Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
115,254
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
BAB 22

MATA Jay meliar di setiap pelosok luar kawasan pelepasan. Walau badan masih terasa sakit, sengal dan pedih, digagahkan diri mencari kelibat Liana. Pasti Liana sudah boarding. Kerana sekarang sudah melewati pukul 9.35 malam. Cuma dia berharap gadis itu belum melepasi kawasan pelepasan. Mungkin Liana masih menunggu kehadirannya.

Hani yang tak kenal macam mana rupa Liana hanya mengekori Jay. Dia risaukan Jay yang sudah mula kelihatan pucat. Tetapi demi mencari kekasih, tak dipedulikan kesihatan diri. Tak sanggup melihat Jay ke hulu ke hilir macam hilang arah, Hani menghulurkan telefon bimbitnya pada Jay.

Call dia. Tanya dia kat mana.”

Langkah Jay terhenti. “Kau ingat aku hafal nombor phone dia?” Suaranya bengkeng.

“Takkan tak ingat langsung?” Nombor telefon kekasih pun lupa. Hani mencebik dalam hati.

“Aku kata tak ingat, tak ingatlah!” tengking Jay bengang. “Kalau aku ingat, kat klinik lagi aku dah call dia.”

Hani terdiam. Kat klinik lagi Jay dah terfikir nak call kekasih hati. Nampak tak? Sakit-sakit pun Jay tetap ingat kat kekasih. Aku yang menangis sampai sesak nafas risaukan dia bila cari klinik tak jumpa, ditengking-tengking aje. Dan hatinya bergelora sayu tak semena-mena.

Melihat Jay masih nak mencari, Hani ikutkan saja sambil menahan perasaan. Sebetulnya, dia lebih kesiankan Jay. Dalam keadaan sakit-sakit badan kena hentak, kepala berjahit... tapi tak peduli itu semua. Untungnya perempuan tu, dapat cinta Jay yang setia. Sedangkan aku, hanya bertepuk sebelah tangan. Matanya mula terasa berkaca. Ditahan sedaya upaya agar tak gugur ke pipi.

Hampir setengah jam berlegar di setiap ceruk, jam pun sudah melepasi angka 10.00 malam, jadual penerbangan untuk ke Melbourne makin hampir... Jay benar-benar putus asa. Dah tentulah Liana sekarang sedang menunggu di balai pelepasan. Tak ada harapan dia nak jumpa gadis itu sebelum mereka berpisah jauh.

Sudahlah badan sakit-sakit, tak dapat jumpa Liana pulak tu! Dia rasa angin satu badan. Rasa nak marah, nak mengamuk, nak menjerit... semuanya bersatu. Lantas dia kembali ke tempat Hani memarkir kereta. Laju langkahnya.

Terkial-kial Hani mengekori. Daripada riak wajah Jay, dia tahu lelaki itu sangat marah. Tetapi sampai di kereta, Jay bersandar di tepi kereta sambil berpeluk tubuh. Dengan muka cemberut begitu tak ada tanda-tanda yang dia mahu masuk ke dalam kereta.

Hani berdiri di hadapan Jay. “Sekarang... macam mana?” Dia bertanya kerana mahu tahu apa rancangan Jay selepas ini. Balik terus atau ke balai polis untuk buat laporan pasal kes samun.

“Macam mana apa?” herdik Jay. Bengang. “Aku nak ingatkan kau, Hani. Lepas ni, jangan ada hati nak kenalkan diri kau tu isteri aku kat sesiapa. Tak payah nak beritahu orang yang aku ni suami kau. Kau tak layak!”

Hani tersentak. Dia mendongak menentang pandangan Jay dengan darah yang berderau. Mata mula bergenangan. Luluh hati hanya Tuhan yang tahu. Senak dadanya dihentak perasaan sebak.

Dia nak bersuara, tapi bibirnya terketar-ketar. Perasaan hiba di hati mengatasi segala-galanya. Hingga dia tak mampu untuk berkata-kata. Rupa-rupanya, Jay tak suka aku kenalkan diri sebagai isteri dia atau kenalkan dia suami aku. Aku kenalkan begitu depan lelaki-lelaki yang menolong masa di stesen minyak dan juga dengan doktor yang merawat Jay.

“Doktor buatkan surat untuk suami saya boleh tak?” Jay mengajuk gaya cakap Hani dengan riak meluat. “Suami saya kena pukul dengan mat motor.” Diajuk lagi sehingga tercemik-cemik muka. “Aku nak muntah dengar!”

Hani segera berpaling ke arah lain apabila genangan air matanya meluruh ke pipi. Dia tak mahu Jay nampak dia menangis. Itu sebenarnya yang hati Jay rasakan padanya selama ini. Gelora sebak yang menyesakkan dada cuba ditenangkan. Sabarlah wahai hati. Bertenanglah...

“Konon janji nak jadi isteri acah-acah aje. Kau punya janji, pergi matilah! Lepas ni aku tak ingin nak percaya kat kau. Cakap lain, janji lain tapi buat lain. Memang sampai mati aku tak percaya kat kau!”

