Home Cerpen Seram/Misteri puaka malam
puaka malam
24/6/2016 14:43:14
3,963
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Sekumpulan penduduk kampung meredah malam pekat menuju kesebuah rumah dipinggir kampung. Tidak menghiraukan pada hawa malam yang kian dingin. Tidak peduli pada lolongan anjing dikaki bukit. Tidak kisah pada sang jampuk yang sesekali bersuara. Semua itu diketepikan. Ada sesuatu yang lebih penting untuk mereka selesai malam itu juga. Tidak boleh tidak.

Ketua kampung, Tok Berahim mendahului pergerakan mereka malam itu. Rata-rata yang mengekorinya adalah anak-anak muda kampung. Masing-masing berwajah bengis. Ada yag mambawa kayu dan batang besi. Ada pula sekadar tangan kosong saja. Yang pasti malam tu didada masing-masing sudah meluap-luap dengan rasa tidak puashati. Denai yang membawa mereka ke rumah kepunyaan Dollah dipinggir kampung diredah lagi.

Tok Berahim yang berjalan agak perlahan sesekali ditolak dengan tidak sengaja oleh anak-anak buahnya dari belakang.

“ Heh.....sabarlah,” dengan misai melentik dibibirnya dia menoleh. Wajahnya masam.

“ Dah tak sabar lagi ni tok,” sahut seorang anak muda dibelakangnya.

“ Hah! Kalau dah tak sabar sangat kau pergi dulu,” telunjuknya diangkat menunding kearah rumah kayu milik Dollah.

Anak muda tadi tersengih dalam gelap. “ Maaf tok.”

Bulan sabit tersangkut cantik didada langit. Angin malam sesekali berhembus perlahan. Bintang bertaburan diangkasa seperti malam-malam yang lepas. Langkah kaki yang diaturkan semakin laju.

Hampir sampai dirumah Dollah, seorang pemuda lain menyambut ketibaan tok Berahim dan yang lain-lain.

“ Mana dia?” soal tok Berahim. Misai tebalnya kelihatan bergerak-gerak.

“ Dia ada dekat dalam tok,” beritahu Bahar sebelum menoleh kearah rumah kayu lama milik Dollah.

“ Dah lama?” soal tok Berahim lagi.

“ Taklah lama sangat. Tapi memang saya nampak memang dia masuk dalam rumah Dollah,” sahut Bahar sambil cuba menenangkan dirinya sendiri.

Dia yang ditugaskan oleh tok Berhim meronda bersama Jalak dan Sudin terserempak dengan apa yang mereka cari selama ini. Terhendap-hendap mereka bertiga memerhatikan kearah orang yang dimaksudkan. Tidak pula anak-anak muda itu menyangka yang malam ini memang sudah rezeki mereka. Lantas kerana tidak mahu terlepas Bahar meminta Sudin menemui tok Berahim segera. Kalau boleh mereka mahu serbu dan menangkap orang yang dimaksudkan. Nama kampung mereka sudah lama tercemar dek perbuatan tidak bertanggungjawap itu. Mana bisa dilepaskan begitu saja.

Sepeninggalan Sudin, Bahar dan Jalak sibuk memerhatikan setiap pergerakan perempuan itu. Langsung tidak lepas dari pandangan mereka berdua. Bimbang juga Bahar andai tok Berahim dan yang lain-lain datang terlalu lewat. Mungkin mereka akan terlepas peluang keemasan ini.

Perbuatan tidak senonoh itu harus dihentikan segera. Tidak boleh tidak. Kalau tidak diambil tindakan nama kampung mereka juga yang akan dijaja nanti. Tentu muka seluruh penduduk kampung akan malu.

Tok Berahim pula yang ketika itu sedang enak duduk berlabon dengan dua tiga orang tua dibalairaya tersentak dengan kemunculan Sudin. Berjejeh peluh didahinya. Tercunggap-cunggap nafasnya. Tok Berahim yang terhenti berborak meminta anak muda itu bertenang. Tergopoh-gapah pula Sudin memberitahu berita penting itu pada Tok Berahim. Sekaligus membuatkan lelaki berkumis tebal itu terkejut bukan kepalang.

