Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
57,447
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 16


Elika membuka matanya perlahan. Wajah Gloria menyapa pandangannya.

“Kau dah sedar,” kata Gloria dengan gembira sambil memeluk gadis itu.

“Elika,” tegur Jaim dengan perasaan sebak. Elika tersenyum hambar melihat kehadiran papanya. Dia memandang sekeliling.

“Kita kat hospital,” kata Gloria seperti tahu apa yang difikirkan oleh gadis itu. Elika mengeluh perlahan. Terangkat kening Gloria mendengar keluhan gadis itu.

“Maafkan papa,” ucap Jaim sambil menggenggam erat jemari gadis itu.

“Papa sihat?” soal Elika sambil memandang wajah Jaim yang agak tidak terurus. Lingkaran gelap pada mata Jaim jelas menunjukkan yang dia tidak cukup tidur. Jaim mengangguk pantas.

“Papa risau sangat bila Elika tak sedar lagi. Dah hampir tiga bulan papa tunggu Elika,” kata Jaim dengan perasaan sebak. Elika terkedu. Dia menoleh ke arah Gloria. Gadis itu hanya mengangguk.

“Esok Elika dah boleh balik rumah,” beritahu Jaim. Elika hanya mengangguk tersenyum.

                                 *****

“Selamat kembali,” ucap Taj dengan senyuman lebar. Gloria dan Elika hanya mengangguk tersenyum.

“Saya minta maaf. Sepatutnya saya lebih berhati-hati menjaga kamu,” sambung Taj lagi.

“Tak apa sir. Bukan salah sir. Sir, pasal tapak kerajaan lama tu. Mereka ada jumpa apa-apa tak?” tanya Gloria agak teruja.

“Setakat ni mereka cuma jumpa sebuah pasu yang diukir dengan perkataan mataair. Cuma tak tahu apa makna sebenar tulisan tu. Mereka masih dalam proses mengkaji. Jangan risau saya akan beritahu andai ada berita baik,” balas Taj. Elika dan Gloria saling berpandangan.

Sir yakin ke perkataan tu mataair?” soal Elika dengan kening berkerut.

Sir jumpa pasu aje ke?” tanya Gloria pula.

“Ya, saya yakin. Tu yang pelik. Mereka cuma jumpa satu pasu di kawasan tu. Kenapa?” balas Taj separuh menyoal. Elika dan Gloria serentak menggeleng.

“Tak apa sir. Kami keluar dulu,” kata Elika sebelum bangun dari kerusi. Gloria menurut langkah gadis itu. Taj hanya mengangguk. Dia menarik nafas lega. Taj juga tidak tentu arah sejak kemalangan yang menimpa kedua-dua pelajarnya itu. Bila tahu yang Gloria dan Elika sedar, dia terus melawat kedua-dua gadis itu.

                                  *****

Gloria mengambil tempat di sisi Elika. Puas dia mencari gadis itu. Rupanya Elika termenung sendiri memandang padang bola yang luas. Elika hanya memandang sekilas ke arah gadis itu.

“Pasal tapak kerajaan lama tu, kau rasa Mataair tu wujud ke?” soal Gloria. Elika diam tidak menjawab.

“Kau okay?” soal Gloria yang agak risau. Sejak kembali belajar Elika dilihatnya lebih banyak mendiamkan diri dan sering termenung.

“Nampaknya memori semasa kat sana tak hilang,” balas Elika dengan nada perlahan. Gloria mengangguk setuju. Pandangannya juga dihalakan ke arah padang.

“Kau teringat putera?” soalnya tanpa memandang Elika. Elika terdiam mendengar soalan itu.

“Atau mama kau?” soal Gloria lagi. Kedengaran Elika mengeluh berat.

“Maaf aku tak bermaksud nak ingatkan kau,” ucap Gloria mula rasa bersalah.

“Jujur aku nak lupakan apa yang terjadi tapi pada masa yang sama aku tak sanggup nak padam memori tu,” balas Elika dengan perasaan sebak. Rindunya sudah terubat pada Hana. Namun bagaimana pula pada lelaki itu?

