SELESAI makan malam, Rus mahu
segera mengemas dapur dan mencuci pinggan mangkuk. Dalam sibuk berkemas,
tiba-tiba sahaja ada seseorang berdiri di sebelahnya. Bau haruman yang dipakai
menusuk hidungnya. Tahulah Rus siapa gerangannya.
Isaac yang masih berbaju Melayu
dan berkain pelekat tersengih. “Tak siap lagi?” soalnya.
“Awak pergilah berehat, sikit
aje lagi ni.” Rus meneruskan kerjanya.
“Sian awak,” ucap Isaac yang
bersimpati dengan isterinya.
Hari ini, mereka berdua tidak
merasa jadi raja sehari, sebaliknya hanya sekerat hari! Selepas majlis kenduri,
cuma dapat berehat sekejap sahaja. Selepas solat asar, Rus mula membantu
saudara-mara berkemas di dapur.
Isaac pula membantu mengemas
kerusi meja dan mencuci kawah dan periuk yang besar gajah. Sudahlah besar,
berat pula. Tertonggeng-tonggeng dia mencucinya. Memang mat salih kena dera
sungguh!
“Ini memang kerja saya pun. Kat
rumah awak nanti, saya akan buat jugak,” tutur Rus.
“Rumah kita.” Isaac terus
betulkan.
“Yalah,” balas Rus, pendek.
Isaac kembali ke bilik.
Hendak berbual-bual dengan ahli keluarga isterinya, dia tidak nampak sesiapa
pun di ruang tamu. Sudahnya dia berbaring di atas katil. Seketika dia
memejamkan mata. Macam mana pun dia akan berusaha mencuri hati isterinya.
Kedinginan Rus tidak mematah semangatnya untuk meraih cintanya.
Tidak berapa lama
kemudian, Rus masuk ke bilik. Dia menutup pintu perlahan-lahan sebaik menyedari
Isaac sudah lena. Lama matanya melirik pada lelaki yang telah bergelar
suaminya. Ketika ini, tidak tahu apa yang bermukim di hati.
Sejauh mana dia cuba hendak lari, jodohnya datang
juga. Dahulu dia mengelak ditunangkan, tetapi tidak berjaya. Akhirnya dia rasa
bersyukur apabila tidak jadi berkahwin dengan Huzaif. Ingatkan boleh bersuka
ria, namun terpaksa menerima Isaac sebagai suami walau dirinya masih belum
bersedia.
Isaac yang pura-pura terlena, sesekali membuka
mata memerhati Rus yang kini duduk termenung di sofa.
Spontan Rus berpaling
memandang ke arah Isaac. Darahnya berderau. Lelaki itu sedang merenungnya?
Bukankah tadi dia sudah tidur? Rus mula gelisah apabila Isaac bangun dari
pembaringan.
“Kenapa tak tidur lagi?”
tegur Isaac lalu duduk rapat di sebelah isterinya.
Rus beranjak sedikit agar
tidak terlalu rapat dengan suaminya.
“Rus masih terkejut sebab
tiba-tiba sahaja saya muncul dan jadi suami Rus, kan?” duga Isaac.
Rus berdeham perlahan.
Mahunya dia tidak terkejut? Sesiapa pun pasti mengalami perasaan yang sama
dengannya.
“Ada sesiapa bercerita
pasal saya pada Rus?”
Rus menggeleng perlahan.
“Nak tahu?”
Rus angguk.
“Isteri saya hanya pandai
angguk dan geleng aje ke?”
Rus mengeluh kemudian
mencebik, tanda tidak suka dengan usikan itu.
“Rasanya lain kali ajelah
saya cerita. Sekarang ni saya nak berehat. Jom!” ajak Isaac.
Rus tidak berganjak dan
pura-pura tidak mendengarnya.
Isaac
capai tangan Rus lalu digenggam erat. “Percayalah, saya sayangkan Rus dan tiada
wanita lain selain awak,” ucap Isaac.
“Kenapa
awak nak beritahu semua tu? Saya tak tanya apa-apa pun.”
“Saya
beritahu sebab nak awak tahu rahsia di hati saya,” jawab Isaac.
Rus
senyap dan wajah Isaac dipandang sekilas.
“Saya
tak mampu nak baca hati awak, tapi saya yakin apa yang ada dalam hati saya.
Saya benar-benar sayangkan awak, Rus…” luah Isaac untuk sekian kalinya.
Tiba-tiba
Rus berasa sebak. Tidak semena-mena ada air mata yang mahu menitis. Isaac terus
membawanya ke dalam pelukan. Dia pantang andai melihat orang yang disayangi
bersedih. Selepas beberapa ketika, Isaac merungkai pelukan.
“Kenapa
awak nangis?” tanya Isaac sambil menatap wajah isterinya.
Rus diam
sahaja, namun sedikit teresak.
“Rus?”
