“Hai
Sally,” sapa Myra kepada teman serumahnya, wanita berasal dari Indonesia yang
sama-sama mencari rezeki di bumi Hong Kong ini.
“Pergi
ke mana tadi Myra?” Tanya Sally dalam loghat Indonesianya yang masih pekat.
“Macam
biasalah, pergi survey harga hotel
dan tiket-tiket semua dan deal dengan
tempat-tempat yang customer nak pergi
nanti,” jawab Myra kemudian melabuhkan punggungnya di sebelah Sally yang sedang
enak mengunyah pop-corn. Jari Mira mencapai
beberapa butir pop-corn kemudian
terus dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Bila
customer kau nak datang sini? Berapa
ramai?” Tanya Sally lagi.
“Bulan
depan katanya. Tiket dah dapat. Diaorang satu family.
Parents, and 2 anak umur 14 tahun dan 11 tahun,” jawab Myra. Dia
menyandarkan tubuhnya ke sofa. Letih juga selepas berjalan agak jauh ke
beberapa tempat pelancongan dengan menaiki subway.
“Bagus
ya bisnes kau sekarang. Alhamdulillah….” Sally memberikan pendapat jujur. Myra
menoleh ke arah Sally, kemudian tersenyum… “Alhamdulillah” balasnya. Dia meletakkan
tapak tangannya ke atas tangan Sally, tanda mengucapkan terima kasih di atas
sokongan yang selama ini tidak putus-putus diberikan oleh Sally.
Sebagai teman serumah dan sama-sama
merantau ke negara orang, mereka berdua memang sangat rapat. Mereka memang
perlu saling bergantung kerana mereka tiada ahli keluarga lain di sini. Malah
Myra dan Sally juga masing-masing adalah anak yatim. Kedua ibu bapa mereka
telah meninggal dunia dan tiada adik beradik juga untuk mereka bergantung
kasih.
Myra memang sangat bersyukur kerana
ditemukan dengan Sally. Baginya pertemuan dengan Sally adalah satu rahmat ALLAH
yang ingin membantunya disaat dia memang benar-benar tersedak dan tergapai-gapai
di dalam kehidupannya. Myra bertemu Sally sewaktu dia bekerja di sebuah hotel
di sini sebagai pengemas bilik. Kebetulan mereka berdua ditugaskan bersama-sama
dan sejak itu mereka menjadi semakin akrab. Sally juga telah mengajak Myra
tinggal bersamanya apabila dia mendapat tahu Myra hanya menyewa sebuah bilik
yang kecil di sebuah flat lama. Kos hidup di negara ini memang sangat tinggi.
Oleh itu Myra hanya mampu menyewa sebuah bilik kecil dan rumah itu pula
dikongsi dengan lima orang lagi yang datang dari pelbagai negara.
“Kau
duduk saja dengan aku. Lagipun roommate
aku nak kahwin hujung bulan ni dan dia akan ikut suami dia balik ke Jakarta.” Sally
menoleh sekejap ke arah Myra yang sedang mengelap cermin di dalam bilik itu.
Myra berhenti sekejap kemudian menoleh ke arah Sally.
“Tak
apa ke? Aku tak susahkan kau nanti?” Tanya Myra dan pada masa yang sama dia
menyemburkan cecair pencuci cermin ke atas tuala kecil di tangan kanannya.
“Nak
susahkan apa pulak? Kau pindah masuk saja. Kita jadi housemate. Senang boleh pergi dan balik kerja sama-sama. Tapi bukanlah duduk free. Sama-sama sharela
duit sewa rumah…,” balas Sally dengan sengihan panjang.
Myra
tersenyum. Dia tahu Sally ikhlas mengajaknya. Lagipun memang mereka adalah kawan
sekerja dan sangat rapat. Myra pun memang sebelum ini sudah berkira-kira mahu
mencari bilik yang lain kerana sudah tidak tahan dengan perangai rakan
serumahnya sekarang. Tinggal di negara yang tidak ada pegangan agama yang kuat
memang menyesakkan jiwa Myra. Namun dia tidak ada banyak pilihan. Kesempitan
wang membuatkan dia terpaksa akur dan bersabar dengan dugaan hidup yang perlu
dia lalui di sini.
