Home Cerpen Thriller/Aksi JIN GALAH
JIN GALAH
Amiene Rev
6/6/2015 15:43:14
4,538
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

JIN GALAH

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

NOTA: Ini adalah karya pertama dalam koleksi cerpen JIN GALAH.


“Jangan! Jangan buka!” Ibu berbisik dengan suara perlahan, tetapi tegas. Sudah lama bunyi ketukan di pintu itu kedengaran. Aku bertambah risau.

“Tak boleh ibu. Kalau kita biarkan, nanti Jin Galah akan datang ke sini.”

Benar. Aku tidak berbohong. Sejak beberapa hari lepas, perkampungan ini telah menjadi kawasan buruan sejenis makhluk aneh. Makhluk yang jatuh dari angkasa. Makhluk-makhluk ini setinggi galah, dan gemar menyamar sebagai pokok-pokok di dalam hutan. Menunggu mangsanya datang, sebelum menyambar, kemudian memakan isi perut mangsanya.

Sejak hari itu, setiap penduduk mula memaku papan ke setiap tingkap, dan tinggal dalam kegelapan. Rumah yang bercahaya sering menjadi sasaran Jin Galah.

“Biar saya pergi tengok, Ibu.” Aku memberanikan diri. Menentang kata-kata ibu. Bukan niat menderhaka, tetapi aku rasa perlu berbuat demikian. Aku tidak mahu keadaan menjadi semakin teruk. Aku mencapai sebilah parang panjang.

“Siapa?”

Tiada orang menjawab. Ketukan terhenti seketika.

“Siapa di luar?”

Tiada suara. Aku mengambil keputusan mengintai ke luar tingkap. Aku terlihat seorang gadis. Aku kenal gadis itu. Jahanam! Berani mendiamkan diri pada saat yang genting ini. Aku terus membuka pintu.

“Maafkan aa...”

“Masuk!” Aku pantas memotong percakapannya. Gadis itu melangkah masuk.

“Maafkan aku. Aku betul-betul nak minta maaf, Azim.”

Aku diam. Mengetap bibir. Geram. Pintu dikunci semula.

“Aku tak tahu nak buat apa masa tu.”

“Benda dah berlalu. Kau manusia. Aku manusia. Semua manusia buat silap.”

“Kau maafkan aku, Azim.” Gadis itu menangis teresak-esak. Ada riak kesal di wajahnya.

=O=

Lima hari lepas, adik perempuanku, Putri mengikut Isma, nama gadis tersebut pergi ke taman permainan. Pada ketika itu langit kelihatan gelap seperti hendak hujan. Tiba-tiba jatuh beberapa objek misteri dari langit. Beberapa orang budak menghampiri objek-objek misteri itu tanpa menyedari bahaya yang sedang menanti.

Sebaik-baik sahaja budak-budak itu menghampiri objek-objek misteri itu, keluar tangan sepantas kilat seperti akar menjalar, menyambar budak-budak itu satu demi satu. Objek-objek misteri itu seperti gumpalan rumput dan akar kering, bertukar menjadi makhluk kurus tinggi yang dipanggil Jin Galah. Dalam beberapa saat sahaja, mangsa-mangsa mereka digigit di bahagian perut dan terburai ususnya. Budak-budak yang hidup terus lari menyelamatkan diri, tetapi Jin Galah sebanyak tiga ekor itu terus mengejar dan menamatkan riwayat mereka satu persatu. Putri, merupakan salah seorang mangsa. Isma berjaya menyelamatkan diri.

Aku kesal Isma tidak menjaga Putri baik-baik. Aku kesal, membenarkan Putri mengikut Isma pada hari itu. Putri baru berusia 10 tahun dan Isma, 13 tahun. Isma, cuma jiran di sebelah rumahku.

=O=

“Siapa tu, Azim?” Kedengaran suara ibu dari ruang tamu.

“Isma...” aku menjawab lemah.

Ibu muncul di dapur. Ibu berkerut dahi memandang Isma.

“Kenapa datang ke sini, Isma? Ada apa-apa yang berlaku?” Ibu memandang Isma dengan wajah sayu.

Isma teragak-agak untuk menjawab.