Dek kerana tidak mahu bertangguh lagi, tok Berahim selaku ketua kampung yang berwibawa meminta agar dikumpulkan seberapa anak muda yang ada disitu ketika itu. Manakala dua tiga pemuda lain diminta mencari rakan-rakan lain yang sedang keluar meronda untuk sama-sama berhimpun di rumah Dollah.

“ Kita mesti hentikan semua ini!” ucapnya dengan tegas.

Sememangnya perbuatan terkutuk itu harus dihentikan dengan segera. Penduduk kampung sudah tidak larat lagi. Mereka sentiasa berada didalam keadaan ketakutan. Tanpa dipinta masalah demi masalah mula timbul tanpa disedari.

Entah sial apa penduduk kampung terpaksa memikul bala ini, dia pun tidak tahu. Sejak tersebarnya berita perbuatan itu, anak-anak kampung sudah tidak berani hendak keluar malam. Malah ada yang tidak lagi mahu mengaji seperti selalu. Mereka lebih rela berkurung didalam rumah. Anak-anak gadis kampung yang bekerja kilang juga menjadi seriau bila pulang diwaktu malam. Terpaksalah ahli keluarga yang lain datang menunggu dikepala simpang kerana bas kilang tidak masuk kejalan kampung. Hanya berhenti dijalan besar untuk menurunkan mereka. Malahan masjid juga sudah kurang jemaahnya. Ramai yang tidak mahu datang berjemaah seperti biasa. Masing-masing takut terserempak.

Ya! Berita gadis muda mencari darah anak dara sunti bukan baru lagi. Sudah tesebar sejak dua bulan yang lalu. Mulanya berita tu hanya dianggap dongeng. Ramai yang tidak percaya. Malah ada yang mentertawakannya. Zaman moden seperti ini mana ada lagi orang mahu memakai susuk. Susuk sudah digantikan dengan botox. Zaman susuk sudah lama ditinggalkan orang. Itulah diantara alasan yang diberikan bagi menangkis berita itu.

Namun bila ada penduduk kampung diganggu keadaan mula berubah. Masing-masing cuak apabila ada rumah penduduk kampung dipecah masuk ketika dini hari. Ketika embun jantan menitik membasahi bumi, ketika itulah perempuan yang dikatakan memakai susuk itu muncul dan menganggu.

Mangsa pertama ialah rumah Pak Itam. Ketika Pak Itam sekeluarga enak dibuai mimpi tanpa disedarinya salah satu tingkap kayu telah berjaya diumpil oleh perempuan puaka itu. Kelibatnya dikatakan mencari bilik anak dara sunti Pak Itam.

Mujur saja anak daranya yang bernama Melah menyedari akan kemunculan gadis jembalang itu. Tatkala wanita itu masuk kedalam kamar Melah, dia terjaga. Dalam samar-samar lampu tidur Melah dapat melihat ada sesusuk tubuh berjalan dan menghampiri katilnya.

Lama juga dia merenung empunya susuk gelap itu. Mulanya dia menyangka ibu atau kakaknya namun setelah diperhatikan dia merasa susuk itu ganjil. Tubuhnya bagaikan berselubung. Melah yang kagetnya akhirnya menjerit sekuat hati apabila mnyedari yang dilihatnya ialah perempuan puaka yang sedang memburu darah anak dara.

Jeritan itulah yang membuat Pak Itam dan isterinya terjaga. Lantas kedua laki bini itu menerpa kearah kamar tidur Melah. Sebaik saja Pak Itam masuk kedalam terus dia memetik suis lampu. Apa yang disaksikan oleh Pak Itam laki bini ketika amat mengejutkan. Baik Pak Itam mahu pun bininya masing-masing melopongkan mulut. Begitu juga dengan Melah. Melopong dan terkaku diatas katil tanpa suara.

Dengan sekali tendang tingkap dibilik Melah ternganga luas. Lantas susuk perempuan berjubah dan berpurdah hitam itu melompat dan lesap dalam sekelip mata. Demam Melah dua hari selepas kejadian itu. Puas jugalah Pak Itam memanggil bomoh dan pawang untuk memulihkan anaknya.

Kejadian itu akhirnya menjadi bualan penduduk kampung. Kisah Melah diganggu oleh perempuan hauskan darah anak dara menjadi topik hangat dan sensasi mengeliling kampungnya dan kampung sebelah-menyebelah.

