Home Cerpen Thriller/Aksi JIN GALAH 0.3: RINDU
JIN GALAH 0.3: RINDU
Amiene Rev
20/6/2015 01:49:43
3,496
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

JIN GALAH 0.3: RINDU

Penulis: Amiene Rev

Blog:http://dukeamienerev.blogspot.com

NOTA: Karya keempat dalam koleksi cerpen Jin Galah.

Sukar digambarkan situasi sekarang. Aku, Isma dan Puan Damia kini terperangkap di sebuah jalan raya lurus. Di kiri kanan kami, terbentang sawah padi yang luas. Namun, ini bukan masanya untuk kami memikirkan tentang keindahan alam. Ini masanya untuk kami memikirkan tentang mimpi ngeri. Tujuh ekor Jin Galah Hijau telah mengepung kami!

“Kita mesti rempuh ke hadapan!”

“Tak boleh, ada Jin Galah di depan!”

“Rempuh sahaja, mungkin kita sempat mengelak!”

“Makcik tak yakin, Azim...”

Ini adalah masanya untuk kami berserah kepada Tuhan. Mungkin, ini adalah pengakhiran bagi kisah kami. Maafkan aku, Ibu. Aku bersalah meninggalkan Ibu ketika itu. Aku benar-benar kesal.

Aku pasrah. Di depan dan di belakang kereta kami, sekitar 500 meter, terdapat dua ekor Jin Galah Hijau bergerak perlahan-lahan di atas jalan raya. Di kiri kanan kami, terdapat sekitar lima ekor lagi Jin Galah Hijau, meredah sawah padi, menuju ke arah kami. Hidup kami sudah habis!

=O=

“Lejen, aku nampak sesuatu di depan!” Laung seorang lelaki berkulit gelap, berdiri di belakang sebuah jip sambil meneropong ke hadapan. “Ada sebuah kereta terperangkap. Jin Galah Hijau sedang mengepung mereka.”

Jip itu berhenti. Pemandunya seorang wanita muda. Seorang lelaki yang menunggang motosikal besar, turut berhenti. Lelaki itulah yang dipanggil Lejen. Mereka semua berpakaian hijau seperti askar.

“Gagak, ada berapa orang di dalam kereta tu?”

“Tiga orang.” Teropong yang digunakan oleh lelaki yang dipanggil Gagak itu berupaya mengesan terma. Suhu badan manusia.

“Letupkan Jin Galah yang paling depan.”

“Yeah!” Gagak tersengih. Dia mengangkat pelancar roket. Memutarkan sebiji roket ke muncung pelancar roket tersebut dan mula mensasarkan ke arah seekor Jin Galah Hijau.

=O=

Kira-kira dua minggu lepas, berpuluh-puluh bebola bulat seperti gumpalan rumput hitam jatuh di merata-rata tempat, termasuk di kem-kem tentera. Gumpalan bebola bulat itu kemudian berubah menjadi makhluk setinggi bangunan dua hingga tiga tingkat dan mula mengganas. Kem-kem tentera dimusnahkan tetapi masih ramai tentera yang berjaya menyelamatkan diri. Tembakan senjata api yang biasa tidak memberi kesan kepada makhluk ini. Luka mereka juga cepat sembuh. Kereta kebal sekadar mampu melambatkan pergerakan mereka. Sesudahnya kereta-kereta kebal itu diterbalikkan begitu sahaja.

Langit mendung dan awam hitam yang misteri itu turut menghalang sebarang gelombang satelit. Sistem komunikasi di seluruh negara menjadi lumpuh. Makhluk-makhluk yang dipanggil Jin Galah ini merayau-rayau ke serata tempat, menjelajah dan memburu manusia. Tiang-tiang dan kabel-kabel elektrik dirempuh mereka begitu sahaja. Kebanyakan tempat mula bergelap.

=O=

Satu bunyi nyaring kedengaran. Kaboom! Jasad Jin Galah Hijau yang sedang mara di hadapan kereta ketiga-tiga manusia itu tiba-tiba meletup. Raksasa itu lumpuh seketika sebelum rebah. Isma menjerit sekuat-kuat hati. Puan Damia menutup mata dengan lengannya.

