Nory cakap sayang datang tadi ye?
Haah.
Kenapa sayang datang? Bahaya nanti orang perasan.
Abang lupa ke pasal bekal tu?
Maaf sayang. Abang tiba-tiba ada meeting urgent. Nanti sayang masakkan lagi boleh?
Tengoklah macam mana. Dah dua kali masak pun abang tak sudi.
Janganlah cakap macam tu. Apa sayang masak, mestilah special untuk abang.
Yelah tu.
Sayang…
Ye.
Jom video call nak?
Bila?
Sekaranglah.
Alah, malaslah. Nak kena bertudung pulak. Nak tidur dah ni.
Sayang tak payah la pakai. Abang okey je.
Aku jegilkan mata. Hei, buang tebiat sungguh. Memanglah dia okey sebab aku yang bukak. Dia sedap je tengok.
Saya mengantuklah. Nak tidur.
Kan awal lagi ni. Tak bestlah.
Penat tunggu orang tu tadi.
Yelah-yelah. Abang mintak maaf okey?
Okeylah. Lain kali jangan buat lagi ya?
Okey sayang. Abang janji.
:D
Sayang pakai baju tidur warna apa tu? Selfie la sikit.
Soalan dia buatkan aku tengok badan aku sendiri. Aku pakai baju tidur satin warna krim, lengan panjang lagi. Tapi dah kenapa nak kena selfie pulak? Bagi aku, baju tidur terlalu intim dan tak boleh dikongsi pada orang lain walaupun pakaian tu tutup semua anggota tubuh. Sebab apa yang aku pakai masa tidur tak sama macam waktu aku keluar jalan-jalan pergi shopping atau berkelah dekat tepi pantai. Terus aku bluetickkan dia. Gatal!
Perlu ke nak goda-goda aku macam tu? Ni ke calon menantu kebanggaan mak? Aku bukak YouTube dan layan video ASMR lagi bagus. Tak sampai 2 minit, masuk lagi mesej baru daripada Faizal.
Dear, you memang gorgeous!
Mesej yang keluar pop out automatic dari skrin telefon itu sempat aku baca sekilas. Dah kenapa tiba-tiba nak puji aku ni?
Aku kerutkan dahi, pause video dan bukak kembali WhatsApp. Aik? Dah deleted?
Ha, sesuatu sangat ni! Dia mesej perempuan lain kan? Lepas tu kantoi, dia padam balik. Dah tu, puji pulak gorgeous. Masa bila dia nak puji-puji aku? Tak pernah okey. Tak pernah. Rasa naik turun dada aku tahan debaran. Tangan pun dah ketar-ketar.
Abang mesej siapa tu? Dear mana tu? Rusa mana abang puji gorgeous tu? :)
Mesej miang dia mintak aku selfie tu aku tak balas dah. Ni bukan pertama kali dia terpanggil aku dear. Hari tu baru bangun tidur pun tersasul sebut dear. Tiba-tiba je.
Faizal is typing.
Ha taiplah. Aku tunggu dia nak balas apa. Nak tengok sangat jawapan dia macam mana.
Ooo. Ni mesti kes menggatal dengan perempuan lain jugak. Dah aku tak layan dia kan, dia carilah tempat lain menyalurkan rasa gatal tu. Terketap-ketap gigi aku menahan rasa. Debar jantung aku masih berentak laju.
Ni bakal suami kot. Kalau dia jenis miang keladi macam yang aku syakkan ni, habislah. Makan hati aku nanti. Kahwin bukan sebulan dua. Kahwin ni macam kontrak sepanjang hayat tau. Bayangkan aku nak kongsi hidup, kongsi anak, kongsi rumah dengan lelaki mata keranjang.
Faizal is typing.
Lama betul taip. Agak-agak panjang sangat ke ayat dia tu? Sekejap nampak dia berhenti menaip, sekejap dia sambung balik.
“Hoi, mata macam nak naik juling je tenung phone. Dah kenapa kau ni?”