Dan sejak dari itulah sedikit demi sedikit orang kampung mula dipeluk dengan rasa takut dan bimbang. Lebih-lebih lagi pada mereka yang ada anak gadis sunti. Yang masih lagi berdara. Masing-masing kecut bila memikirkannya.

“ Tak boleh jadik ni tok. Nampak gayanya perempuan tu dah mula mengusik dan menganggu penduduk kampung,” satu hari Bahar meluahkan kemarahannya. Kerana berita itu juga dia dan beberapa kerat anak muda yang duduk bergebang dikepala simpang terhenti aktivitinya. Masing-masing tidak berani hendak duduk berlabon hingga jauh ketengah malam. Tidak seperti selalu.

“ Betul tok. Adik saya yang belajar tuisyen malam pun dah selalu ponteng. Bila ditanya dia cakap dia takut kalau terjumpa dengan perempuan jahanam tu tok,” sampuk Sudin. Dibalairaya kampung akhirnya tok Berahim mengarahkan agar diadakan mesyuarat tergempar. Membincangkan bagaimana kaedah mencari jalan agar permasalahan ini dapat diselesaikan dengan tuntas.

“ Betul tu tok. Anak saya cikgu Latifah sendiri mengadu pada saya yang budak-budak kampung dah tak nak belajar dikelas malam. Anak saya dah berapakali datang tapi seekor budak pun tak ada. Sudahnya dia balik. Dah berapa minggu ni asyik tak mengajar aje, ” jujur Pak Andak melahirkan kebimbangannya. Tok Berahim hanya menundukkan kepalanya dan mengeluh berat.

“ Bukan tu aje. Saya terpaksa pulak menjemput anak gadis saya bila pulang malam dari kerja. Yelah, dia tu kerja kilang. Ada syif. Kalau dia kena balik malam saya jugak yang kena turut dia disimpang. Dulu tak macam ni. Aman. Dia sorang-sorang pun selamat balik sampai rumah,” giliran pak Leman pula menyuarakan kegelisahannya.

Rumit kalau macam ni, fikir tok Berahim sendiri. Satu-persatu muka-muka penduduk kampung yang hadir dibalairaya malam itu diperhatikan. Masing-masing berwajah keruh. Ada jalur-jalur ketakutan bermain diwajah mereka.

“ Kita kena buat sesuatu ni tok! Tak boleh diamkan!” tidak semena-mena terdengar satu suara memekik dari belakang dewan. Segera tok Berahim mendongak.

“ Apa yang boleh kita buat?” soal tok Berahim. Meminta pendapat dari anak-anak buahnya.

“ Kita panggil bomoh tok!” cadangan itu keluar dari mulut Sahak. Lelaki itu cukup dikenali kerana sikap pemalasnya. Bukan tidak ada kerja yang boleh dibuat dalam kampung. Dek kerana terlalu melayan sangat sifat malasnya, Sahak hidup susah. Sekaligus menyusahkan anak dan bininya sendiri.

“ Ini kecik punya problem tok,” laung Sahak lagi dengan dada yang membusung kedepan. Entah apa yang dia banggakan dengan cadangannya itu, orang lain tidak pasti.

“ Maksud kamu, Sahak?” tok Berahim meminta agar Sahak menjelaskan maksudnya.

“ Kita semua tahu yang perempuan puaka tu tengah sibuk cari darah anak dara sunti. Betul?”

Kesemua kepala penduduk kampung mengangguk macam belatuk.

“ Kita boleh panggil bomoh atau pawang untuk kita ‘pagar’ kan rumah kita. Dengan itu perempuan puaka tu tak boleh masuk atau pijak kawasan rumah kita. Kan selesai masalah tok,” Sahak tersengih. Ruang dalam dewan mula hingar-bingar dengan suara penduduk kampung. Bahar dan teman-temannya sekadar memakukan pandangan masing-masing pada Sahak yang masih lagi tersengih-sengih macam kerang busuk.

“ Dengan cara ini penduduk kampung akan selamat,” lanjut Sahak. Kemudian dia berkalih pada penduduk kampung yang mula membincangkan akan buah fikirannya sebentar tadi.

