RUS leka membelek pokok bongsai
berhampiran kolam renang. Tag nama di batang pokok tertulis Wrightia religiosa
variegated. Nama bukan main canggih, tapi orang biasa panggil pokok melati
batik saja pun. Ia selalu ditanam sebagai tanaman tumpuan di sesuatu kawasan.
Tadi, selepas habis mesyuarat di pejabat
klien, Kak Ina whatsapp dan suruh dia terus ke Micasa Hotel di Jalan Tun Razak.
Sebenarnya Tuan Malik ada janjitemu dengan seorang klien, tetapi dia ada hal
lain pula. Sudah alang-alang Rus berada berdekatan, bosnya mahu dia singgah di
situ.
Kak Ina ada beritahu yang klien akan
berada di sana dalam pukul 11.00 pagi. Setiausaha bosnya itu hanya memberi nama
sahaja, tetapi tidak disertakan dengan nombor telefonnya. Kalau klien lambat,
Kak Ina suruh tunggu sahaja sehingga dia tiba. Klien sendiri akan menghubungi
Rus dan mencarinya di sana.
Rus mengerling lagi jam tangannya, kini
sudah menghampiri 11.30. Dia mengeluh kerana orang itu masih belum
menghubunginya. ‘Kerek sangat ke klien tu sampai aku tak boleh hubungi dia dan
terpaksa jadi penunggu?’ Dia tertanya sendiri.
Ketika Rus asyik dengan keindahan landskap
yang menyamankan, kedengaran seperti seseorang menyapanya. Begitu pun dia buat
tidak tahu sahaja. Mana mungkin ada orang yang mengenalinya. Ketika ini, yang
ada di sekitar kolam renang hanyalah beberapa minah salih bersama anak-anak
mereka. Dia tidak nampak langsung muka orang Melayu.
“Hai, tak sangka jumpa awak kat sini…”
tegur suara itu lagi.
Kali ini Rus hampir pengsan kerana suara
itu betul-betul hampir dengan dirinya. Lebih tepat, orang itu berbicara di tepi
telinganya. Nasib baik pakai tudung. Kalau tidak, gugur cuping telinga dia!
Rus menoleh dan memandang wajah yang
menegurnya. Sungguh, ketika ini dia amat terkejut dan tidak percaya gerangan
yang berdiri di sisinya. Dia segera menutup mulut yang ternganga.
“Saya tersalah cakap ke?” sambung lelaki
itu sebaik melihat reaksi Rus.
Tiba-tiba Rus tidak tahu hendak respons
bagaimana. Dia cuba mententeramkan dirinya. Rasa seperti baru lepas berlari
seratus meter dengan pantas. Tercungap dan sesak nafas!
“Awak buat apa kat sini?” Lelaki itu
masih ramah seperti pertemuan tempoh hari.
“Saya ada janjitemu dengan klien,”
terang Rus perlahan.
Dia masih cuba mengawal debaran di dada.
Banyak-banyak tempat di Kuala Lumpur, di sini pula mereka berjumpa semula.
Kenapalah tidak berjumpa di kayangan sahaja? Sempat juga Rus mengomel dalam
hati.
“Dah jumpa ke belum?”
“Tak, bayang dia pun saya tak nampak.
Itu yang saya tak suka janji Melayu ni,” kompelin Rus.
“Orang tu yang datang lambat, kenapa
bangsa pulak dipersalahkan?”
Rus terdiam. Pedas sekali bicara lelaki
itu, tidak padan dengan orangnya. Kenapalah dia tersilap cakap?
“Bukan itu maksud saya...” Rus
cepat-cepat betulkan keadaan.
“Tak apa, saya faham. Memang ramai yang
selalu berkata kononnya on the way,
tapi sebenarnya tak bertolak lagi pun.” Lelaki itu tersenyum.
“Tulah, kalau terlewat sikit atau
terperangkap dalam kesesakan, beritahulah. Ni, buat saya tertunggu-tunggu
pulak,” bebel Rus lagi.
“Sian awak…”
“Pasal sweater awak tu, saya minta maaf
banyak-banyak.Hari tu saya terlupa
nak pulangkan,” pohon Rus sebaik teringat harta karun itu.
“Tak apa. Sweater aje pun, bukannya
hati…” ucap mat salih. Tetapi perkataan ‘hati’ itu, tidak kedengaran. Ia hanya
terucap dalam sanubari!
“Awak sebut apa tadi?” tanya Rus yang
perasan seperti lelaki itu mahu mengucapkan sesuatu.
“Tak ada apa-apa, lupakan aje.
Memandangkan klien yang awak nak jumpa tu tak sampai-sampai, jom saya belanja
awak minum.”
“Hmm…” Rus berkira-kira sendiri sama ada
hendak menerima atau menolak.
“Jangan risau. Kalau dia dah sampai,
mesti dia akan callawak.”
“Okeylah, saya pun dah haus.” Akhirnya
Rus bersetuju dengan pelawaan lelaki itu.
Mereka beriringan menuju ke restoran.
Tanpa Rus duga, mat salih membantunya menarik kerusi ketika dia mahu duduk.
Terpaksalah dia berlagak selamba.
“Terima kasih,” ucap Rus dalam segan.
Pertama kali dalam sejarah hidupnya seorang lelaki bersikap gentleman terhadapnya.
Tidak berapa lama kemudian, seorang
pelayan datang bersama buku menu.
“Awak nak makan?”
“Tak apalah, saya nak minum aje. Ice lemon tea, please,” beritahu Rus.
“Saya nak fresh orange,” beritahu mat salih.
Rus terpaksa melemparkan pandangan ke
arah kolam renang. Takkan asyik bertatapan dan menghadap putera kayangan
sahaja?