“Kau jawab soalan ibu aku, Isma.” Suara aku kedengaran tegas. Aku tahu, hati aku masih marah, tidak puas hati dengan Isma.

“Kami kehabisan makanan.”

“Dan kau datang ke sini, nak habiskan makanan kami pula?” Pantas, aku mempersoalkan tindakan Isma.

“Okay... tak apalah, kalau macam itu. Maaf sebab datang mengganggu.” Isma tunduk, sedikit terkilan.

“Isma, emak kamu sihat?” Tiba-tiba Ibu bertanya.

“Emak sakit, sejak ayah tak pulang dua hari lepas.” Isma menggigit bibir.

“Sakit apa?” Ibu merenung tepat ke wajah Isma.

“Sakit biasa. Demam. Mungkin sebab tak cukup tidur.”

“Ayah kamu pergi ke mana?” Bertalu-talu soalan daripada Ibu.

“Ayah keluar mencari makanan. Sejak itu, ayah tak pernah balik ke sini.”

“Kamu tak tahu tempat mana dia pergi?”

“Katanya, bandar.”

“Dia tak telefon kamu?”

Isma menggeleng. Wajahnya tampak bertambah risau.

Ibu menarik dan kemudian menghembuskan nafas. Dia berjalan mendekati Isma.

“Ayah kamu tentu selamat. Dia pasti akan pulang.” Ibu menepuk bahu Isma.

Ibu membuka almari. Terdapat sedikit bungkusan plastik berisi biskut.

“Ambil ni. Untuk seketika. Semoga bencana ini cepat tamat.” Ibu mengunjukkan bungkusan plastik tersebut kepada Isma.

Isma serba-salah mahu mengambilnya. Namun, Ibu terus memujuk. Isma mengalah.

“Terima kasih.”

Isma berpusing, menghadap pintu dapur. Kemudian dia berpaling semula ke arah Ibu.

“Makcik... saya minta maaf... sebab saya... Putri...” Suara Isma tersekat-sekat. Sebak.

“Tak perlu kata apa-apa, Isma. Ajal maut di tangan Tuhan.” Ibu membelai pipi Isma. Mata Ibu bergenang.

“Kita semua rindukan Putri, tetapi Tuhan lebih sayangkan dia. Kita terpaksa terima...”

Aku tiba-tiba rasa berat di dada. Sebak. Putri satu-satunya adik perempuanku. Apabila Ibu berkata demikian, aku mula terasa kehilangannya.

“Terima kasih, Makcik.”

Aku menolong membukakan pintu untuk Isma.

“Hati-hati,” pesan Ibu.

Isma mengangguk. Isma menjenguk ke luar pintu, menoleh dan mengintai ke kiri dan ke kanan sebelum keluar.

Aku memandang Ibu. Ibu kelihatan sedang menekup mulutnya dengan tangan. Mata Ibu terpejam. Ibu sedang menenangkan diri. Kehilangan Putri memang satu kehilangan besar. Semua orang rindukan dia. Apa lagi sejak ketiadaan ayah. Dulu keluarga ini ada tiga orang. Aku, Ibu dan Putri. Kini, cuma tinggal aku dan Ibu. Ayah dah bertahun-tahun tak ada.

Aku mengeluh. Menghembuskan nafas, cuba melegakan rasa berat dan sebak di dada. Aku menarik kerusi, dan duduk. Tunduk.

=O=

Jeritan seorang gadis mengejutkan aku dan Ibu. Aku tahu, itu suara Isma dan emaknya. Kedengaran juga suara garau mengaum. Itu bunyi Jin Galah! Kedengaran bunyi perabot terbalik dan benda pecah.

‘Kita kena buat sesuatu!’ Itulah saranan suara hatiku. Namun aku kelu. Mati akal. Aku tidak tahu apa nak dibuat. Rumah Isma kira-kira 50 meter dari sini. Itu jarak yang sangat dekat.

Aku memandang Ibu. Ibu kelihatan seperti sedang berdoa.

Aku menjenguk ke celah-celah papan di tingkap. Nampaknya ada seekor Jin Galah sedang cuba masuk menerusi salah satu tingkap di rumah Isma. Sayang sekali rumah ini tak ada senapang.