“ Bila dia tak dapat masuk kedalam rumah penduduk kampung, lama-lama dia akan berambus dari sini. Selesailah masalah kita,” Sahak ketawa. Hampir separuh dari orang kampung mula menganggukkan kepala. Mudah termakan dengan bicara Sahak tadi. Malah ada yang tidak sabar-sabar mahu mengangkat tangan bersetuju dengan pandangan Sahak biar pun belum ditanya oleh tok Berahim.

“ Kalau kita tak buat macm ni. Masalah tak akan selesai tok,” Sahak cuba untuk menyakin beberapa kerat penduduk kampung yang seakan-akan enggan untuk bersetuju. Ini termasuklah kumpulan anak-anak muda seperti Bahar.

“ Lagi pun saya kenal dengan sorang tok pawang ni. Dia memang handal dalam bab-bab macam ni. Kita boleh yakin dengan dia,” tambah Sahak dengan dahi berpeluh. Ketika dia menjeling yang dilihatnya cuma golongan yang sudah berumur saja yang menyokongnya. Yang muda-muda buat tidak peduli. Pada anggapannya kata-katanya tadi tidak laku ditelinga puak-puak ini. Dia mula risau.

“ Pawang mana yang kau kenal ni Sahak?” ada suara lain mencelah.

Sahak menoleh dengan deras. Telaga matanya bertaut dengan mata Bahar.

“ Ah! Kau mana kenal?” tempelak Sahak yang menganggap Bahar masih budak hingusan lagi.

“ Kau kenal dengan pawang tu?” giliran tok Berahim bertanya.

Laju Sahak menganggukkan.

“ Kita boleh minta bantuan dari dia dan bayar sikit pengerasnya,” ucap Sahak. Kalau tok Berahim sendiri yakin dengan cadangannya, mudahlah dia melakukan kerjanya.

“ Saya tak setujulah tok,” Bahar berani menyangkal usul dari Sahak. Sempat dia menjeling kearah lelaki itu. Sahak terus memasamkan mukanya.

“ Apa yang kita nak tangkap ni bukannya jembalang atau puaka yang sampai kita hendak mengunakan khidmat bomoh atau pawang. Dia cuma seorang perempuan,” Bahar melinggaskan matanya memandang pada setiap wajah yang ada didalam dewan itu. Suasana menjadi sepi dan beku. Masing-masing memberikan tumpuan pada anak muda berambut panjang mencecah bahu itu. Lebih-lebih lagi Sahak.

“ Seperti yang kita tahu perempuan tu perlukan darah nak dara sunti untuk memulihkan mukanya yang buruk dan hodoh. Tak lebih dari itu. Maknanya dia bukan hantu. Cuma manusia biasa yang boleh kita pegang dan tangkap macam orang lain,” kelihatan beberapa kepala penduduk kampung mula mengangguk. Mengiyakan akan pendapat Bahar yang dirasakan logik.

“ Kita semua tahu yang dia ada memakai susuk dan melanggar pantang secara tidak sengaja. Sudahnya mukanya yang cantik bertukar menjadi hodoh dan mengerikan. Kita juga dikhabarkan bahawa untuk memulihkan mukanya yang buruk itu dia perlu menghisap darah anak dara sunti seramai empat puluh empat orang,” dewan itu mula hingar-bingar lagi.

Masih orang kampung ingat pada seorang pemuda yang datang dari luar ada menyampaikan cerita ini. Perempuan puaka itu akan mencari dan memastikan dirumah penduduk kampung ada anak dara sunti dengan mnyamar sebagai jurujual disiang hari. Dek kerana wajahnya yang buruk dia telah mengenakan purdah bagi menyembunyikan akan kecacatan wajahnya. Sejak dari kejadian dirumah pak Itam keadaan kampung sudah mula tidak aman.

“ Memadailah kalau kita adakan rukun tetangga untuk meronda pada malam hari. Tak perlulah kita nak keluarkan pengeras bagai. Hanya diperlukan cuma tenaga dan masa saja,” sambung Bahar lagi.

“ Sapa yang boleh meronda malam-malam buta hah? Nak keluar rumah pun takut,” tempelak Sahak yang sememangnya tidak bersetuju dengan cadangan Bahar.

“ Siapa lagi yang nak diharapkan selain dari kami anak-anak kampung ni. Mana ada orang dari luar yang nak tolong kita kalau kita susah? Kitalah yang akan tolong diri kita sendiri. Lagi pun dalam kampung ni ramai lagi anak muda yang boleh diharapkan,” bantah Bahar bersungguh-sungguh. Sahak memalingkan muka. Mahu saja dia meludah kelantai. Perasaannya terbakar didalam.