“Boleh aku tanya?” soal Gloria sambil memandang Elika.

“Apa,” balas Elika.

“Kau sayang putera tu kan? Sebab tu kau langsung tak jumpa dia untuk kali yang terakhir. Kau tak sanggup,” soal Gloria separuh meneka. Mata Elika mula berkaca. Sudah penat dia menyimpan sendiri perasaan itu. Berlakon seperti tidak kisah pasal lelaki itu. Dia sangat terseksa dengan tindakan sendiri. Gloria memeluk lembut bahu Elika apabila melihat gadis itu menyeka air matanya.

I’m sorry,” ucapnya. Elika menggeleng perlahan.

“Aku cuba tahan diri. Tapi aku tak mampu. Aku kini menyesal sebab tak jumpa dia buat kali yang terakhir,” katanya dengan suarak serak.

“Tindakan kau tu betul. Kau semakin sakit kalau jumpa dia sebelum balik. Elika, aku mungkin tak faham apa yang kau rasa. Tapi sebagai kawan aku tetap nak ingatkan kau. Firdaus tu fantasi. Kau, aku, kita…, adalah realiti yang sebenar. Aku harap kita berdua dapat teruskan hidup seperti biasa macam sebelum ni,” balas Gloria separuh menasihati.

“Seperti biasa? Selepas apa yang berlaku pada kita?” soal Elika dengan kening berkerut. Gloria terdiam. Lidahnya kelu untuk membalas.

“Aku harap semua tu akan mudah sama seperti kata-kata,” sambung Elika dengan nada sayu.

“Aku nak beritahu kau. Masa kau balik jumpa mama kau selepas pemilihan, aku dengar Firdaus tak jadi gantikan raja. Kau ingat tak abangnya yang selalu hilang tu? Aku dengar dia yang ganti Firdaus,” beritahu Gloria.

“Kenapa? Macam mana dengan Uyana?” soal Elika jelas terkejut.

“Dia kahwin dengan abang Daus tu kot. Aku lupa nak beritahu kau hari tu sebab teruja nak balik,” balas Gloria. Elika mengeluh.

“Semuanya salah aku. Dia dah bersusah payah sejak kecil belajar banyak perkara semata-mata nak gantikan ayahnya. Tiba-tiba tak jadi pula. Kalau kita tak ada kat sana, mungkin usahanya tak akan sia-sia,” kata Elika dengan perasaan sebak.

“Anggap saja kita ni orang yang bertuah. Tak semua orang akan lalui apa yang kita dah lalui Elika. Kita tidak patut dipersalahkan dengan apa yang berlaku. Jelas dan nyata bukan salah kita,” balas Gloria sambil mengelus lembut bahu gadis itu. Elika hanya diam mendengar kata-kata gadis itu. Dia biarkan air matanya menitis.

                                  *****

“Papa nak beritahu Elika sesuatu. Sebenarnya dah lama papa nak beritahu hal ni tapi papa tak tahu bila masa yang sesuai. Tapi sebelum tu papa nak Elika tahu yang Elika tetap anak papa walau apapun akan berlaku,” kata Jaim sambil memandang Elika yang duduk di hadapannya.

“Apa dia papa?” soal Elika agak berdebar.

“Idham, papa kandung Elika. Dia meninggal ketika Elika masih dalam kandungan mama. Idham maut dalam kemalangan jalan raya,” beritahu Jaim. Elika terkedu.

“Selepas Elika lahir, papa kahwin dengan mama. Masa tu kamu masih sangat kecil. Jadi kami ambil keputusan untuk rahsiahkan dulu semuanya. Papa minta maaf. Papa dan mama tak berniat nak rahsiahkan hal ni daripada Elika,” sambung Jaim. Elika menggenggam jari jemarinya. Jadi orang tua itu adalah ayah kandungnya?

“Elika,” tegur Jaim risau apabila melihat gadis itu hanya membisu.

“Papa ada simpan gambar tak?” soal Elika dengan nada perlahan.