Tina sergah aku yang asyik menunggu jawapan Faizal tanpa berkelip mata. Dia pun duduk di sebelah aku di atas sofa depan TV. Alat kawalan jauh dicapainya. Aku ni nama saja tengok TV tapi bukak aje iklan kuali tak melekat yang asyik berulang-ulang tu.
“Aku tukar ya? Ke kau nak beli kuali ni lepas kahwin nanti?” gurau Tina lalu tukar saluran lain. Ada movie Punjab. Selalu aku suka jugak layan. Tapi tak berasa nak tengok. Aku nak tengok ‘movie’ depan mata dulu.
“Ah, tak kuasa aku!” dengus aku kasar.
“Aik, moody nampak?” Kalih Tina perhati muka aku.
Haah kan? Yang aku nak angin dengan Tina dah kenapa?
Aku kawal air muka dan sengih pada Tina.
“Bakal menantu mak aku ni…” Belum sempat aku habiskan ayat, mesej yang ditaip sekian lama oleh Faizal itu pun keluar.
Eh, sayang la yang gorgeous tu. Abang tengok balik gambar tunang kita ni.
La? Pendek tu aje ke? Taip bukan main beria, ini aje yang dimesejnya?
“Dah kenapa dengan Faizal?” Tina bertanya sambil mengunyah kerepek ubi pedas. Memang sedap la kalau makan kerepek sambil layan movie.
“Ada la…” balas aku mudah. Malas nak sembang Panjang, takut tak fokus nak selesaikan masalah dengan Faizal ni.
Aku berfikir sejenak sebelum membalas.
Tapi kenapa padam mesej tu? Maksudnya salah hantar kan? Kan?
Ha, ambik. Silalah balas. Dan jangan auta lagi. Kalau tak salah kenapa padam? Yelah tu aku gorgeous masa majlis bertunang kami. Bukan ke dia kompelin mekap aku tak berapa menonjol? Siap cakap tukang mekap aku ni kedekut sebab lipstik tak sapu tebal-tebal.
Roomate abang terlanggar tadi. Tangan tengah pegang telefon. Tu yang terpadam tu.
Tergelak sinis aku. Alahai lemah gemalai betul kan tangan dia. Kawan terlanggar aje terus terpadam mesej.
“Kau ni kejap gelak, kejap moody. Tak faham betul aku perangai orang bercinta ni.”
“Kejap. Tina. Bulan 12 ni kalau boleh kau jangan cari penyewa baru ya?”
“Kenapa?”
“Aku takut aku kena duduk lagi dengan kau.”
“Aik, dah kahwin pun nak duduk bawah ketiak wangi aku ke?”
“Tak, kau jangan banyak tanya. Aku boleh bayar mahal sekali ganda asalkan kau jangan cari penyewa baru lagi.”
“Isy. Kau ni kenapa? Risau pulak aku. Jangan kata kau… Haih, tak nak aku sebut.”
“Abaikan hal aku. Cuma sekarang aku nak, kau jangan sewakan lagi bilik aku tu dekat siapa-siapa lagi okey?”
“Yelah, kau ni macam tak tahu je perangai aku. Aku ni kalau duduk sorang pun tak kesah. Serik wei kes dulu.” Kerepek ubi pedas makin susut pulak bila Tina tak henti-henti menyuap ke dalam mulut. Sekali sekala dia tergelak kecil melihat aksi pelakon.
Haah la, tak perlu sangat aku risau Tina gantikan aku dengan penyewa baru cepat-cepat. Sebab dia dah trauma dengan kes seorang budak U yang muka innocent tapi last sekali buat rumah ni kena serbu dengan pencegah maksiat.
Nasib baik Tina tak ada kat rumah masa tu. Kalau tak, dengan dia sekali kena cekup tak pasal-pasal. Tapi dah kalau dia ada, macam mana pulak budak tu nak berkhalwat kan?