Rancangan dia mahu mendapat laba sedikit dari orang kampung nampaknya bakal musnah. Sememangnya sebelum ini dia ada terfikir untuk mengaut sedikit keuntungan dari orang kampung. Dia kenal dengan pawang dikampung seberang. Tentu saja dia akan berpakat untuk bahagi dua duit pengeras orang-orang kampung. Tapi kerana anak muda seperti Bahar rancangan hampir musnah. Kalau hendak diikutkan hati mahu saja dia menumbuk muka Bahar. Kau memang celaka Bahar! Sumpah Sahak didalam hati.

“ Mana ada anak muda sangat dalam kampung ni. Ada pun sibuk dengan dadah. Bukan kata nak jaga kampung, nak jaga diri sendiri pun tak larat,” sindir Sahak sambil membuahkan senyuman mengejek.

“ Tak mengapa bang Sahak,” sahut Bahar. “ Kalau tak cukup, lelaki macam abang Sahak boleh membantu. Lagi pun nak katakan abang Sahak tua tak jugak. Masih segak dan bertenaga,” sindir Bahar. Sahak terpukul dengan kata-kata itu.

Perbincangan diteruskan dan suara majoriti memenangkan Bahar. Lalu mereka berpakat untuk bergilir-gilir menjaga kampung. Jika berkesempatan perempuan puaka itu akan ditangkap dan diserahkan pada pihak berkuasa.

Kini kelibat perempuan puaka itu muncul lagi. Kali ini rumah Dollah pula menjadi mangsa. Kebetulan Bahar dan rakan-rakannya melalui jalan itu melihat susuk perempuan puaka iu terhendap-hendap mengelilingi rumah Dollah.

“ Apa kita nak buat tok?” Jalak bertanya. Yang lain-lain menunggu arahan dari tok Berahim.

“ Gini,” dia mengigit bibirnya seketika sebelum menyambung “ Kamu semua pergi keliling rumah tu. Biar aku, Sahak dan pak Andak ketuk pintu depan. Kau Sahak jaga-jaga sikit. Aku dengan Andak dah tua bukannya kuat sangat nak halang dari lari nanti,” mahu tidak mahu Sahak terpaksa juga akur dengan perintah itu. “ Kau orang semua tengok- tengok kalau dia lari ikut pintu dapur atau tingkap,” pesan tok Berahim lagi.

Bahar segera mengajak yang lain berkeliling disekitar rumah Dollah. Ketika sedang masing-masing baru saja mengambil tempat, tiba-tiba terdengar jeritan perempuan dari dalam rumah Dollah. Beberapa saat kemudian cahaya lampu terpasang dan dari dalam rumah kedengaran seperti orang bergaduh. Diluar rumah masing-masing tercanggak sebentar.

“ Dollah! Bukak pintu ni!” tok Berahim yang mula naik angin mengetuk pintu rumah lelaki itu dengan tongkat ditangannya.

Dengan tidak semena-semena tingkap kayu dikamar anak dara Dollah terbuka luas. Susuk tubuh berjubah hitam melompat keluar.

“ Tu dia! Kejar!” Bahar yang melihat perempuan puaka itu mahu melarikan diri berteriak. Lantas dia berserta dengan dua tiga pemuda lain mengejar sepantas yang boleh.

Bahar menerkam dari belakang membuatkan dia dan perempuan puaka itu sama-sama jatuh tersungkur dihalaman rumah Dollah. Yang lain terus menerpa dan memegang perempuan tersebut. Bahar terus memegang sepasang kaki perempuan itu.Rontaannya cukup kuat. Hampir-hampir saja dia terlepas.

“ Kuat betul tenaga dia ni, macam lelaki!” komen Sudin yang cuba mengemaskan pegangangnya.

“ Pegang kuat-kuat jangan sampai dia terlepas!” arah Bahar yang beberapakali cuba ditendang oleh perempuan berpurdah hitam itu. Memang masing-masing tidak menyangka yang tenaga perempuan itu sekuat tenaga seorang lelaki. Barangkali dia memang ada memakai ilmu lain selain dari susuk, duga Bahar.