“Ada kat bilik. Sekejap papa ambil,” kata Jaim sebelum bangun lantas berlalu ke tingkat atas. Elika bersandar pada sofa. Betul kata Gloria. Dia sangat bertuah kerana mempunyai peluang untuk bertemu dengan kedua-dua orang tuanya itu.

“Tak tidur lagi?” soal Karina dengan kening terangkat. Elika menoleh ke arah wanita yang baru keluar dari arah dapur. Sejak kembali dia masih tidak bertegur sapa lagi dengan wanita itu. Elika hanya menggeleng menjawab soalan Karina.

“Jangan tidur lewat sangat,” pesan Karina sebelum naik ke tingkat atas. Elika hanya memandang langkah wanita itu. Sejak bila wanita itu berubah?

“Ni dia. Cuma gambar ni yang mama serahkan pada papa,” beritahu Jaim yang baru turun dari tingkat atas sambil menghulurkan sekeping gambar pada Elika. Elika menyambut perlahan. Agak lama dia merenung gambar tersebut. Jaim agak risau menunggu reaksi gadis itu.

“Terima kasih papa. Papa dah jaga Elika dengan baik selepas mama dan ayah pergi,” ucap Elika sambil membalas pandangan Jaim. Hatinya sebak. Walaupun masih terkejut yang Jaim bukan bapa kandungnya namun dia sangat bersyukur dengan kehadiran orang tua itu. Jaim menarik nafas lega.

“Tak ada apa yang berubah. Elika tetap anak papa,” balasnya dengan senyuman. Elika mengangguk tersenyum.

                                    *****

Hana menghulurkan sekeping surat kepada Idham. Berkerut kening Idham menyambut huluran wanita itu. Dia membaca isi surat tersebut.

Elika balik dulu. Jaga diri mama, ayah. Elika sayang mama dan ayah

Idham memandang semula wajah isterinya.

“Saya tidak faham. Surat ini saya jumpa di atas meja solek Elika. Tapi saya lihat Elika masih lena di atas katil. Apa maksud surat ini?” soal Hana yang jelas kelihatan gelisah. Idham menyentuh bahu isterinya.

“Jangan risau Elika pasti baik-baik saja. Dia gadis yang kuat,” balasnya dengan senyuman.

“Abang merepek apa ini? Elika hendak merantau?” soalnya yang keliru dengan kata-kata suaminya itu. Idham hanya tersenyum.

“Mari kita kejutkan Elika. Kita pun sudah lama tidak bertemu dengannya,” ajaknya sambil menarik lembut lengan Hana.

“Abang ini memang sengaja hendak buat saya pening,” kata Hana sambil mengikut langkah lelaki itu. Idham hanya tersenyum.

                                     *****

Elika berjalan perlahan menuju ke perhentian bas. Langkahnya berat.

“Elika,” panggil seseorang. Langkah Elika terhenti. Dia sedang bermimpi atau telinganya yang ada masalah. Suara itu sangat dikenalinya. Elika berpaling menoleh. Pemuda tinggi lampai itu tersenyum berjalan menghampirinya. Mata Elika mula berkaca.

“Daus?” soalnya masih tidak percaya.

“Ya saya,” jawab Firdaus dengan senyuman.

“Awak buat apa kat sini?” soal Elika lagi dengan perasaan sebak. Senyuman Firdaus perlahan menghilang.

“Tak suka saya datang sini?” soalnya kembali agak kecewa dengan reaksi gadis itu.

“Bukan macam tu. Saya…,” Elika terdiam. Air matanya menitis. Perlahan tangannya bergerak memeluk lelaki itu. Firdaus terkedu. Elika menangis teresak-esak dalam pelukan lelaki itu. Firdaus membalas erat sambil mengucup dahi gadis itu. Gloria yang berdiri tidak jauh dari tempat kedua-duanya turut tergamam. Dia mencubit lengan kirinya. Sakit!

                                 *****

“Maafkan bonda. Bonda tidak sampai hati hendak menghalang Daus,” ucap Waheda dengan perasaan bersalah. Rasyid menarik nafas berat.