Aku tenung balik Whatsapp Faizal sambil fikir dalam-dalam. Apa aku patut balas? Memang aku curiga sangat ni. Katakanlah dia memang betul-betul tuju mesej tu dekat aku, sia-sia pulak nak bergaduh dengan dia. Mak pun dah pesan, aku kena pandai ambil hati dia.
Tapi, kalaulah dia ada perempuan lain, aku buat diam aje, makin seronoklah dia. Gatalnya kepala fikir persoalan hubungan aku dengan encik tunang terpilih ni. Kenapa terpilih? Sebab terpilih oleh mak aku. Hati aku rasa berbelah bahagi, tak rasa aku betul-betul nak pilih dia jadi yang terhebat dalam hati aku.
“Aku masuk dulu, beb. Sorry mood aku tak berapa okey.” Aku melangkah perlahan dan lemah menuju ke bilik. Tina yang memakukan mata pada kaca televisyen mengangguk saja.
“Kalau kau ada masalah, aku ada. Jangan pendam sorang-sorang!” laung Tina kemudiannya apabila iklan ditayangkan. Amboi, bila iklan je baru nak bercakap.
Dalam bilik, aku hanya melayan perasaan. Mesej Faizal hanya aku balas hambar.
Oh, okey.
Semoga mesej tadi benar-benar ditujukan buat aku. Janganlah Faizal curang. Jangan. Janganlah impian mak aku dihancurkan. Janganlah dia berpaling arah. Janganlah aku tak jadi nikah bulan 12 ni. Janganlah.
**
Habislah aku hari ni. Pagi tadi aku tak sarapan. Bangun saja pagi tadi, mood sedih atau curiga dengan Faizal masih terasa-rasa. Jadinya aku hanya teguk air kosong saja sebelum mulakan kerja.
Tak sangka pulak mood Kak Mona ke laut hari ni. Habis semua kena petir termasuklah Milah. Milah tu selalunya orang paling akhir sekali kena bebel, kata Ecah. Tapi dia pun kena jugak tadi. Tertunduk-tunduk kami bila dia sound. Bunga ros atas meja dia berhabuk pun dia nak pertikai. Dah meja kau, kau kemas je la sendiri.
Ini tak, boleh tuduh kami nak dia kena serangan asma. Jadi, dia boleh masuk hospital dan kami semua bolehlah curi tulang. Aku angkat kepala rasa nak menjawab tapi dan-dan Ecah buat isyarat mata kata jangan berani-berani cakap apa-apa.
Makanya masing-masing tak jadi membantah apabila disuruh buat apa-apa saja kerja. Berani nak persoal arahan? Tengok pancaran mata naga Kak Mona tu pun dah boleh bunuh semangat.
Kak Mona mintak aku kemas kini cuti tahunan semua staf sebelum rehat. Fuh. Dah tu, kena double check sama ada tally atau tak dengan borang cuti yang staf hantar. Semua staf pulak tu. Padahal bukan urgent pun.
Saja je tu. Ingat kami ni bukan manusia ke tak perlu rehat? Elok pulak tu dah lepas pukul 1 pun tak keluar-keluar dari bilik. Kami bertiga dah menggelisah. Kalau ada intern boleh jugak sama-sama menanggung beban. Ini tak ada. Milah kata bukan musim budak U buat praktikal. Kalau tak, ringan sikit kerja kami.
“Weh, kau orang tak lapar ke?” bisik aku curi-curi. Milah dan Ecah khusyuk semacam aje. Muka masing-masing kelat. Nak tergelak aku tengok. Macam nak naik kejang rahang muka tu.
“Laparlah. Dah la buat kerja non stop. Tak pasal-pasal aku nak kena taip balik profail syarikat. Tipu sangat dia kata versi softcopy dah corrupt. Naik lenguh tengkuk aku ni.” Milah pun membalas dengan suara tertahan-tahan. Halus pulak suara dia. Dia membetulkan kedudukan dan mengurut bahu sendiri.