Nama isterinya diseru.
“Saya
tak layak untuk awak…”
“Janganlah
cakap macam tu. Kita telah ditakdirkan untuk bersama,” pujuk Isaac.
Ini yang
dia tidak suka dengar. Mula-mula dia merasakan Rus tidak sukakan perkahwinan
ini. Sekarang gadis itu merasakan dirinya tidak layak pula. Susah sungguh Isaac
mahu memahami isterinya.
“Awak
tak patut jadi suami saya,” tutur Rus yang masih bersedih. Sama ada Huzaif atau
lelaki lain, dirinya belum benar-benar bersedia untuk menjadi seorang isteri.
Itulah masalah yang mengganggu fikirannya selain risaukan fasal tanggapan Amy
tentang dirinya.
“Rus
kena terima apa yang berlaku. Saya ikhlas ambil Rus sebagai isteri saya,” jelas
Isaac.
Seketika
Rus menarik nafas panjang. “Saya minta maaf, saya memang susah nak beri hati
saya pada awak.” Rus berkata dengan nada penuh rasa bersalah.
“Kenapa?”
Isaac berasa terkilan mendengarnya.
Rus
menggeleng sambil mengesat air matanya.
“Percayalah
pada saya. Rasa cinta terhadap awak sudah tertanam sejak pertama kali saya
jumpa awak.”
Aduhai,
kali ini Rus sudah tidak boleh tahan. Bicara Isaac memang meruntun jiwa. Air
matanya seakan tidak mahu berhenti. Pada masa yang sama ada perasaan halus
mengepung seluruh jiwanya.
“Rus,
tolong bagi peluang kat saya,” ucap Isaac sungguh-sungguh.
“Saya
tak boleh nak janji apa-apa kat awak,” balas Rus. Bicara Isaac tidak mampu
mengusir resah di hatinya. Dia tetap berasa curiga dan ragu-ragu dengan
perasaan sendiri.
“Saya
pun tak nak Rus janji macam-macam kat saya. Sentiasa di samping saya sebagai
isteri, itu sudah cukup bagi saya,” balas Isaac.
“Maaf
sekali lagi. Saya tak pasti saya akan jadi isteri yang baik untuk awak.”
“Janganlah cakap macam
tu. Apa yang penting, saya nak Rus yakin yang saya sayang dan cintakan Rus. Saya
dah buktikan dengan mengahwini awak,” tutur Isaac.
Rus hilang bicara. Apa
yang Isaac jelaskan menunjukkan tiada perempuan lain di hatinya. Tiba-tiba
wajah Amy kembali menyapa. Tidak dapat dia bayangkan andai gadis itu tahu
lelaki pujaannya telah menjadi miliknya.
Rus benar-benar risau.
Dalam diri Amy ada satu semangat yang sukar untuk diduga. Apatah lagi apabila
dia sudah mengambil keputusan memilih seorang lelaki yang dipuja. Amy pasti
melakukan apa sahaja demi mencapai keinginannya. Diri Rus pula terperangkap
dalam kemelut ini.
“Rus, senyumlah! Saya tak
nak tengok awak bersedih pada hari kita sepatutnya gembira.”
Seketika mereka saling
berpandangan. Isaac mengukir senyuman lebar dan mengharapkan Rus membalasnya
dengan senyuman manis.
“Tak payahlah asyik
senyum!” tegur Rus yang mula berasa segan.
“Senyuman adalah pengubat
jiwa yang gundah. Saya senyum kerana saya rasa sangat gembira. Juga sebab
selesa dengan status saya sebagai suami awak.”
Akhirnya Rus tersenyum juga. Dari pandangan mata
saja, dia dapat rasakan lelaki itu tidak berpura-pura.
“Nak sayang, boleh?” tanya Isaac tiba-tiba.
“Apa
awak cakap? Tak dengar…” tanya Rus yang memang sedang mamai!
“Tiba-tiba
teringin bekejaran dan beriadah petang-petang sambil main layang-layang, tentu best, kan?” Isaac pusing bicara, takkan
nak ulang balik ayat tadi?
“Main
layang-layang? Awak dah besarlah!”
“Saya
memang bukan budak kecik, tapi saya teringin nak ada budak kecik…”
Rus naik
seram mendengarnya. ‘Habis kau Rus!’ bisik hatinya.
“Kalau boleh, saya nak hidup bahagia dan sentosa
dengan awak,” tutur Isaac.
‘Sentosa?’ Rus rasa hendak tergelak mendengarnya,
tetapi segera ditahan. Dia faham apa yang ingin Isaac sampaikan. Namun, yang
terbayang di mindanya adalah taman perumahan dan bukannya suasana aman-damai!
“Awak gelakkan saya, ya?”
“Mana ada!” Cepat sahaja Rus menafikannya.
“Tengok muka awak pun saya tahu, awak mengutuk
saya dalam diam,” tuduh Isaac.