“Bonda tidak bersalah. Saya yang izinkan dia pergi,” balasnya. Walaupun dia sangat berat hati melepaskan Firdaus namun dia tidak sampai hati untuk menolak apabila pemuda itu mula menangis sambil memeluknya. Dia tidak menyalahkan Firdaus kerana jatuh hati pada Elika. Jika ibunya boleh berkahwin dengan orang luar, mengapa tidak anaknya sendiri? Dia tidak pernah salahkan orang luar yang bertuah sampai ke negara mereka. Rasyid percaya dunianya dan dunia ayahnya mempunyai hubungan yang erat dan misteri.

“Syid sudah bersedia kehilangan Daus?” soal Waheda dengan perasaan sebak. Pamela yang duduk di sisi Rasyid hanya menundukkan kepala. Tidak ada ibu bapa yang sanggup berpisah hidup dengan anak sendiri. Namun demi kebahagiaan Firdaus, dia merelakan pemergian lelaki itu. Rasyid menyentuh jemari isterinya itu.

“Daus pasti akan temui kebahagiaan di sana,” balasnya tanpa menjawab dengan jelas pertanyaan orang tua itu. Pamela mengangguk setuju. Waheda tersenyum hambar. Dalam diam dia berharap cucunya itu bertemu dengan Yusuf. Walaupun mungkin mereka tidak saling mengenali namun dia masih berharap dengan pertemuan tersebut.

                                 *****

Elika memandang Safiq agak lama.  Perasaannya berbaur.

“Saya tahu kamu mesti tidak percaya. Tapi itu yang berlaku di sini. Saya hendak tahu pula keadaan kamu. Sepanjang Elika ada di sini, kamu di mana?” soal Safiq. Uyana yang duduk di sisi suaminya turut berminat ingin tahu. Banyak perkara pelik yang berlaku melibatkan sejarah perigi. Sukar untuk dia percaya namun itu adalah realiti. Uyana agak sedih juga tidak dapat bertemu dengan Elika buat kali terakhir. Dia hanya mampu berharap gadis itu baik-baik saja apabila kembali ke dunianya.

“Saya seperti tidur sepanjang waktu. Apabila sedar dari lena, semuanya sudah berlaku. Saya pelik apabila ibu kata saya gagal dalam pemilihan. Apabila dengar cerita Safiq, saya mula rasa kecewa, sedih dan tidak percaya. Separuh hidup saya seperti dicuri. Saya menyesal tidak hapuskan perigi itu. Sepatutnya sejak awal saya benarkan ayah untuk hapuskan perigi. Saya sudah kehilangan Daus,” balasnya sambil tunduk. Air matanya menitis perlahan. Dia tahu yang Firdaus tidak akan pernah membalas perasaannya. Namun dia kecewa kerana tidak sempat bertemu dengan Firdaus buat kali yang terakhir.

“Idham mesti hapuskan perigi itu hari ini. Satu-satunya perigi yang ada dalam istana ini juga telah dihapuskan. Kita tidak mahu lagi ada kehilangan selepas ini. Bukan kamu seorang saja yang rasa kehilangan Elika. Kami semua turut merasainya. Tapi kita tidak boleh salahkan mereka yang datang ke dunia kita tanpa dijemput. Mereka semua tidak salah,” kata Safiq separuh menasihati. Jika ikutkan hati dia tidak mahu Firdaus pergi. Namun dia sedar jika Firdaus terus tinggal di tempat itu, sudah pasti lelaki itu tidak akan mampu tersenyum lagi. Mereka semua dengan berat hati terpaksa melepaskan Firdaus.

“Kita semua kehilangan orang itu. Saya harap Elika dapat bersabar. Memang sukar tapi kita semua kena terima dan teruskan hidup,” celah Uyana dengan senyuman. Elika mengeluh. Mampukah dia teruskan hidup tanpa lelaki itu?

                                 *****

Gloria memandang Elika yang tersenyum sedari tadi. Sejak kehadiran Firdaus, gadis itu sentiasa tersenyum. Jika orang yang tidak kenal dengan gadis itu sudah pasti mereka menganggap Elika ini sudah hilang akal.

