Home Cerpen Thriller/Aksi JIN GALAH 0.1: SPESIES
JIN GALAH 0.1: SPESIES
Amiene Rev
6/6/2015 15:45:52
3,795
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

JIN GALAH 0.1: SPESIES

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

NOTA: Karya kedua dalam koleksi cerpen JIN GALAH.


Langit. Masih gelap seperti biasa. Sesekali kilat sambar-menyambar. Namun, hujan tidak pula turun. Awan segan menangis. Sudah sembilan hari, matahari tidak dapat memancarkan cahayanya. Awan terlalu tebal. Tidak ada pasukan tentera, tidak ada polis, apa lagi RELA atau JPAM. Apa yang berlaku sebenarnya?

“Kita isi minyak di sini.”

Sebuah stesen minyak yang lengang, menjadi perhatian kami. Ini adalah hari ketiga pencarian kami. Ibu masih belum pulang. Ayah Isma juga masih belum pulang. Bandar ini sudah lengang. Aku tidak tahu kenapa, tetapi aku pasti akan tahu juga suatu hari nanti.

Pintu kedai yang terdapat di stesen minyak itu aku tolak. Tidak berkunci. Tidak ada satu pun kelibat manusia. Namun, masih banyak stok makanan. Emak Isma tertarik pada telefon di meja kaunter.

“Dapat?” Aku begitu mengharap.

Emak Isma menggeleng-gelengkan kepala. Talian kecemasan juga tidak dapat dibuat. Aku menghembus nafas kecewa. Semua peralatan komunikasi kini tidak lagi berfungsi.

Emak Isma, kami patut berikannya nama. Puan Damia. Puan Damia, Isma dan aku – Azim, merupakan tiga manusia yang masih wujud di sekitar daerah ini. Sejak seminggu kebelakangan ini, kami tidak menemui manusia lain, bahkan, kami kehilangan beberapa orang. Ayah Isma. Ibu. Ibu aku.

“Televisyen, internet, radio... semuanya tidak berfungsi. Apa nak jadi ni?” Isma mengeluh.

Guruh berdentum. Gemanya merebak hingga ke dalam bangunan.

“Sabar, Isma.” Puan Damia menenangkan anaknya.

“Barangkali ini permulaan kiamat,” selamba sahaja, aku luahkan pernyataan itu.

“Kita patut pergi.”

“Ya..”

Maka kami pun berangkat meninggalkan stesen minyak itu.

=O=

Kumpulan seramai tiga orang itu pun menaiki kereta dan meninggalkan tempat itu. Pintu tandas tiba-tiba terbuka. Bukan. Ia dibuka. Satu lembaga manusia kelihatan keluar dari tandas itu. Kemudian keluar satu lagi lembaga manusia. Berambut panjang. Sudah tentu wanita.

Lembaga manusia yang pertama mengintip ke luar kedai. Dia mendapati kereta yang dinaiki oleh Azim, Puan Damia dan Isma telah berlalu pergi.

“Mereka dah pergi, kita dah selamat sekarang.”

“Tapi bang, mereka bercakap macam manusia betul,” ujar wanita berambut panjang itu.

“Buat masa ni, kita tak boleh percaya sesiapa. Kemungkinan mereka itu juga jelmaan Jin Galah.”

“Tapi bang, mereka betul-betul macam manusia.”

“Diam! Jangan mudah terperangkap.” Lelaki itu tampak begitu beremosi. “Mereka mungkin akan datang lagi. Kita mesti tinggalkan tempat ini.”

Wanita itu mengangguk. Tempat ini mungkin tidak selamat lagi.

=O=

Kabus tebal menyelubungi kawasan di tengah bandar. Sunyi. Lengang. Itulah dua perkataan yang boleh disebutkan apabila kami bertiga tiba di tengah bandar ini. Ini pertama kali, kami mencari sejauh ini.

Isma ternampak banyak pokok di satu kawasan taman. Pokok-pokok itu sangat tinggi tetapi tidak berdaun. Batangnya berwarna hijau dan dipenuhi akar-akar yang menjalar hingga ke dahan.

“Eh, sejak bila di sini ada ditanam pokok-pokok setinggi ini?” Isma rasa pelik. Dia pernah berkunjung ke sini dengan keluarganya dua minggu lepas tetapi ketika itu belum ada pokok-pokok seperti ini.

“Ya, ini pelik,” sokong Puan Damia. Dia memandang ke sekeliling. Kabus begitu kuat menjajah di kawasan sini.

