Home Novel Seram/Misteri Topeng
Topeng
akumatotenshi
27/10/2020 01:00:53
9,466
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

Sebaik mata dibuka dia terus berasa dirinya semakin tenggelam. Cahaya yang menembusi air bertambah kelam. Air mula memasuki mulut. Tanpa berlengah tangan dan kaki digerakkan untuk ke permukaan air. Cahaya samar bulan sabit yang menerangi malam menjadi panduan. Semakin lama semakin cerah. Saat kepalanya menerjah keluar, air bercucuran keluar dari mulut, hidung, mata dan telinga menyebabkan dia terbatuk-batuk dan mata terasa pedih. Namun begitu, hatinya lega apabila terlihat daratan yang terdampar di hadapannya. Dia segera berenang untuk naik ke pantai. Sewaktu memasuki teluk dia terlihat sesusuk tubuh berdiri tegak di tepi pantai. Jubah putih dan hujung serban yang dipakai oleh lelaki itu berkibaran ditiup angin. Apa yang menghairankan adalah suasana pantai tempat susuk tubuh itu berdiri, terang bagai disimbahi cahaya bulan purnama. Malah boleh terlihat raut wajah lelaki itu dengan jelas. Lelaki itu tenang memandang ke arahnya tanpa berganjak seinchi pun. Walaupun begitu, kehadiran lelaki itu membuatkan dia berasa selamat. Hatinya meronta-ronta untuk bertentang mata dengan susuk tubuh yang langsung tidak dikenali itu. Dia berenang secepat mungkin. Matanya tidak lepas dari memandang susuk tubuh itu. Tiba-tiba lelaki yang sedang berdiri di pantai itu melambai-lambai ke arahnya. Dia masih terkial-kial untuk ke pantai. Entah mengapa air semakin bergelora apabila dia semakin hampir dengan pantai. Dia juga berasa semakin lemah. Dia menguatkan hati agar dapat terus bertahan. Namun sebaik sahaja lelaki itu berhenti melambai dan tangannya jatuh ke sisi, serentak dengan itu dia merasakan kakinya ditarik sesuatu. Dia terus hilang kawalan. Kaki dan tangannya menjadi kejang. Badan menjadi berat. Dadanya bertambah sesak. Suaranya tersekat di kerongkong. Pandangan semakin kelam. Akhirnya tubuhnya terus tengggelam ke laut paling dalam dan gelap. 

Saad terjaga dari tidur. Tubuhnya terenjat dengan mulut terbuka luas. Nafasnya deras. Matanya melilau memandang sekeliling teratak kecilnya itu. Terlafaz syukur dari mulutnya apabila menyedari dia masih berasa hidup dan selamat. Mimpi lemas itu terasa seakan benar. Tanganya mengurut dada yang sesaknya masih bersisa. Habis basah bajunya dengan peluh. Segera dia beristighfar sambil meraut wajah. Sudah tiga malam berturut-turut Saad bermimpikan yang sama. Hatinya mula gundah gelana. Dia pasti mimpi itu membawa maksud. Cuma tidak tahu sama ada bisikan syaitan atau petanda yang baik. Sejak itu juga wajah mulus lelaki yang dilihatnya di dalam mimpi itu sentiasa bertabir di mindanya. Lebih menbingungkan sehingga kini dia yakin dia tidak pernah bersua muka dengan susuk tubuh itu. Entah mengapa lelaki itu muncul dalam mimipinya. Satu keluhan terhembus halus. Terasa penat memikirkan hal itu. Lantas tangannya menolak daun tingkap. Bayu yang bertiup dari darat ke laut mula memenuhi terataknya. Tubuhnya yang lencun dengan peluh mula terasa dingin. Sayup-sayup kedengaran ombak menghempas pantai yang terletak tidak jauh dari teratak kecilnya itu. Kepalanya melangak ke atas. Langit cerah malam itu dihiasi dengan taburan bintang dan bulan sabit. Lidahnya basah memuji kebesaran Allah. Bersyukur dengan keindahan yang terhampar di depan mata. Hatinya mula kembali tenang. Selepas beberapa ketika mengambil angin di tepi tingkap barulah dapat dia menguatkan diri untuk turun dari terataknya menuju ke telaga yang berada tidak jauh dari situ. Setelah selesai membersihkan diri dan berwuduk Saad segera naik untuk mengerjakan solat malam.


Matahari sudah tegak di atas kepala. Saad mengikat kemas daun-daun mengkuang yang dikutip tadi. Dia kemudiannya membawa kesemua daun tersebut pulang. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membuatkan hatinya senang. Kelak sebaik sampai di rumah dia ingin segera mandi dan melelapkan mata sementara menunggu masuk waktu Zohor. Tubuhnya terasa lelah kerana tidur malamnya terganggu beberapa hari ini.  Jika tidak pasti dia lebih cergas. Kebiasaannya setelah dikutip, mengkuang itu akan terus dilayur dan dijangka sebelum direndam di dalam tempayan tetapi untuk hari ini dia ingin merehatkan badannya. Jika berasa segar mungkin petang nanti baru disambung kerjanya itu. Dia mencepatkan langkahnya walaupun kaki sudah berasa lenguh.  Namun sampai sahaja di perigi belakang terataknya dia terdengar beberapa orang sedang berbual-bual dari arah pantai yang terletak tidak jauh dari situ. Saad berasa hairan. Tempat tinggalnya yang dekat dengan pantai ini sememangnya agak jauh dari kampung. Oleh itu jarang sekali dia dikunjungi tetamu. Daun mengkuang ditinggalkan di tepi perigi. Dia mengelap peluh yang berjejeran di dahi. Pakaiannya yang lusuh dibersihkan seadanya sebelum dia meninjau kawasan pantai. Sebaik dia berdiri di hadapan terataknya dia terlihat beberapa orang lelaki sedang menolak perahu kolek ke darat namun tidak seorang pun yang dikenalinya. Oleh itu Saad memilih untuk terus memerhati lalu duduk di atas tangga rumahnya. Sebaik kelibatnya disedari oleh salah seorang dari kumpulan itu, mereka terus mendatangi terataknya. 