“Iyalah…,
itu aku tahu. Alhamdulillah…, aku pun memang tengah nak cari bilik lain ni. Aku
dah tak tahan la. Macam-macam perangai ada kat rumah tu. Bab bawak lelaki masuk
rumah memang tak boleh nak kata apa dah…,” bebel Myra kepada Sally. Sally
mengangguk.
“Iya…,
bukan senang mahu mencari rakan serumah yang beraga Islam. Aku memang nak ajak
kau awal-awal lagi dulu, tapi sebab rumah tu pun kecik. Bilik pun ada dua saja.
Dan sekarang kebetulan pula Tila sudah mahu pindah. Itu rezeki kau Myra,” jawab
Sally sambil tangannya pantas menukar sarung bantal dan mengemaskan bucu cadar
katil.
“Bilik
air sudah siap?” Tanya Sally kepada Myra apabila dilihatnya Myra hendak keluar
mengambil tuala baru untuk digantikan. Myra hanya mengangguk tanpa balasan
suara, kemudian dia masuk semula membawa dua helai tuala putih tebal. Tuala itu
diletakkan di atas besi penyidai di dalam bilik air. Toiletries digantikan
dengan yang baru kerana memang setiap kali mengemas bilik, semua toiletries
perlu digantikan dengan yang baru kerana pelanggan hotel selalunya akan membawa
pulang semua toiletries tersebut.
Myra
tersenyum sendiri. Dia juga selalu melakukan perkara yang sama dulu. Setiap
kali pergi ke hotel, dia pasti akan mengutip semua toiletries yang comel-comel
di dalam bilik air hotel dan membawanya pulang sebagai kenangan. Malah dia
membuat satu sudut yang khas untuk menyimpan semua toiletries tersebut.
Tiba-tiba senyuman di bibirnya hilang apabila kenangan itu terus membawa
dirinya semakin jauh sehingga menjangkau kenangan yang tidak mahu diingatinya
lagi. Terus Myra keluar dari bilik air dan keluar dari bilik itu. Kerja mereka
untuk bilik itu telah selesai. Sally juga sudah menunggu di luar, bersedia
untuk menolak troli berisi barangan-barangan gantian serta plastik besar berisi
sarung bantal, cadar dan tuala yang telah digantikan.
Oleh
kerana tiada pelanggan lain yang check
out pada hari itu, tugas mereka selesai dan mereka boleh terus menolak
troli ke bilik yang disediakan untuk pekerja pembersihan hotel itu.
Tepukan
ke peha Myra mengejutkan dirinya yang sudah mengelamun panjang. Myra menoleh ke
arah Sally di sebelahnya.
“Kau
sudah pergi sampai ke mana? Tersenyum-senyum sendiri…,” tegur Sally apabila
sebentar tadi Myra mendiamkan diri agak lama. Sally perasan yang Myra sedang
mengelamun apabila matanya merenung ke arah televisyen tetapi dia seakan-akan
berada di dalam dunianya sendiri. Apabila Myra kemudiannya tersenyum sendiri,
Sally pasti tekaannya adalah betul. Disebabkan itulah dia mengejutkan Myra.
“Sudah
solat Zohor?” Tanya Sally lagi.
Myra
menggeleng. Kelam kabut dia melihat jam di pergelangan tangan.
“Alamak,
dah lambat. Myra pergi solat dulu.” Bergegas Myra bangun meninggalkan Sally. Malu
dia kerana melewat-lewatkan solat sedangkan selama ini ALLAH banyak membantunya
di sini.
Sally
menggeleng kepala melihat reaksi Myra. Menjadi teman serumah dengan Myra hampir
dua tahun membuatkan dia menjadi teman pendengar yang setia buat sahabatnya
itu. Segala suka duka yang pernah dilalui oleh Myra di dalam kehidupannya
berada di dalam pengetahuan Sally. Dulu dia ingatkan bahawa kehidupannya sangat
susah, penuh dengan ranjau dan duri, tetapi apabila dia mendengar cerita dari
Myra, dia tidak sangka rupanya kehidupan Myra jauh lagi teruk dari
kehidupannya.