Aku terpinga-pinga. Bingung. Ada orang cuba menyelamatkan kami? Siapa? Di mana mereka? Bertubi-tubi soalan muncul di benak hatiku.

Kemudian sekali lagi, satu bunyi nyaring kedengaran! Itu bunyi roket meluncur. Aku dapat melihat dengan jelas, sebuah roket hidup meluncur laju ke arah seekor lagi Jin Galah Hijau. Kaboom! Badan Jin Galah itu meletup. Jin Galah itu jatuh rebah. Air lumpur jelas memercik.

“Makcik! Pecut, makcik!” Aku menjerit memberi arahan kepada Puan Damia. Jantungku masih berdegup kencang. Ini satu pertaruhan! Tak kira siapa di hadapan, kami mesti menjejaki mereka.

Puan Damia tidak menjawab. Dia terus menekan pedal minyak. Kereta kami meluncur laju ke depan. Melepasi Jin Galah Hijau yang telah tumbang. Jin Galah itu menghulur tangannya, cuba menyambar kereta kami. Isma menjerit lagi. Nasib kami baik, makhluk itu gagal menangkap kereta kami.

“Ada orang! Ada orang!” Cepat-cepat aku bersuara, apabila mendapati bayangan sebuah jip dan sebuah motosikal di depan kami.

Puan Damia memperlahankan kereta. Lelaki yang berdiri di depan sebuah motosikal besar itu berjalan perlahan-lahan ke arah kami. Lagaknya kelihatan tenang. Bajunya serba hijau.

“Kamu semua tak apa-apakan? Ikut kami pulang, sekarang!”

“Siapa kamu semua? Terima kasih sebab menyelamatkan kami,” ujarku dalam suara yang masih terketar-ketar.

“Kami dari pasukan tentera pertahanan. Cepat, kita beredar sekarang. Tembakan roket tadi belum mampu membunuh mereka. Luka mereka akan sembuh semula, mereka akan memburu kita nanti.”

Penjelasan itu sudah cukup untuk memancing persetujuan kami.

Sepanjang perjalanan itu, aku dilanda perasaan kesal. Kesal sebab meninggalkan Ibu. Namun pada masa yang sama, sebahagian lagi diriku memujuk aku, menyokong tindakanku.

‘Jika kau tidak menyelamatkan Isma dan emaknya pada ketika itu, mungkin kau akan lebih menyesal. Sekurang-kurangnya Ibu tahu, kau bukan sengaja hendak meninggalkan Ibu.’ Demikianlah, hatiku berbisik kepadaku.

Aku terbayangkan rumahku. Mengingat semula mesej yang aku tulis di dinding rumahku. Jika Ibu pulang semula ke rumah itu, dan menungguku di sana, bagaimana? Selamatkah Ibu menunggu aku seorang diri di sana? Kerisauan melanda bagaikan ribut, mengusutkan pemikiranku. Aku rasa seperti ingin menangis, tetapi aku menahannya sebaik mungkin.

Ibu. Aku nampak Ibu sedang tersenyum. Aku rindu senyuman Ibu. Aku rindu suara Ibu.

=O=

Kem tentera. Petang. Pertama kali, aku dapat bertemu semula dengan ramai manusia.

“Kamu kata, nama kamu Azim, bukan?” Seorang pegawai tentera, tiba-tiba mendekatiku.

“Ya.”

“Ikut saya.”

“Kenapa?”

“Ada seseorang ingin bertemu dengan kamu.”

“Siapa?”

“Adik perempuan kamu.”

“Takkanlah...” Aku memandang Isma. Isma memandang aku, kemudian memandang emaknya. Puan Damia mengherotkan wajahnya. Pelik.

“Saya tak ada adik perempuan. Maksud saya... adik perempuan saya dah...” Aku memandang Isma.

Isma terdiam. Wajahnya bertukar muram.

Apa yang aku tahu, adik perempuanku, Putri, sudah terkorban kira-kira dua minggu lepas. Dibaham Jin Galah Hitam. Peristiwa yang membuatkan aku membenci Isma sebelum ini. Pada ketika itu, aku membenci Isma, kerana Isma meninggalkan adikku di taman permainan, sedangkan dialah yang membawa adikku keluar bermain ke taman permainan itu.