Isma mendekati pokok-pokok itu. Kerisauan secara tiba-tiba, kuat mengetuk pintu hatiku.

“Isma, aku rasa elok kita beredar. Ada sesuatu tak kena,”

Isma bagaikan terpukau. Dia mendekati salah satu pokok tersebut. Dia tidak sedar, salah satu dahan pokok itu, mula perlahan-lahan membengkok, tunduk dan seperti sedang cuba menyentuhnya dari arah kepalanya.

“Isma!!! Cukup, ke mari!” Isma tersentak mendengar ketegasan suaraku. Entah kenapa, bencana yang telah menimpa kami selama beberapa hari ini telah merapatkan hubungan kami. Seperti adik-beradik.

Isma berpaling ke arahku sambil berpeluk tubuh. Dia menunjukkan wajah tidak senang.

“Tak perlu garang sangat, Azim. Aku tau....”

“Pergi dari situ!!!” Puan Damia bertempik apabila melihat pokok yang didekati Isma itu mula berubah bentuk. Dahan-dahannya umpama jari-jari, cuba menyambar Isma.

Naluri aku pantas mengatakan Isma dalam bahaya! Aku mencapai sebilah parang yang terselit di pinggang aku, lalu meluru ke arah Isma.

“Pergi!!!” Aku menolak Isma ke arah emaknya. Satu demi satu, pokok-pokok di situ mula berubah rupa. Ini semua bukan pokok betul! Ini semua adalah Jin Galah.

Jadi, kini aku tahu, Jin Galah boleh menyamar menjadi pokok. Tapi kali ini aneh, kerana mereka berwarna hijau, tidak hitam seperti yang kami mula-mula bertembung dulu. Ini Jin Galah Hijau!

Kami mula berlari. Langkah kami tidak tersusun. Kami tidak peduli. Tempat ini adalah perangkap! Jin Galah ada di mana-mana. Kami mesti terus lari. Auman Jin Galah kedengaran. Auman itu disambut oleh Jin Galah yang lain. Auman Jin Galah terus bergema. Mereka sedang memberi isyarat kepada setiap Jin Galah yang ada di situ. Mereka bersepakat!

“Masuk ke dalam kereta!”

Enjin kereta dihidupkan. Kali ini Puan Damia memandu. Tidak kisahlah sesiapa yang memandu, asalkan kami semua selamat. Dunia ini tidak ada lagi undang-undang manusia. Dunia ini sekarang berpandukan undang-undang rimba. Undang-undang Jin Galah.

Kereta kami memecut ke jalan raya. Kami boleh nampak beberapa ekor Jin Galah sedang mengejar kami dari belakang. Auman mereka, raungan mereka memang mengecutkan jantung kami. Mereka sangat laju. Kami mesti lebih laju dari mereka.

“Aaaaahhhh!!!” Puan Damia dan Isma menjerit serentak apabila melihat seekor Jin Galah bersaiz besar sedang menghalang jalan raya di depan kami.

“Kita akan mati? Tidak!!!” Entah kenapa, suara hati kami berteriak pendapat yang sama!

Puan Damia memutarkan stereng kereta, cuba mengelak Jin Galah tersebut. Kereta kami berjaya melepasinya, dan belum sempat kami menarik nafas lega, tiba-tiba kereta kami tersangkut. Kami semua terhantuk ke tempat duduk depan. Aku dapat lihat akar-akar hijau sedang meragut kuat bahagian belakang kereta kami. Jin Galah itu berjaya menangkap kereta kami. Makhluk itu mengaum, garau sekali suaranya! Bulu roma kami meremang.

“Jangan mengalah!!!” Puan Damia kuat menekan pedal minyak.

“Lepaskan, kami! Bangsat kamu.” Aku mencapai bom petrol di tempat duduk belakang. Botol kaca berisi petrol.

“Isma, buka tingkap!” Isma akur tanpa suara. Dia memutar pembuka tingkap kereta. Aku menyalakan bom petrol. Aku berjaya. Aku nampak semakin banyak Jin Galah menghampiri.

“Yahhh!!” Aku melontar bom petrol ke arah Jin Galah yang mencengkam kereta kami. Botol berisi petrol itu pecah, dan api mula merebak di dada Jin Galah itu. Jin Galah itu meraung! Cengkamannya dilonggarkan.

“Pecut!!! Emak, pecut!!” Isma menjerit.