“Okeylah saya minta maaf. Tak ada niat pun nak
kutuk awak, cuma apa yang awak cakap tu kelakar.”
“Apa yang kelakar? Saya serius nak bahagiakan
awak.”
“Sebenarnya perkataan sentosa tu yang kelakar,”
beritahu Rus.
“Tak boleh ke guna perkataan sentosa tu?”
“Eh, bukan! Boleh aje nak guna, tapi jarang
digunakan ketika menggambarkan impian sesebuah perkahwinan.”
“Habis tu, nak guna perkataan apa?”
“Bahagia tu pun dah cukup, semua orang faham.”
“Hmm… nak buat apa ya, sekarang ni?” tanya Isaac
pula.
“Kalau awak mengantuk, tidurlah,” saran Rus.
“Ni malam pertama kita. Tak mat salih la kalau
tidur sekarang. Pukul sebelas pun belum!” ujar Isaac kemudian tersenyum nakal.
Rus mengetap bibir menahan debaran di
dada.Perkataan malam pertama membuat Rus berasa galau.
Dia cuba berlagak biasa.
“Termenung pulak!” tegur Isaac.
“Takkan awak tak berasa penat langsung?” tanya
Rus.
“So,
tak ada harapanlah?” usik Isaac pula.
“Harapan apa?” Rus semakin pelik dengan
pertanyaan lelaki di sebelahnya ini.
“Inilah masanya kita sambung berborak, bercerita
dan merapatkan hubungan.”
“Boleh tak kalau awak bertimbang rasa sikit
dengan saya? Sungguh, saya rasa penat sangat,” ujar Rus menagih simpati.
“Awak kata awak penat, tapi awak tak berehat dan
tidur pun,” balas Isaac pula.
“Saya nak tidur la ni. Kalau awak tak mengantuk,
pergilah berborak dengan abah. Abah pun selalu lambat tidur. Kata nak jadi menantu
mithali…”
“Okey. Nak
buat macam mana, kan? Kalau isteri dah halau,” keluh Isaac.
“Awak… tolonglah! Saya bukannya halau awak.”
“Kalau macam tu, jom kita berbaring dan berehat,”
ajak Isaac. Dia sedar isterinya itu penat dengan berbagai perkara. Dirinya pun
sama dan perlukan rehat yang panjang.
Rus masih tidak membalas
apa-apa.
“Jangan risau, saya hanya
nak tidur sebelah isteri saya. Tak ada apa-apa penambahan pada perkataan itu.”
Rus terus menjeling
tajam. Tidak suka dengan gurauan suaminya.
“Berdosa tau kalau tak
patuh arahan suami.” Isaac mengingatkan sambil menghulurkan tangannya.
Rus serba salah. Dia
boleh sahaja bangun sendiri, tak perlu lelaki itu membantu. Atau suaminya nak
suruh dia salam tangannya?
“Ni… nak saya kendong ke
katil ke? Saya okey aje.”
Tanpa memandang Isaac,
Rus bingkas bangun dan menuju ke katil. Sebaik berbaring, cepat-cepat dia tarik
selimut menutupi tubuhnya hingga ke leher. Dia sudah
dihambat rasa malu terhadap Isaac.
Isaac tertawa melihat
gelagat isterinya. Sebelum berbaring, dia menutup lampu bilik.
Perlahan-lahan cahaya
lampu dari ruang tamu menerobos masuk. Isaac memandang wajah Rus dalam suram
malam. Isterinya itu masih berjaga. Begitu pun Rus terus pejam mata sebaik
matanya bertemu mata Isaac yang sedari tadi memerhatinya.
Sungguh, Isaac tidak betah malam berlalu dalam
kesepian. Dia sengaja mahu berbaring rapat dengan Rus. Sebaliknya, Rus tolak kuat tubuh Isaac, tetapi lelaki ini masih
mahu mendekati. Akhirnya Isaac akur apabila Rus menjelingnya tanda tidak suka.
“Rus… sekarang kita dah kahwin
pun. Saya nak jadi suami terbaik untuk awak sebab saya yakin awak akan jadi
isteri terbaik untuk saya,” tutur Isaac.
“Yalah, saya terima
awak sebab awak terima saya seadanya...” Rus cuba untuk tersenyum. Mata hanya
memandang Isaac sesaat sahaja. Segan dia hendak pandang lama-lama.
Isaac tersenyum lagi.
Senyuman yang bisa sahaja mencairkan hati Rus yang sejuk beku. Sedar-sedar,
sudah tenggelam dengan kemesraan yang Isaac pamerkan.
Sesekali Isaac
julingkan anak mata ke atas, menghalau resah di kalbu. Dia menghela nafas
kemudian menyorot wajah manis isterinya. Tidak berapa lama kemudian, dia telah
hanyut dibuai mimpi kerana terlalu penat.