Aku melihat apa-apa yang boleh digunakan. Aku ternampak botol. Minyak. Ya, pemetik api. Aku boleh buat bom dan baling kepada Jin Galah. Aku tak pasti apa akan berlaku ke atas aku selepas itu. Ada kemungkinan Jin Galah akan marah dan menyerang rumah kami pula. Apa pilihan yang aku ada sekarang? Terus membiarkan Jin Galah menyerang Isma dan emaknya yang sedang sakit, atau menyerang Jin Galah dan kami menjadi mangsa seterusnya? Ini memeningkan kepala. Kami semua terdesak sekarang.

Jeritan Isma dan emaknya tidak lagi kedengaran. Barangkali mereka bertindak mendiamkan diri. Namun Jin Galah bukanlah makhluk yang bodoh. Sedangkan Jin Galah sendiri bijak menyamar sebagai pokok untuk menunggu mangsanya. Jika Jin Galah tahu ada orang di dalam rumah itu, ia akan terus mencari dan mencari sehingga bertemu mangsanya.

Aku nampak Jin Galah sedang cuba mengopak tingkap rumah Isma. Kuat sungguh tenaganya. Nasib baik rumah Isma diperbuat daripada batu-bata. Badan Jin Galah yang besar dan tinggi tidak muat untuk masuk ke dalam rumah Isma menerusi tingkap itu. Terdapat jirai-jirai besi yang melindungi rumah Isma.

“Oh, tidak!” Aku ternampak Isma dan emaknya sedang keluar senyap-senyap dari pintu dapur rumahnya.

‘Jangan! Jangan!’ Aku sendiri pun tidak tahu apa hendak dikata. Isma dan emaknya sudah nekad untuk meninggalkan rumah itu. Aku yakin, mereka bercadang untuk datang ke mari.

“Ibu, saya jaga pintu dapur. Isma dan emaknya mungkin akan ke mari! Mereka sedang menyorok di belakang rumah sekarang!”

Ibu terpinga-pinga. Selepas berfikir seketika, Ibu mengangguk.

Aku sudah membuka kunci dan penghadang pintu dapur. Aku bersiap sedia untuk berteriak jika perlu.

“Isma dan ibunya sedang berlari ke mari,” kata Ibu. Nada suaranya kedengaran cemas.

“Baik.” Aku mengintai dari celah papan tingkap yang terdekat dengan pintu dapur.

Aku ternampak kelibat Isma dan emaknya. Mereka tidak mahu ke rumahku! Aku tersilap anggar. Mereka mahu pergi ke arah kereta. Mereka mahu melarikan diri dari kawasan ini!

Isma dan emaknya selamat masuk ke dalam kereta. Namun, mereka masih gagal menghidupkan enjin kereta. Jin Galah sudah sedar, mangsa-mangsa buruannya sudah tidak ada lagi di dalam rumah. Jin Galah menghampiri kereta tersebut. Isma dan emaknya pasti mati kali ini! Jin Galah menghampiri kereta dari depan. Mengaum sekuat-kuatnya di cermin depan. Aku yakin, Isma dan emaknya sedang terkencing di dalam seluar. Mereka betul-betul dalam bahaya.

Aku rasa aku tidak ada pilihan. Botol berisi minyak petrol. Pemetik api. Aku harus membakar Jin Galah itu. Aku sudah hilang akal agaknya. Aku tiba-tiba jadi berani. Aku membuka pintu dapur, keluar dari rumah, dan terus menghampiri Jin Galah. Aku tidak ingat apa-apa lagi. Apa yang ada dalam fikiran aku, aku mahu cuba menarik perhatian makhluk ganas itu dari terus mengancam Isma dan emaknya.

Jin Galah kelihatan bingung. Berang dengan tindakanku. Makhluk itu bergerak dan berjalan terhenjut-henjut ke arahku sambil mengaum. Mata hijaunya bulat menonjol keluar. Rahangnya ternganga luas menampakkan barisan gigi berduri dan lendiran air liur berwarna hitam pekat. Lidahnya sesekali terjelir keluar seperti lidah biawak. Badannya berwarna hitam umpama daun teh hitam yang dikisar. Atau barangkali seperti padang rumput yang terbakar. Itulah rupa fizikal Jin Galah.