“Baik kamu ikut kami sekarang untuk membuat pengecaman,” tegas pegawai tersebut.

Pengecaman? Pengecaman mayat? Lumpuh. Anggota badanku tiba-tiba menjadi lemah.

‘Jangan fikir yang bukan-bukan.’ Hatiku berbisik lagi, menegur jiwaku yang makin kacau.

Aku menguatkan semangat. Gagal. Aku cuba berjalan. Langkahku longlai. Isma menangis. Menangis melihat keadaanku. Menangis mengenangkan kesalahannya yang lalu. Puan Damia cepat-cepat memujuknya. Kami bertiga mengekori pegawai tersebut.

=O=

Pegawai itu membawa kami ke sebuah taman permainan. Terdapat ramai budak di situ. Mereka kelihatan bermain dengan gembira. Seolah-olah sudah lupa dengan bencana dunia. Seorang budak perempuan berbaju merah jambu sedang duduk diam seperti patung, memerhati kanak-kanak yang lain bermain.

“Itu dia...” Pegawai itu menunjukkan ke arah budak perempuan berbaju merah jambu itu. Gaya rambutnya mirip Putri. Bentuk badannya mirip Putri! Benarkah itu Putri? Putri, adik aku, belum mati? Bagaimana dia boleh terselamat? Ah, kenapa aku bertanya soalan seperti ini? Aku sepatutnya bersyukur, adik perempuan aku masih hidup! Oh, Tuhan, aku amat-amat bersyukur! Hatiku berbunga-bunga.

Aku berjalan laju mendapatkan budak perempuan itu. Aku berhenti betul-betul di belakangnya. Perasaanku ketika itu, berdebar-debar. Isma mengekoriku. Dia kelihatan amat sedih. Sudah pasti, perasaan bersalah sedang kuat menyerang dirinya. Dialah yang telah membiarkan Putri dibaham Jin Galah tempoh hari.

“Putri?”

Budak perempuan itu berpaling memandangku. Aku terkejut.

“Mata... mata ini...” Aku tergamam melihat mata yang merah menyala itu.

Budak perempuan yang mirip Putri itu tersenyum ke arahku. Senyumannya sinis. Aku dilanda perasaan seram. Perasaan seperti ini mengingatkan aku kepada wanita berambut panjang yang aku temui semasa melarikan diri daripada Jin Galah Hijau di sebuah bandar, tempoh hari. Aku melihat kaki Putri. Kakinya tidak seperti kaki wanita aneh itu. Kakinya yang beralas sepasang sandal itu sama sahaja seperti kaki manusia biasa. Kaki seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

“Abang... Putri rindu abang.” Putri bangkit dan berlari ke arahku. Memelukku. Degupan jantungku bertambah pantas. Bulu romaku meremang. Perasaanku bertambah kacau. Perasaan gelisah dan bersyukur saling bertempur!

“Abang pun rindukan Putri,” balasku dalam suara yang tersekat-sekat. Perasaan sebak memberatkan jiwaku.

“Abang... kenapa jantung abang kuat berdegup?” Soalan Putri itu menyebabkan aku buntu.

“Abang tak apa-apa Putri.”

“Mana Ibu?” Itu adalah soalan yang paling sukar untuk aku jawab.

“Mana Ibu?” Putri bertanya lagi. Nada suaranya bertambah kuat.

“Mana Ibu?” Kali ini Putri bertanya dalam nada menjerit.

“Mana Ibu? Mana Ibu? Mana Ibu?” Putri mula menggila!

Semua kanak-kanak yang ada di sekitar situ terperanjat. Isma menangis. Puan Damia memeluk Isma.

Beberapa orang pegawai perubatan bergegas mendapatkan Putri.

“Maaf, Azim. Adik kamu masih dalam keadaan trauma.” Mendengar penjelasan pegawai perubatan itu, aku mengeluh.

“Putri rindu Ibu...” Putri menangis teresak-esak.

=O=

“Bagaimana keadaannya semasa mula-mula ditemui, Doktor?”