“Maafkan saya saudara, adakah saudara pemilik rumah ini.” Lelaki itu kini berhadapan dengan Saad. Saad tersenyum manis. “Benar saya yang duduk di sini namun tidaklah layak teratak kecil ini dipanggil rumah. Hanya cukup untuk saya berlindung dari hujan dan panas.” Lelaki itu memandang ke sekeliling teratak Saad. Memang benar apa yang dikatakannya. Teratak dari buluh berbumbung nipah itu tidaklah sebesar mana namun masih terjaga rapi dan bersih. “Janganlah merendah diri begitu saudara. Sama-samalah kita bersyukur dengan rezeki yang ada. Saudara tinggal bersendirian sahajakah?” Saad sekadar mengangguk. Dia kemudiannya menjemput lelaki itu duduk di serambi. Begitu juga dengan rakan-rakannya yang lain. Kebanyakkan mereka berpakaian agak lusuh kecuali yang datang menyapanya tadi. Lelaki itu juga kelihatan seperti seorang ketua pada kumpulan itu. 

“Tuan ini nampaknya bukan orang di sini. Apa hajat tuan ke pulau kami ini?” 

“Kami ini pendagang yang berlayar dari Perlabuhan Melaka untuk ke Aceh. Malangnya lancang kami dilanda badai dan berlaku sedikit kerosakan.  Oleh itu kami naik ke pulau ini mendapatkan bekalan untuk membaiki lancang sebelum boleh menyambung perlayaran kami.”

“Subhanaallah, besar betul dugaannya. Jadi apa yang boleh saya bantu?”

“Oh, tiada apa-apa. Kami hanya ingin tahu di mana letaknya pasar agar dapat kami membeli bekalan yang diperlukan. 

“Pasar tempat orang kampung berjual beli ada tidak jauh dari sini. Saya boleh tunjukkan jalannya nanti tetapi jika tuan sekalian tidak keberatan sudilah berehat sebentar di teratak saya ini. Boleh saya menjamu kalian dengan apa yang saya ada. Kemudian selesai solat Zohor nanti saya akan bawa kalian ke pasar.”

“Alhamdullilah. Terima kasih atas pertolongan saudara. Namun biar sahaja kami menunggu di sini. Janganlah saudara bersusah-susah untuk kami ini.”

“Janganlah dirisaukan tentang itu. Saya pun tidaklah punya apa-apa untuk dihidangkan melainkan ubi rebus dan ikan masin. Harapnya sudilah tuan sekalian makan bersama saya nanti.”

“Baiklah andai begitu kata saudara kurang luas tapak tangan, nyiru saya tampungkan.”

“Alhamdulliah. Jika begitu berehatlah dahulu sementara saya menyediakan apa yang patut. Jika ada antara tuan ingin menyegarkan diri boleh sahaja ke belakang teratak ini. Ada perigi di situ. Buatlah seperti rumah sendiri.”

Saad kemudiannya melangkah turun dari terataknya untuk ke kebun tidak jauh dari situ. Sampai di kebun dia menggali beberapa rumpun ubi kayu yang ditanamnya. Kemudian dipetik beberapa biji cili padi, terung asam dan limau kasturi untuk dibuat sambal. Dia turut dibantu oleh tetamunya walaupun sudah puas ditegah. Sambil bekerja mereka bertukar-tukar cerita. Mereka semua adalah anak kapal yang sudah bertahun-tahun mengikut nakhoda mereka, Zaid. Hubungan mereka sangat rapat malah Tuan Zaid juga tidak keberatan untuk berkerja bersama-sama. Keperibadiannya yang baik itulah membuatkan anak buahnya patuh dan hormat kepadanya. Saad berasa senang bersama mereka. Hilang sudah segala lelah yang dirasainya tadi malah dengan Kerjasama semua orang akhirnya dapatlah mereka selesai menyediakan makanan dengan cepat. Masa yang masih berbaki dapat pula merehatkan badan sebentar sebelum masuk waktu solat Zohor. Solat Zohor berjemaah pula dilakukan di luar terataknya. Setelah selesai semuanya barulah mereka begerak ke tengah kampung, tempat tumpuan penduduk di situ berjual beli.  Baru tenang hati Saad apabila dia selesai membantu Tuan Zaid. Itu sahaja yang mampu diberikan untuk mengurangkan beban tetamunya itu. Namun tanpa disedarinya layanan dan pekertinya yang baik itu membuatkan Tuan Zaid terhutang budi padanya. Sebelum mereka berpisah sempat nakhoda itu mengucapkan terima kasih kepadanya. “Sudilah kiranya saudara Saad menerima pemberian saya yang tidak seberapa ini.” Zaid menghulurkan beberapa keping perak yang dibalut dengan kain  sebagai tanda terima kasih kepada Saad. Namun pemberiannaya itu ditolak mentah-mentah. “Cukuplah sekadar doa dari Tuan Zaid. Saya ikhlas membantu tuan sekalian.” Jawab Saad dengan sopan. “Andai begitu, kami akan berada di pantai untuk beberapa ketika, sekiranya saudara saad memerlukan apa-apa                                                                                                         datang bertemu kami.” Selesai berbicara, Tuan Zaid dan anak kapalnya naik semula ke kolek, berdayung ke lancang mereka. Saad masih berdiri di tepi pantai, memikirkan sesuatu yang telah lama dipendamnya. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh akumatotenshi