Puan Damia mendapat semangat. Semangat untuk terus hidup! Pedal minyak ditekan sekuat-kuatnya. Enjin kereta mengaum sedalam-dalamnya. Kereta kami terus meluncur ke depan, menjauhi Jin Galah yang sedang terbakar oleh api bom petrol kami.

“Nasib baik kita berdua duduk di belakang kali ini.” Spontan kata-kata itu terucap dari mulutku, sebaik-baik sahaja kami menjauhi kawasan bahaya itu.

Isma memandang aku. Tersenyum hambar. Badannya masih menggeletar. Kami mungkin sudah selamat sekarang. Naluri kuat mengatakan, ya.

=O=

“Sekarang kita semua tahu, Jin Galah boleh menyamar menjadi pokok.” Puan Damia mendiamkan diri, semasa aku bercakap demikian.

“Jin Galah Hijau,” ujar Isma. Pendek.

“Makhluk ini bijak. Yang hijau ini lebih bijak daripada yang hitam.” Aku berkongsi pemerhatianku. “Mereka bergerak dalam kumpulan, tidak seperti yang hitam, bergerak seorang diri.”

“Ini bagus, kamu semua patut berkongsi pengetahuan tentang makhluk ini. Semakin banyak kita tahu, semakin banyak cara untuk kita selamatkan diri.” Suara Puan Damia tampak tenang. Kami sudah berjaya menyingkir rasa gementar kami akibat serangan Jin Galah tadi.

“Kita baru jumpa dua spesies Jin Galah. Mungkin ada spesies yang lain.”

“Kalau ada pun, harap-harap spesies yang ketiga itu, spesies yang baik.”

Kami semua diam. Kami semua senyum. Kami semua mungkin sedang mengharapkan sesuatu yang tak mungkin berlaku.

“Lihat. Ada orang di depan.” Dalam keadaan kabus yang tebal itu, kami dapat melihat satu lembaga manusia. Dia sedang melambai-lambai ke arah kami.

“Ini patut berita gembira untuk kita semua. Kita mungkin dapat maklumat tentang apa yang sedang berlaku.” Puan Isma begitu positif.

“Hentikan kereta.”

Kereta kami berhenti betul-betul di tepi lembaga tersebut. Seorang wanita. Rambutnya berjurai, kusut dan kasar. Matanya merah. Mukanya masam.

“Puan, kamu seorang diri?” Wanita itu tidak menjawab pertanyaanku. Dia merenung kami bertiga.

“Ini menyeramkan,” bisik Isma kepadaku. Isma kelihatan gelisah.

“Shhh... dia mungkin sedang trauma.” Puan Damia cuba mententeramkan keadaan.

Wanita itu merenung kami seperti sedang terkejut. Dia menggerakkan kepalanya perlahan-lahan, memandang ke arah kami seperti tidak pernah melihat manusia.

“Puan, kamu selamat bersama kami. Mana yang lain? Puan dari mana?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulutku. Sebenarnya, aku sendiri pun rasa tidak tenang apabila melihat sikap wanita tersebut yang jelas mencurigakan. Aku meneliti wanita itu dari hujung rambut ke hujung...

“Kita... kita patut pergi, sekarang.” Puan Damia terpinga-pinga. Keningnya dikerutkan apabila melihat suaraku agak menggeletar.

“Tolong beredar sekarang!” Suaraku mendesak. “Pecut sekarang!!!”

Puan Damia akur! Dia rasa tidak sedap hati. Kereta kami memecut laju.

“Kenapa dengan kamu Azim? Perempuan tu mungkin tengah trauma.”

“Ya, Azim kenapa?” Isma mendesak.

“Ketika aku melihat kakinya, aku nampak bukan jari kaki... tetapi akar-akar yang menjalar!”

“Jin Galah? Spesies ketiga?” Isma bijak meneka.

“Mungkin...” Aku mengangguk. Badanku masih menggeletar. Sekarang kami tahu, Jin Galah juga boleh berubah bentuk menjadi manusia. Atau, mungkin juga ada sebab lain?

Aku yang paling hampir dengan tingkap kereta. Bersebelahan betul-betul dengan perempuan itu. Aku sangat yakin apa yang aku lihat. Dunia ini sudah tidak selamat lagi. Hari ini, sudah dua spesies baru Jin Galah telah kami temui. Bencana apakah yang sedang menimpa dunia ini?

Kami berharap, masih ada manusia yang bakal kami temui. Manusia yang betul-betul manusia.

BACA KARYA PERTAMA JIN GALAH: Cerpen Jin Galah

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.