“ Tok! Tok! Dah dapat tok!” pekik Bahar dalam kepayahannya.

Tok Berahim turun semula dari rumah. Berdiri ditangga. Dia mengarahkan agar mereka mengheret perempuan itu kesitu. Terpaksa pula Bahar dan yang lain-lain mengheret gadis purdah itu menghadap tok Berahim. Perempuan itu pula terus meronta-ronta mahu meloloskan diri.

“ Pegang dia kuat-kuat,” rontaan perempuan purdah hitam itu makin keras.

“ Apa kita nak buat ni Berahim,” pak Andak yang berdiri disebeah ketua kampung itu bertanya.

“ Kita report polis. Suruh dia bawak perempuan ni ke balai tapi.....,” tok Berahim berhenti sebentar. Lama dia memakukan matanya pada perempuan itu.

“ Aku nak tahu siapa budak perempuan ni,” sambung lelaki itu lagi.

Bahar terkejut. Begitu juga dengan yang lain-lain. “ Maksud tok?” Bahar bertanya.

“ Aku nak tegok muka dia sebelum kita serahkan pada pihak polis,” sahut tok Berahim.

Yang lain-lain berpandangan sesama sendiri. Terkejut dengan permintaan dari ketua kampung mereka. Apa kejadahnya pulak?

“ Nak buat apa tengok muka dia tok. Kan ke muka dia buruk?” ucap Bahar sambil terus memikirkan akan kewajaran dengan hasrat ketua kampungnya.

“ Apa salahnya kalau aku nk tengok muka perempuan ni,” tok Berahim tetap berdegil juga.

“ Janganlah tok, saya tak sanggup nak tengok muka buruk perempuan ni,” Bahar bersuara. Tok Berahim mendekat. Tidak menghiraukan akan teguran dari Bahar. Tangannya mula diangkat dan mahu menyelak purdah yang menutup muka gadis tersebut. Yang lain-lain menanti dengan penuh debar.

Sebaik saja tok Berahim membuka penutup mulut wanita itu masing-masing terkejut bukan kepalang. Ada yang melopong dan ada juga yang mahu pengsan. Tok Berahim sendiri merasa tidak percaya dengan apa yang dia lihat ketika itu. Sumpah haram sekali pun tidak pernah terlintas difikirannya.

“ Astaghfirullah......” hampir saja Bahar mahu melaung. Kaget. Benar! Sama seperti tok penghulu juga, dia sendiri tidak menduga sama sekali. Siapa sangka gadis yang mereka tangkap itu mempunyai misai tebal yang melintang dibibirnya!

******

Keesokan pagi riuh dikedai Leman tentang cerita malam tadi. Yang memasang telinga pagi itu turut sama merasa terkejut.

“ Rupa-rupanya cerita pasal perempuan pakai susuk tu tak betul. Lelaki tu sengaja mengada-adakan cerita supaya orang kampung takut. Dia menyamar jadi perempuan hauskan darah anak dara sebab nak masuk dan mencuri dalam rumah mangsa. Itu tujuanya yang asal,” terang tok Berahim pada orang kampung.

“ Dia rupanya dibantu oleh seorang kawan perempuannya. Waktu siang perempuan tu datang berpura-pura menjadi jurujal. Padahal dia sebenarnya nak intip rumah mana yang boleh dijadikan sasaran. Malamnya nanti lelaki itu menyamar dengan berpurdah untuk mencuri. Dia sengaja buat cerita tentang perempuan pakai susuk agar kerjanya jadi mudah. Kalau tak kuat semangat mungkin orang akan pengsan bila terserempak dengannya. Kan senang dia nak buat kerja lepas tu.”

Orang-orang kampung mengangguk lagi.

“ Aku sendiri ikut pergi balai buat report aku tahulah cerita yang sebetulnya.”

Kedai Leman hingar-bingar dengan suara mereka yang mendengar cerita tok Berhim.

“ Sengaja dia cakap perempuan tu pakai purdah sebab nak menutup mukanya dari dikenali orang,” ucap tok Berahim lagi dengan nada kesal. Dia punya pasal habis nanti golongan wanita yang memakai purdah mendapat tempiasnya. Tak guna punya orang, sumpahnya didalam hati. Sejuta kesal menerjah kedadanya. Dia yang buat hal, orang lain pula yang dapat malu nanti!

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.