“Kami temuinya dalam keadaan yang amat parah. Dia tidak sedarkan diri. Luka pada perutnya agak serius.” Dr. Wahida, menjawab dengan nada yang tenang.

“Terima kasih, kerana menyelamatkan adik saya, Doktor.”

“Sama-sama. Itu tanggungjawab kami. Oh, ya. Kami amat kagum dengan proses penyembuhan adik kamu, Azim.”

“Maksud Doktor?”

“Luka Putri, sembuh dengan cepat.”

Aku bingung. Aku bukan doktor. Aku cuma seorang pelajar Tingkatan Lima. Tahun ini, aku sepatutnya mengambil peperiksaan SPM. Mungkin, sudah sampai masanya untuk aku bertukar cita-cita. Bukan lagi menjadi seorang doktor, tetapi seorang askar. Seorang pejuang.

“Adakah apa-apa yang boleh merisaukan kami, Doktor?” Puan Damia tiba-tiba bersuara.

“Buat masa ini tidak. Cuma mental Putri agak terganggu. Dia asyik menyebut nama kamu, dan memanggil Ibu kamu.”

“Seriuskah, Doktor?” Aku kembali mendapat idea untuk bertanyakan soalan.

“Dengan izin Allah, gangguan mental yang dialaminya boleh sembuh. Biarlah Putri dalam jagaan kami buat sementara waktu ini.”

Entah kenapa, aku tiba-tiba rasa tenang.

=O=

Aku, Isma dan Puan Damia meninggalkan bilik tersebut. Kami berjalan-jalan melepasi sebuah wad kecemasan. Jantung aku tiba-tiba berdegup kencang. Aku berhenti melangkah. Aku rasa aku mesti berhenti melangkah. Aku rasa aku mahu menjenguk ke wad kecemasan.

Aku melihat kepada seorang jururawat yang menjaga di luar wad kecemasan itu.

“Ada tak pesakit bernama Mahsuri binti Hashim di dalam ini?”

Jururawat itu memeriksa senarai nama pesakit.

“Maaf, encik... tak ada.” Jawapan itu mengecewakan aku.

Aku tunduk seketika. Aku memandang ke arah pintu wad kecemasan itu.

“Dah, jom kita pergi, Azim.” Isma memujukku. Aku dilanda kemurungan. Entah kenapa, rasa bersalah kuat menimpa diri aku. Kerinduanku terhadap Ibu menebal.

Pintu wad kecemasan itu terbuka. Seorang jururawat keluar. Dia ternampak aku. Aku memandang ke arahnya. Aku senyum. Kemudian, aku, Isma dan Puan Damia pun berlalu pergi.

=O=

“Apa yang budak tu tanya tadi, Ramlah?” Jururawat yang baru keluar dari wad kecemasan itu tadi bertanya kepada jururawat yang sedang bertugas menjaga di depan pintu wad kecemasan itu.

“Dia cari pesakit bernama Mahsuri binti Hashim.”

“Hmm... susah jugalah tu, sebab kebanyakan pesakit yang kita jumpa dalam keadaan koma. Tak ada kad pengenalan pula tu.”

=O=

Wad kecemasan. Terdapat banyak katil. Hampir semua katil ada penumpangnya. Di satu penjuru di dalam wad kecemasan itu, kelihatan seorang wanita berusia dalam lingkungan 40 tahun, dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bunyi nafasnya kuat kedengaran. Alat bantuan pernafasan, memudahkannya bernafas.

Wanita itu ialah Puan Suri. Tidak syak lagi, dialah ibu kepada Azim dan Putri. Dia ditemui dalam keadaan koma, beberapa hari yang lalu. Puan Suri tiba-tiba tersenyum. Mungkin dia sedang dilanda mimpi yang indah? Atau, mungkinkah disebabkan dia merasai kehadiran Azim di sekitarnya?

Rindu Azim terhadap adiknya, Putri, telah terubat. Namun rindu itu belum hilang sepenuhnya. Rindu terhadap ibunya, Puan Suri. Ketiga-tiga beranak itu perlu disatukan semula.

BACA KARYA KETIGA JIN GALAH: Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.