Tangannya yang kurus panjang dengan jari-jari yang besar dan runcing dihayunkan ke arahku. Aku mengelak. Aku berundur sedikit demi sedikit. Kemudian aku memusingkan badan, membuka langkah dan berlari membelakanginya.

“Azim!!!!” Isma menjerit dari dalam kereta.

Ya. Aku tahu keadaan aku sekarang sangat bahaya. Aku berlari mengelilingi rumah Isma.

“Isma. Cepat lari!”

Isma tidak menjawab. Bunyi enjin kereta sedang dihidupkan kedengaran beberapa kali. Kereta itu kereta lama. Sudah lima hari tidak dihidupkan enjinnya. Baterinya sudah tentu menjadi lemah. Ini satu lagi masalah!

Aku sambil berundur sambil cuba menyalakan bom petrol yang diperbuat daripada botol itu. Nasib baik makhluk itu berjalan terhuyung-hayang dan terlalu banyak objek yang menghalang pergerakan makhluk besar seperti Jin Galah itu.

“Nah, engkau!” Aku membalingkan bom petrol itu ke arah Jin Galah. Bom petrol pecah dan badan Jin Galah mula disambar api. Jin Galah meraung sekuat-kuat hati. Jin Galah mengamuk. Dia mengejar aku dengan semakin pantas.

Ibu Azim membukakan pintu kereta belakang.

“Azim!!! Naik cepat!!” Emak Isma mengarahkan aku naik segera!

Aku sangat panik ketika itu. Arahan daripada Emak Isma itu bagaikan satu kata-kata pemukau, aku terus melompat ke tempat duduk belakang kereta itu. Kereta itu pun memecut laju meninggalkan rumah Isma.

Aku termengah-mengah. Jantungku berdegup bertalu-talu. Aku teringatkan sesuatu. Ibu. Ya, Ibu keseorangan di rumah. Aku menepuk dahi. Kecewa dan bengang dengan diri aku sendiri.

“Isma... kita kena patah balik.”

“Kenapa? Isma memandang ke arah cermin pandang belakang.”

“Ibu aku, Isma. Ibu aku masih ada di rumah aku tu!”

“Sekarang tak selamat, Azim. Kita akan patah balik, tapi tunggu lepas makhluk tu pergi.” Isma memberi jaminan.

Aku mendengus. Tidak begitu setuju. Nyawa Ibu dalam bahaya. Aku cuma berharap Ibu akan berdiam diri di dalam rumah. Tidak menarik perhatian Jin Galah. Aku cuba memujuk diri aku, bahawa Ibu seorang yang bijak dan tahu menangani situasi ini.

“Ibu... maafkan aku!” Aku sangat kesal kerana terpaksa meninggalkan Ibu. Ya, aku tidak berniat untuk jadi anak derhaka. Tadi, aku tak boleh berfikir langsung! Keadaan terlalu mendesak. Aku rasa seperti hendak menangis. Kesal. Barangkali, inilah perasaan Isma semasa gagal menyelamatkan Putri.

=O=

Sudah tiga jam berlalu. Aku, Isma dan emaknya sempat singgah mencari makanan di sebuah pasar raya terbiar. Kini kami sudah kembali ke halaman rumah kami. Tidak ternampak kelibat Jin Galah.

Aku mencapai beg plastik berisi makanan. Aku perlu cepat dapatkan Ibu.

“Bagaimana sekarang, kau masih hendak duduk di rumah itu?” Aku berhenti seketika.

“Kami kena tengok keadaan rumah kami dulu.”

Buat masa ini, Isma dan emaknya akan tinggal di rumah itu. Menunggu kepulangan ayahnya. Mereka masih berharap ayah akan pulang ke rumah.

“Baik.” Aku tidak bertanya apa-apa lagi. Aku terus berlari ke arah rumah.

Hati aku berdebar-debar apabila melihat pintu dapur terbuka luas. Terdapat kesan cakar di merata-rata tempat. Perabot di dalam rumah bertaburan. Pinggan mangkuk pecah di atas lantai.