“Eh, janganlah senyap. Saya suka berbual
dengan awak,” tegur mat salih selepas pelayan restoran beredar.
“Macam mana nak pulangkan sweater awak
tu?” tanya Rus. Sebolehnya dia tidak mahu menyimpan barang milik lelaki itu.
“Sweater tu jugak yang awak ingat! Tak
payah pulangkan, saya hadiahkan aje kat awak.”
“Janganlah buat saya berasa segan.
Dahlah hari tu saya kantoi dengan awak,” balas Rus.
Mata mat salih masih tidak beralih dari
menatap wajah Rus. Dia sedar yang gadis di hadapannya ini berasa kurang selesa.
Bertambah tidak keruan apabila dirinya sengaja merenung lama-lama wajahnya.
Ketika pelayan sampai dan berdiri
berhampiran meja mereka, tiba-tiba sahaja Rus berpaling ke kiri. Tanpa sengaja,
tangannya tersinggung dulang yang ada air minuman. Gelas tergolek dan ice lemon tea tumpah ke atas blaus Rus.
Seluar dia turut basah.
“Maafkan saya, maafkan saya…” pohon
pelayan dengan rasa amat bersalah. Dia segera menghulurkan tisu kepada Rus.
“Tak apa,” jawab Rus sambil mengelap
blausnya.
Apabila beberapa tisu yang digunakan
masih tidak mencukupi, mat salih menghulurkan sapu tangannya kepada gadis itu.
Rus terus ambil dan mengelap seluarnya
pula.
Beberapa ketika kemudian, Rus pandang
mat salih yang sememangnya sedari tadi asyik merenungnya. “Kenapa?” Hatinya
sudah mula cuak dengan situasi ini.
“Awak sebenarnya nak marah, kan? Tapi
sebab saya ada, awak simpan marah awak tu,” usik mat salih sebaik pelayan
berlalu.
“Tak adalah! Saya tahu dia bukannya
sengaja. Lagipun salah saya jugak,” nafi Rus sambil menghulurkan sapu tangan
tadi kepada mat salih.
Mat salih sambut dan letak di sebelah
telefon pintarnya, kemudian dia tersenyum-senyum sambil menggeleng.
Rus sudah tunjuk muka geram. Perasaan
hatinya kuat mengatakan yang lelaki itu mengutuknya dalam hati.
“Awak ni selalu gabra bila berhadapan
dengan lelaki, ya?” duga mat salih.
Soalan spontan daripada lelaki itu buat
Rus terkejut. Tidak tenteram jiwa dibuatnya. “Apa maksud awak?”
“Saya yakin awak tak pernah bercinta dan
berdating. Ya, kan?” Sekali lagi mat salih menduga.
Rus menjeling tajam. “Apa kena-mengena
dengan bercinta pulak?” Dia memang kaget dengan pertanyaan lelaki itu.
“Rasanya insiden tadi selalu ada dalam scene drama kat TV. Agaknya apa heroin
tu buat bila hero telah menolongnya?” tanya mat salih, selebihnya memang mahu
mengusik Rus!
Wajah Rus terus merona merah.
“Astaghfirullahalazim… sorry…”ucapnya.
Ketika ini memang Rus berasa amat segan.
Tanpa membuang masa, dia terus ambil semula sapu tangan tadi lalu dia letak
dalam beg tangannya. Walaupun ia sedikit lembap, terpaksa juga dia sumbat agar
tiada lagi usikan daripada lelaki itu.
Mat salih tertawa melihat gelagat Rus.
Aduhai, tidak pernah Rus berasa semalu hari
ini. ‘Kenapalah aku bodoh sangat? Aku patut basuh dulu, gosok dan baru
pulangkan balik kat dia!’ Rus berbicara sendiri.
“Janganlah terasa hati, saya takkan
gelakkan awak lagi. Tapi saya memang suka tengok awak.” Mat salih bersuara
setelah diam seketika.
“Dah, tak payah cakap pasal tu lagi.”
Semakin lama Rus bersama lelaki ini, lagi tidak tentu arah jadinya.
“Kita ni asyik berbual aje. Sejak dari
pertemuan pertama lagi saya tak tahu nama awak.” Pandai sahaja mat salih
menyusun ayat.
“Panggil saya, Rus.”
“Rose, bunga mawar tu?”
“Bukan R.O.S.E. Ejaan nama saya R.U.S.
Bunyinya serupa, tapi ejaannya lain sikit. Awak pulak?”
Belum sempat mat salih beritahu namanya,
telefon pintarnya berdering.
“Ya, tuan,” ucapnya.
“Sorry.
Saya ada hal penting, tak dapat jumpa awak. Dah jumpa staf saya?”
“Belum, tuan. Jangan bimbang, nanti saya
berikan dokumen tu pada dia.”
“Okey, jumpa you lain kali.”
“Okay
bye…”
Panggilan diputuskan, kemudian mat salih
meletakkan kembali telefon pintarnya di atas meja. “Sorry, ada panggilan pulak.”
“Awak datang sini sebab nak jumpa orang
jugak ke?” tanya Rus.
“Hmm…” Mat salih berdeham kemudian
tersenyum-senyum.
“Ke… awaklah klien yang saya patut jumpa
tu?” tanya Rus. Ini yang buat dia tidak senang duduk.
“Awak patut berjumpa dengan siapa?” Mat salih
bertanya balik.
“Entahlah, yang saya ingat Isaac aje,”
beritahunya.
“Sayalah tu…” ujar mat salih dan terus
tertawa.
Rus pula, rasa nak buat lompat kijang
dan terus menghilang dalam hutan batu!