Hani tunduk memandang lantai. Rasa menggeletar tubuhnya membuatkan dia tak mampu nak bersuara. Bukan aku tak pegang pada janji. Tapi Jay tak pernah pun tak benarkan aku kenalkan dia tu suami aku pada sesiapa. Aku terlupa. Di hati Jay, dia meluat dengan aku. Mengalir lagi air matanya.

Suasana jadi beku seketika. Senyap sunyi antara mereka. Hani cuba menenangkan diri. Dia anggap saja kata-kata Jay tadi bagai angin yang lalu. Tak perlu difikirkan sangat. Tapi kata-kata Jay tadi dah membuatkan hatinya parah. Tak mampu dia melupakannya. Genangan air mata meluruh lagi.

Jay tiba-tiba tergelak sinis. Perlahan. “Teringat aku apa yang kau cakap dalam kereta petang tadi. Baca ayat nak selamat konon. Tapi aku yang dapat padah! Kena pukul, kena pijak, wallet aku hilang, handphone aku pun hilang. Aku tak dapat jumpa makwe aku. Ni ke yang kau kata selamat? Ni ke? Hah?!” jeritnya sekuat-kuat suara.

Kata-kata Jay itu membuatkan hati Hani menggelegak. Diseka air mata di pipi. Dia berpaling menghadap Jay semula. Dipandang lelaki di hadapannya itu dengan renungan tajam. Kalau tadi Jay tak suka dia kenalkan Jay sebagai suami, dia masih boleh menahan perasaan. Tapi bila mendengar perkataan ‘baca ayat nak selamat konon’ yang dipersendakan Jay, hatinya jadi hangat.

Jay ketawa lagi. Masih kedengaran sinis.

Sakit hati Hani mendengar ketawa Jay itu. “Masih hidup lagi, tapi tak reti bersyukur!”

“Tak kena kat kau, bolehlah kau cakap. Patutnya kau yang kena. Biar kau rasa. Bukan aku.”

Tergeleng-geleng Hani beristighfar. “Nilah cara cakap orang yang tak bersyukur. Bayangkan kalau Abang Jay pergi sorang-sorang, jadi macam ni... siapa yang nak selamatkan Abang Jay? Nasib baik orang tu samun Abang Jay aje. Kalau samun saya sekali, kita berdua dah tak ada duit, tak ada handphone... lagi susah. Dan nasib baik jugak dia pijak Abang Jay aje. Kalau dia tikam terus, Abang Jay ingat Abang Jay sempat nak mengucap? Lain kali fikir tu pakai akal!” Berombak dadanya menahan geram.

Wajah Jay mengeras memandang ke arah lain. Hatinya dah sakit sangat.

Melihat wajah angkuh Jay membuatkan hati Hani runtun. “Abang Jay sedar tak yang ALLAH dah selamatkan kita berdua?” Dia bersuara kembali. Kali ini nadanya perlahan. Ada getaran sebak.

“ALLAH bagi peluang Abang Jay hidup lagi. Masih bernyawa. Boleh betulkan lagi apa yang salah dalam diri Abang Jay. Kalau tak dapat jumpa makwe Abang Jay kat airport sekarang, boleh jumpa dia kat Melbourne pulak. Tapi apa yang Abang Jay buat? Bila Abang Jay tahu masih hidup, sepatah perkataan ‘alhamdulillah’ langsung tak keluar dari mulut Abang Jay.” Mata Hani bergenangan.

Jay masih diam. Beberapa orang yang kebetulan ada di kawasan parkir itu memandang mereka dalam keadaan tegang begini. Langsung dia tak peduli itu semua.

“Siapa yang bagi Abang Jay nyawa? Siapa yang bagi Abang Jay bernafas? Jawablah!” Kian lama getaran sebak Hani makin bergelora. Hingga terasa senak dada.

“Makwe Abang Jay ke yang bagi nyawa, yang bagi abang hidup? No! Bukan dia.” Hani menggeleng menidakkan. “ALLAH, bang. Tapi kenapa sikit pun tak ucap ‘alhamdulillah’? Kenapa?” Gugur air matanya. Sedih dia mengenangkan tahap iman dan akidah Jay.

Tunduk Jay merenung lantai. Riak wajahnya tegang tapi kosong.

“Sebabnya, masa saya baca Ayat Kursi... Abang Jay anggap tu benda bodoh. Kan? Abang Jay langsung tak baca sama. Dan tak ada hati nak baca sebenarnya. Sekarang bila jadi macam ni kat Abang Jay, Abang Jay boleh cakap ‘baca ayat nak selamat konon’?” Hani renung wajah Jay yang menunduk dalam-dalam. Genangan air matanya laju menuruni pipi.

“Lepas ni, apa-apa yang jadi pada Abang Jay... jangan salahkan ALLAH, jangan salahkan takdir. Salahkan diri Abang Jay sendiri yang buta hati tu!” Sambil mengesat pipinya dengan hujung lengan, Hani meloloskan diri ke dalam kereta. Enjin dihidupkan. Terpulanglah pada Jay mahu buat apa pun yang dia nak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.