“Ibu!!!!!!!!!!!!” Aku menjerit sekuat-kuat hati. Panik! Risau! Cemas! Menyesal sebab tinggalkan Ibu tadi. Aku berlari ke seceruk rumah mencari Ibu. Ibu tidak ada.

Aku ternampak pintu depan rumah terbuka. Perlahan-lahan, aku merapati pintu. Aku meninjau ke sekitar halaman rumah. Tidak ternampak tanda-tanda yang mencurigakan. Ibu sudah lari menyelamatkan diri, tetapi ke mana? Aku memaut dan menggosok-gosok kepala dengan kedua-dua belah tangan dan lenganku. Berserabut sungguh fikiranku kali ini! Aku mengetap gigiku. Geram! Marah! Bengang! Aku tak patut tinggalkan Ibu tadi, tetapi kalau aku tidak selamatkan Isma dan emaknya? Ahhh!!!!! Aku cuma mampu menjerit di dalam hati.

Isma dan emaknya muncul di pintu depan rumah.

“Azim??” Muka Isma nampak risau. Begitu juga emaknya.

“Ibu aku dah tak ada, Isma. Dia dah lari! Aku tak tahu dia lari ke mana.” Aku bercakap dengan suara tertahan-tahan. Sebak. Geram. Marah. Kecewa. Menyesal. Semua perasaan itu menyerang jiwa aku serentak.

Terbayang wajah Ibu sedang senyum. Terbayang wajah Ibu yang sugul ketika mendapat tahu kematian Putri. Terbayang wajah Ibu tersenyum dan ketawa ketika bergurau dengan aku semasa aku masih kecil. Kasih sayang dan kemesraan Ibu bangkit dalam bentuk memori, menggenang dalam mata yang berkaca-kaca. Mengalir lesu bersama air mata. Sekarang... sekelip mata Ibu dah hilang.

“Kita akan cari ibu kamu, Azim.” Emak Isma memujukku. Dia turut dilanda rasa bersalah. Namun, tidak ada siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini. Semua orang dalam keadaan bahaya. Darurat.

=O=

Pagi sudah menjelang. Hari baru bermula. Hari tanpa Ibu. Sudah lama kami tidak menonton televisyen. Kami tidak tahu, ke mana perginya askar-askar atau pasukan polis. Apa sudah berlaku dengan dunia ini? Kenapa tidak ada seorang pun datang menyelamatkan kami? Sudah lima hari kami berkurung di dalam rumah, dan sekarang... kami sudah tidak tahu di mana boleh kami mencari bantuan. Bandar juga lengang. Tidak ada sesiapa di sini. Adakah, cuma tinggal kami bertiga di kampung ini?

Jin Galah boleh muncul bila-bila masa sahaja. Kami mesti cepat pergi mencari Ibu. Isma menghidupkan enjin keretanya. Baru berusia 13 tahun tetapi sudah pandai memandu kereta. Budak kampung. Undang-undang jalan raya tidak begitu ketat di kampung.

“Azim... kita dah nak pergi.”

“Tunggu.” Aku teringatkan tin penyembur cat di dalam stor. Aku menyembur di pintu depan rumah. Aku menulis.

“IBU, KAMI KELUAR SEKEJAP MENCARI IBU. JIKA IBU PULANG. TUNGGU DAN SEMBUNYI DI DALAM RUMAH. KAMI PULANG SEBELUM MALAM.”

Aku membaca semula apa yang aku tulis. Aku puas hati. Aku harap, jika... tidak. Pasti. Ibu pasti akan pulang. Ibu akan baca apa yang aku tulis. Pasti...

“Azim...” Isma dan emaknya memandang aku dari dalam kereta. Ya, kami perlu pergi sekarang. Misi menjejaki makanan, dan mencari Ibu.

“Azim, pinjam penyembur tu?”

“Kau...” Aku dapat mengagak apa yang mahu dibuat oleh Isma.

Ya. Isma menulis benda yang sama di di depan rumahnya. Isma menyampaikan mesej kepada ayahnya.

Kami perlu bertahan. Sehingga Ibu aku, dan ayah Isma pulang. Kami harus kuat mempercayai bahawa mereka berdua masih hidup. Di mana-mana. Kami cuma mampu berusaha. Kami berdoa. Kami juga bersedia untuk... pasrah.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.