“Bahagia?” soalnya separuh mengusik. Elika membalas pandangan gadis itu sambil mengangguk.

“Papa nak beli rumah untuk aku. Aku akan tinggal dengan Daus,” beritahunya dengan senyuman lebar. Bulat mata Gloria memandang gadis itu.

“Kau nak kahwin ke?” soalnya. Elika mengangguk.

“Serius?” soal Gloria lagi yang jelas terkejut. Elika tergelak kecil.

“Tak salah kan? Kita bukannya budak sekolah lagi. Lagipun Daus tu bukannya bakal raja lagi. So aku tak ada masalah nak kahwin dengannya,” balas Elika.

“Aku dah agak kau dah lama suka dengan Daus tu. Kau ni cerewet orangnya. Mustahil kau dengan cepat buat keputusan kalau tak kena pada hati,” kata Gloria separuh mengusik. Elika tersenyum lebar. Dulu dia sedaya upaya menafikan perasaan itu. Semuanya sebab kedudukan Firdaus dan keadaan dirinnya yang tidak mengizinkan. Tapi kini dia tidak akan sesekali lagi menafikannya. Firdaus sudah kehilangan segalanya demi dia.

“Aku jatuh hati dengannya sejak kali pertama bertemu. Kau ingat tak masa pertandingan memasak?” balas Elika separuh menyoal. Gloria mengangguk sambil tergelak.

“Aku terpaksa pendam sebab sedar diri. Aku beritahu dia yang hubungan kami hanya sebagai kawan. Kau tahu tak sakitnya hati aku bila terpaksa bina dinding antara aku dan dia. Aku dah kehilangan dia sekali. Tapi kali ni aku akan pastikan usahanya tak sia-sia datang ke sini. Kau sendiri tahu apa kesan dia akan dapat bila datang sini,” sambung Elika. Senyumannya menghilang. Gloria menyentuh bahu gadis itu.

“Jangan fikirkan sangat. Kau kena hargai setiap masa yang ada dengannya. Elika, aku gembira dengan kau,” katanya dengan senyuman. Elika tersenyum semula.

“Terima kasih atas segalanya. Aku sayang kau,” ucap Elika sambil memeluk gadis itu. Gloria tergelak membalas pelukan Elika.

                              *****

3 bulan kemudian

Firdaus membelai perlahan rambut ikal isterinya itu. Elika tersenyum membalas pandangan Firdaus. Dia mengucup pipi suaminya itu.

“Sayang saya tak?” tanyanya separuh mengusik. Firdaus tersenyum. Dia menyentuh kedua belah pipi Elika lantas mengucup bibir gadis itu berkali-kali. Elika tergelak sambil menolak perlahan.

“Saya rasa tak perlu jawab soalan tu,” balas Firdaus. Elika menyentuh jemari lelaki itu.

“Terima kasih kerana datang sini. Maafkan saya sebab awak dah hilang kehidupan kat sana sebab saya. Daus, saya janji akan jaga awak kat sini. Tapi awak juga janji tak tinggalkan saya tanpa kebenaran saya. Awak faham?” ucap Elika dengan perasaan sebak. Dia sudah sedaya upaya tidak memikirkan hal itu namun jika memandang wajah Firdaus pasti hal itu akan melintas di fikirannya. Bagaimana dia teruskan hidup jika benar-benar lelaki itu akan pergi dan tidak akan kembali lagi?

“Saya tak pernah menyesal dengan keputusan untuk datang ke sini. Elika, awak adalah pelengkap hidup saya. Terima kasih kerana menerima saya sebagai suami awak. Saya cintakan awak. Kalau saya pergi dulu, saya tak akan menyesalinya,” balas Firdaus dengan senyuman. Dia mengucup jemari isterinya itu.

I love you too,” ucap Elika dengan perasaan sebak. Firdaus tersenyum sambil menarik Elika dalam pelukannya.

Ayah, bonda, Fiq, Nek

Jangan risau dengan Daus. Daus dah jadi suami Elika. Daus bahagia kat sini.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.