“Aku nak kalih pandang kau orang pun aku takut kantoi. Weh, siapa-siapa please order makanan dekat Food Panda. Aku takut naik main telefon sebab aku nak apply cuti minggu depan. Kalau buat hal, karang Kak Mona tak luluskan pulak cuti aku.” Ecah masih menaip-naip di atas papan kekunci qwerty namun tak mahu pusingkan badan ke arah kami berdua. Risau betul dia.
“Tak naklah aku order. Kerja tak siap lagi ni. Nak order Food Panda kena belek-belek telefon. Aku tak berani oi. Dahlah CCTV tu elok-elok atas kepala aku. Kaulah, Sarah. Kau order.”
Aku pulak.
“Aku pun tak berani. Kalau order dekat desktop pun boleh kan?”
“Rugi. Tak dapat murah macam kau beli dari apps.” Celah Ecah lalu pusingkan badan dia. Muka dikerutkan tanda tak setuju.
Pulak dah. Perut dah berkeriut. Kalau aku tahan lagi lama, tanpa syak wasangka lagi, aku akan kena gastrik. Aku kerling jam di computer. 1.25 tengah hari. Ah sudah. Time ni kalau order mana-mana makanan atas talian pun sah-sah lama kena tunggu.
Aku ambil telefon dari dalam beg. Ah, lantaklah Kak Mona nak bising pun kerja tak siap. Kalau aku pengsan nanti bukan dia nak dukung pun. Aku bukak apps Food Panda dan mula berfikir nak makan apa?
“Weh, kau orang suruh aku order ni, kau orang nak makan apa?” Berpinar jugak mata aku tengok kedai-kedai dekat alam maya ni. Kepala pun rasa berat je. Kalaulah makanan terhidang sekarang jugak, alangkah bahagianya aku.
“Aku nak masakan panas. Kau cari la mana-mana kedai yang ada. Nasi Goreng Seafood pun okey. Remark nak pedas.” Laju Milah membalas. Nampak sangat dalam fikiran dia sejak tadi memang dipenuhi dengan agenda nak makan tapi malangnya dihalang oleh Kak Mona antagonis itu.
“Kau Ecah?”
“Err aku… Adoi. Ni masalah ni.” Dari tadi masalah je Si Ecah ni. Dalam fikiran nak cuti la tu.
“Kenapa?”
“Soalan paling susah nak jawab!”
“Kan!” serentak kami bersuara sebelum tergelak kuat.
“Ehem!” Ketukan di pintu yang tidak bertutup kedengaran bersama deheman suara lelaki. Partition kami yang berada agak ke dalam menidakkan kami untuk melihat tetamu yang datang.
Tertoleh-toleh kami untuk melihat gerangan empunya deheman. Amboi bukan main macho suara dehem tu. Baru berdehem. Kalau menyanyi agaknya kami dah terpukau sampai kenyang balik perut ni.
“Ecah, kaulah pergi tengok!” gesa Milah.
“Ish malaslah aku.” Dan-dan Ecah buat-buat selak profail syarikat dalam bentuk hard copy yang dah nak lunyai tu. Padahal tadi dia kalut buat invois, buat profail tu kerjanya si Milah.
“Kau pergi, Sarah.” Arah Milah pulak. Akur ajelah. Dah dia senior kan. Nak lebih-lebih karang, aku budak baru lagi kat sini. Orang putih kata, newbies gitu.
“Adoi, yelah-yelah.” Aku bangun membetulkan urat di pinggang. Telefon diletakkan ke atas meja kerja.
Sempat aku jenguk ke bilik Kak Mona yang sedang terbuka. Kak Mona bangun dan menghampiri ke arah pintu. Bertentang mata kami berdua.
Tajam sorotan mata dia sebelum menjadi kuyu mata itu setelah melihat tetamu yang datang.
Aku pulak, rasa nak terbeliak biji mata. Pipi terasa panas dan mulut aku tanpa dapat dikawal, nak tersengih. Tersengih sampai nampak gigi pulak tu.
Abang jaga!
