maksudkan ada kaitannya dengan mendiang mak cik Julita. Dia sudah mati 20 tahun lepas, akibat alahan pada kacang walnut, yang menyebabkan dia batuk darah tak henti- henti, dan akhirnya mati. 

  Saya pandang sekeliling ruang tamu. Di hujung sudut meja telefon tu, adalah tempat dia sekarat dengan darah membuak dari mulut dia. 


  Apa saya bersalah? 


  Saya menggelengkan kepala. Memang saya sedikit bencikan dia, tapi mana saya tahu dia ada alahan terhadap kacang walnut. Saya meletak serbuk kacang walnut ke dalam kopinya, sebab saya kira mungkin dia akan sukakannya, dan berhenti paksa saya tinggal di Rumah Bougainvillea tu.
Saya bangun dari sofa dan buka tingkap luas- luas. Saya memang susah untuk percaya perkara- perkara mistik, tapi saya berdoa, kalaulah roh mak cik Julie masih menghantui rumah ini, saya harap dia berambus dan terbang ke tempat yang seharusnya dia tuju. Rumah ini bukan tempat dia. Lalu tiba- tiba langsir kumal pada tingkap di depan ditiup angin kencang dari luar.


  "Ini rumah saya," Bisik saya, perlahan, tapi mantap.


*--------*


  Dua belas kali ketukan pintu, berjeda tiap empat ketukan, tapi masih tak ada respon. Rumah itu adalah rumah yang paling dekat dengan rumah sewa saya. Maksud saya, bekas rumah saya. Rumah ini dan rumah saya terpisah cuma dengan satu jalan besar. Saya hampir berlalu pergi bila saya dengar pintu yang saya ketuk tu berkeriutan. Saya kembali berpaling ke belakang.


  "Cari siapa?" Pertanyaan itu dilontar kepada saya. 


  "Tuan Johannes," Jawab saya kembali. 


  "Oh, maaf. Aku adalah pemilik pertama rumah ni selepas 10 tahun rumah ni tak berpenghuni. Tapi aku memang sedia tahu Tuan Johannes memang pernah tinggal di sini," Lelaki itu keluar dari kuakan pintu rumahnya. Di lehernya berlingkar tuala berwarna hijau toska. Dia nampak segar, dan saya bau aroma syampu meruap dari rambutnya yang panjang dan basah.


  "Maaf saya seperti mengganggu," Gumam saya.


  "Tak, tak sama sekali." Kata- kata dia berhenti di situ, dan saya malah merasa diperhatikan.


  "Err.. Aku tak pernah nampak muka kau sebelum ni. Orang baru ya?" Tanyanya. Saya mengangguk kepala perlahan - lahan. Lebih tepat, orang lama yang baru kembali, jawab saya dalam hati.


  "Ada peluang tak, kalau- kalau kamu tahu macam mana saya boleh hubungi Tuan Johannes?"


  Lelaki tu menggelengkan kepalanya, macam yang saya jangka. Sialan. Tanpa Tuan Johannes, saya tak mungkin dapat cari petanda gerangan siapa yang menghantarkan bungkusan barang tu.


  "Tapi, aku rasa ada sesuatu yang boleh tolong kau. Dekat dalam stor, ada beberapa kotak karton yang ditinggalkan.. Rasanya tu kepunyaan Tuan Johannes,"
Lalu dia menjemput saya masuk.


*--------*


  Melalui ruang tamu rumahnya, semua yang saya nampak adalah dinding kosong tanpa bingkai gambar atau satu benda apa pun. Kedua, bau akrilik. Saya harap dia tak terasa bila saya mengerut- ngerut hidung, sebab saya tak berapa gemar dengan bau akrilik. Rasanya lelaki ni seorang pelukis.
Bila kami berdua sudah ada di dalam stor, barulah bau akrilik tu makin pudar. Berganti bau hapak pula. Ada beberapa kotak karton tergeletak di sudut kanan bilik. Berhabuk dan nampak kusam.


  "Tak pernah cuba dibuka?" Tanya saya, memandang lelaki itu. Dia menggelengkan kepala. 


  "Tak pernah terfikir. Rasanya betul lah aku terlampau sibuk untuk bagi perhatian pada kotak- kotak ni," Balasnya. Kedengaran sangat tak peduli.


  Beberapa saat kemudian dia kembali entah dari mana- mana dengan sebilah pisau rambo. Kotak pertama ditoreh, kemudian kedua dan ketiga. Kesemuanya berisi buku- buku sastera, yang saya agak milik Tuan Johannes. Tak ada apa- apa yang boleh bagi petunjuk dekat mana orang tua tu berada sekarang.


  "Lihat. Ada satu lagi kotak kecil dalam kotak ni," Lelaki tu maksudkan kotak ketiga. Saya capai kotak kecil berwarna perang gelap tu, dan laju saya koyak pita- pita pelekat yang menutupnya. Saya menemukan sehelai kad bertulisan tangan.


  "Macam mana? Jumpa apa-apa?" Tanya lelaki tu. Mata saya naik ke dia, kemudian kembali ke kad di tangan saya.


Seandainya si melur berbunga kembali, kapal rosak masih tetap berlayar di lautan tak berdimensi.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Astrid K.