“Hai, mimpi apa pulak ni datang sini?” tegur Kak Mona ceria kepada Ibrahim. Air muka ketat dia sejak dari pagi tadi nampaknya telah berjaya dilesapkan. Yang ada hanyalah riak manis bak gula kabung. Seolah-olah dia tak pernah naik angin atau bermuka ketat. Nampaknya Kak Mona ramah jugak dengan pengawal keselamatan dekat kilang ni. Aku ingatkan dia akan layan nak tak nak je. Sebab dengan orang bawahan dia terutamanya aku, dia tak pernah senyum ikhlas. Senyum sinis tu adalah.
“Nak hantar makanan. Ada yang order.” Ibrahim membalas teguran Kak Mona dengan lesung pipit dalamnya. Dia kalih mata kepada aku sambil mengangkat mangkuk tingkat searas dengan telinganya. Mangkuk tingkat aku! Ewah, dah macam bulan puasa zaman-zaman dulu pulak nak berbalas-balas juadah.
“Sejak bila pulak ambil order makanan ni? Tak bagi tau akak pun?” Kak Mona tak puas hati dengan balasan Ibrahim, tapi masih dengan wajah mesra. Tak nampak nak menggatal sangat tapi macam dia dah kenal lama aje dengan abang jaga ni.
Ibrahim tak menjawab apa-apa sebaliknya terus senyum, membiarkan soalan Kak Mona tak berjawab.
“Akak ingat siapalah tadi. Okeylah. Akak nak keluar kejap. Ada hal sikit. Nanti apa-apa roger akak ye?” Kak Mona berlalu dan muncul kembali dengan beg tangannya. Yes! Dia nak keluar. Makna kata opis ini ana yang punya. Yuhuuu.
“I nak keluar dan tak masuk dah untuk hari ni. Esok I masuk petang. Pastikan sebelum I masuk esok, you all dah siapkan kerja semua tu ya?” pesan Kak Mona pada aku, tanpa ada nada garang seperti pagi tadi. Ajaib betul. Mana hilang Mona berwatak singa tadi? Mana? Cuak pulak aku tengok Kak Mona seperti watak arnab yang begitu suci dan baik hati. Aku pandang kawan-kawan aku di belakang yang sudah tentunya tengah tahan senyum kegembiraan.
“Baik, Kak Mona.” Jawab aku dengan sopan dan seolah-olah langsung tak gembira dengan kepergian ketua kami ini. Kak Mona dan Ibrahim bertukar senyuman sebelum ketua bahagian sumber manusia yang digeruni itu berlalu pergi bersama bunyi keletak keletuk kasut tumit tingginya.
Setelah Kak Mona hilang dari pandangan, Ibrahim bersuara. Alamak hari ni dia tak pakai uniform. Pakai T Shirt kolar bulat warna merah je dengan seluar jean je. Tiba-tiba dada aku macam ada angin bertiup dan berdesir serentak pipi seperti diserbu darah panas. Malu. Hesy, tundukkan mata tu, Sarah.
“Nah, saya balas bekas awak. Makanlah.”
“Amboi. Beria betul awak nak berbalas juadah bagai. Macam mana sambal saya hari tu? Masih sedap macam nenek awak buat tak?”
“Mestilah. Sampai saya mimpi arwah nenek saya tau.”
“Biar betul?” Tiba-tiba aku rasa macam tengah dating depan pintu opis aku. Gaya macam kekasih hati datang hantar makanan sebab risau buah hati kelaparan. Hoi! Lupa diri ke Sarah? Berapa kali aku nak kena ingatkan diri sendiri ni entahlah.
“Betul ke tak, yang penting, dah pergi makan dulu. Saya beli lebih tu. Boleh kongsi dengan kawan -kawan awak.”
Aku hidu sedikit mangkuk tingkat yang ada di tangan Ibrahim. Macam lauk asam pedas je ni. Fuh, bau daun kesum dan belacan begitu menggoyahkan kalbu.
“Beli? La ingatkan awak masak!”
“Ops, saya cakap beli ya tadi?”
“Haah la. Apalah awak ni. Baru saya nak nangis terharu sebab awak sudi masakkan untuk saya.”
“Buat apa nak nangis pulak? Saya yang nak nangis pekena sambal awak tu. Nah, ambik ni. Dari tadi saya sua, awak tak jugak hulur tangan.”
Aku capai bekas dari tangannya. Boleh tahan berat. Mesti dia isi penuh-penuh ni.
“Baiklah, Encik Ibrahim. Saya terima dengan hati terbuka. Awak bagi makanan tepat pada masanya. Saya memang dah hampir kebuluran ni.”
“Kenapa? Kak Mona tak bagi awak rehat ke?”
Aku mengeluh sambil rasa mahu mengadu. Tapi dah kenapa nak mengadu dekat dia pulak? Apa punya perangailah aku ni. Ibrahim ni bukannya siapa-siapa.
“Ehem!” Ecah mencelah tanpa sempat aku ceritakan kisah Kak Mona yang memaksa kami siapkan kerja sebelum rehat. Milah angkat-angkat kening pada aku.
Kawan sekerja aku yang berdua tu menghampiri kami berdua. Eleh, baru berani angkat punggung.
“Saya boleh makan sekali kan? Cukup tak untuk tiga orang?” Selamba saja Milah bertanya kepada tuan punya badan di depan mata. Kalau dah lapar tu memang dah tak payah nak cover-cover malu.
“Boleh je. Dengan syarat kau basuh bekas ya?” Aku pulak sengaja nak buli Milah.
“Yelah. Aku basuh dengan Ecah. Kan Ecah kan?”
“Alah, setakat basuh ni pun nak kena share-share ke? Malas betul kau ni.” Selar Ecah.
Ibrahim tersengih segan dengan perangai lepas laku kawan-kawan aku di depan dia.
“Okeylah. Saya pergi dulu. Ada kerja sikit ni,”
“Tunggu-tunggu. Saya nak tanya, awak ni abang guard kan?” Milah menahan.
“Huish, betullah. Aku pun tak perasan.” Ecah menambah. Ditilik muka abang jaga dari atas ke bawah.
Ibrahim angkat kening sambil sengetkan senyum.
“Betullah tu. Saya cuti hari ni. Saja singgah kejap.”
“Ooo.” Panjang dua orang perempuan tu menyebut huruf O sebagai maksud kepada perkataan ‘begitu rupanya’.
“Awak datang sini nak jumpa Sarah ke? Awak ada apa-apa ke dengan dia? Macam mana boleh kenal?” Milah menyerbu Ibrahim dengan tiga soalan bertubi-tubi.
“Ha! Awak datang sini hantar makanan untuk Sarah, sahlah ada apa-apa kan?” sokong Ecah untuk menguatkan tuduhan Milah.
Tak boleh jadi ni. Ibrahim nampak terkebil-kebil. Mesti dia rasa awkward. Nak datang balas juadah je pun, tapi kena tanya seolah-olah dia nak datang jumpa jodoh.
“Dah, kau orang jangan banyak tanya. Kau ambik mangkuk tingkat ni, pergi hidang kat pantry. Kejap lagi aku datang.” Dengan mudah, aku mencantas desakan mereka berdua terhadap abang jaga aku. Errr. Abang jaga aku? Eee.
“Haahlah. Jom Milah. Aku rasa nak terburai dah perut aku tahan lapar.”gesa Ecah yang bersetuju.
“Yelah. Jom. Tapi saya tak habis lagi tau,” ujar Milah kepada Ibrahim konon-konon nak bagi amaran. Lepas tu dia senyum lebar.
“By the way, terima kasih ya encik.” Tambah Milah lagi sebelum menuju ke pantry bersama Ecah yang sama-sama kebuluran itu. Ibrahim angguk saja dan angkat tangan. Dan sudah tentulah bibir tu dilarikkan senyuman. Legalah tu kan sebab dah selamat daripada soal jawab wartawan kilang ni.
“Sorry la. Kawan saya tu busybody sikit. Lepas tu suka sangat buat spekulasi murahan.”
Malu betul dengan perangai dua orang tu. Lagipun Milah dengan Ecah memang tak tahu aku selalu sembang dengan abang jaga selepas waktu kerja. Aku rasa macam tak penting mana nak cerita. Lagipun bukan aku berdating. Kami bersembang masa enjin motor aku masih hidup. Makna kata bukan lama pun kami bersembang.
“Baguslah awak cepat serasi dengan pekerja dekat sini walaupun masih baru. Bukan senang tau nak dapat rakan sekerja yang awal-awal lagi open dan boleh bergurau macam ni. Selalunya orang buat gap tambah-tambah dengan staf baru.”
“Kan! Saya rasa saya beruntung sangat. Walaupun staf kontrak je, tapi alhamdulillah saya disukai ramai rakyat jelata di kilang ni bermula dari Tuan Idris hinggalah ke pengawal keselamatan. Oh lupa, bab Kak Mona je belum lepas lagi.”
Tak agak-agak aku sebut kemudian gelak.
Ibrahim dah tak senyum.
Gulp. Aku telan air liur. Bukan sebab tersebut nama Kak Mona tu. Tapi perkataan disukai tu.
Euw, yang aku perasan sangat tu dah kenapa? Patut perkataan suka tu aku sebutlah disenangi ke apa.
“Errr. Saya gurau je.”
“Betullah tu. Awak memang mudah disukai ramai. Jaga-jaga, takut orang berkenan dalam diam.” Ibrahim seperti beri amaran. Tajam mata dia merenung aku. Isy, segan pulak rasa.
“Tak adalah. Kalau saya mudah disukai, mesti Kak Mona awal-awal lagi dah peluk cium saya masa hari pertama datang opis ni tau.” Sorry Kak Mona. Aku guna nama dia untuk buat abang jaga senyum. Please senyum. Please. Seram jugak tengok dia tiba-tiba bermuka serius.
Okey berjaya!
“Eh, sembang-sembang ni, lupa pulak awak tak makan lagi. Saya mintak diri dululah. Ada hal sikit.”
“Diri awak tak payah mintak. Kalau awak nak saya, ha, baru awak kena mintak,” sindir aku balik guna ayat yang dia pernah tujukan kepada aku.
Dia pun ketawa kuat. “Hurm, kan? Kalau nak, kita kena mintak. Takkan nak curi pulak?”
Aku buat-buat muka blur dan garu kepala yang dilapisi selendang.
“Dah, pergilah makan tu. Kawan awak mesti tengah tunggu tu.”
“Terima kasih sudi hantarkan makanan kat saya. Saya sangat hargainya.” Ikhlas aku bersuara.
“Saya balas balik bekas awak je. Takkan nak bagi kosong je? Okeylah. Saya gerak dulu ya?”
Dia pun berlalu tanpa aku membalas ayatnya. Lama aku perhati dia beredar hinggalah dia hilang di sebalik koridor.
Bila tengok dia berpakaian biasa pada hari ini dan bukan uniform, aku yakin suatu benda. Apa yang aku anggap selama ni, ternyata betul. Tak salah lagi.
Dialah orangnya. Dialah mamat SOGO yang tolong aku masa aku kebocoran suatu masa dahulu. Aku tak tahu nak seronok atau nak rasa malu.
Apa yang aku pasti, dia tak ingat aku. Orang yang ada ingatan kuat dan sangat mudah ingat wajah orang macam aku ni selalunya akan kecewa bila orang lain ternyata langsung tak simpan memori tentang kami. Abang jaga ini pun sudah tentu sama. Tapi kan bagus dia tak ingat. Malu kot! Semoga dia takkan ingat. Jadinya, aku akan buat baik dengan dia. Buat membalas jasa dia yang pernah bantu aku tanpa mengharap balasan.
Ya, aku sedar status aku. Bukan aku nak melebih-lebih pun, sekadar nak balas budi. Dia pun mesti dah beranak pinak.