RUS memandang wajahnya di cermin. Tadi, Nurul yang menyolek
dirinya. Apabila terpaksa berkahwin tanpa rela, beginilah jadinya. Dia tidak
mahu mak andam atau orang lain menyentuh wajahnya.
Dia langsung tiada hati hendak kelihatan cantik dan menawan
pada hari pernikahannya. Setelah Nurul memujuk dan mengatakan wajahnya pucat
seumpama mayat, terpujuk juga hatinya untuk bersolek.
Rus memang bersyukur apabila sahabatnya itu tiba pada awal
pagi seperti yang dijanjikan. Kasihan juga dia dengannya kerana keluar subuh
hening dan memandu jauh. Ketika akad nikah nanti, hanya gadis itu yang akan
menemaninya sebagai pengapit. Dirinya tidak seperti pengantin lain yang selalunya
di kelilingi dengan sahabat handai.
Saat ini, debaran di dada Rus semakin menghimpit dirinya.
Sukar sungguh untuk dia menenangkan hatinya. Risau memikirkan kehidupan selepas
ini. Tidak terbayang bagaimana berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali,
malah tidak pernah bersua muka.
Rus semakin gementar. Hanya tinggal lima belas minit sahaja
lagi, dirinya akan berubah status dan bergelar isteri. Mampukah dia menggalas
tanggungjawab dan hidup bersama insan yang begitu asing dengannya?
“Tenang Rus. Tak lama lagi, selamatlah,” pujuk Nurul yang
menyedari perasaan sahabatnya itu tidak tenteram.
“Entahlah, tak tahu nak cakap macam mana. Perjalanan hidup
aku baru bermula. Nanti, entah apa di depan dan kiri kanan aku,” luah Rus.
“Yang pasti ada seseorang kat sebelah kau!” gurau Nurul
kemudian tertawa kecil.
“Itu yang buat aku tak tentu arah…”
“Relaks dan tarik nafas,” suruh Nurul. Dia juga turut menarik
nafas panjang.
Apabila terdengar keriuhan di luar rumah, Nurul amat pasti
pengantin lelaki telah tiba. Dia segera menuju ke tepi tingkap dan menjenguk ke
luar.
“Eh, kenapa dia boleh ada bersama rombongan lelaki?” sebut Nurul dengan reaksi terkejut.
“Siapa?” Tiba-tiba jantung Rus berdegup kencang. Kalau
ikutkan hati, dia pun mahu tengok wajah bakal suaminya. Tetapi terpaksa
dibatalkan, rasa kurang sopan pula kalau dia mengintai di tingkap.
“Siapa lagi? Jejaka misteri idaman Amy tu la. Tengok pakaian
dia, macam dia pulak yang jadi pengantin lelaki!” beritahu Nurul.
Rus sudah cuak mendengarnya. “Kau biar betul?”
“Aku pernah terserempak dengan lelaki tu semasa aku makan
dengan Amy,” jelas Nurul. Matanya memang tidak salah melihat.
“Macam mana ni, Nurul?
Apa aku nak buat sekarang ni?” tanya Rus.
Saat ini dia sudah tidak keruan. Apa yang dilakukan serba
tidak kena. Berdiri salah, duduk pun salah. Mengingatkan Amy, lagi dia berasa
amat bersalah.
“Kalau betul lelaki tu yang akan jadi suami kau, terpaksa
terima la. Dalam situasi sekarang, apa aje pilihan yang ada?” balas Nurul pula.
“Nanti macam mana aku nak berhadapan dengan Amy?” Rus semakin
cemas.
“Sekarang ni aku nak tanya. Sanggup ke kau malukan keluarga
kau?”
Pertanyaan Nurul buat Rus terdiam.
“Berani berdiri kat depan semua orang dan batalkan majlis
ni?” tanya Nurul lagi.
Rus menggeleng.
“Kalau macam tu, terimalah ketentuan takdir. Mungkin ia
bukanlah apa yang kau nak, tapi itulah yang terbaik buat masa ni,” pujuk Nurul.
Tiba-tiba Rus bertambah bimbang. Lengan Nurul dia pegang kejap,
cuba mencari kekuatan. Ketika ini, rasa hendak pitam pun ada juga.
“Rus, kau jangan pengsan pulak!” Nurul turut cemas melihat
keadaan sahabatnya.
“Habislah aku kalau Amy tau.” Rus menyatakan kerisauannya.
Sekarang ini pun dia rasa bagai tidak cukup oksigen untuk bernafas.
“Tenang Rus. Tarik nafas perlahan-lahan, kemudian lepas,”
arah Nurul sambil memeluk bahu sahabatnya. Dia juga menarik nafas.
Tiba-tiba pintu bilik dibuka dari luar. “Nurul, bawak
pengantin keluar,” pesan mak saudara Rus.
“Ya, kejap,” sahut Nurul, kemudian kembali memandang
sahabatnya.
“Kau dah okey, Rus?”
“Tolong aku Nurul… kau janji jangan lepaskan tangan aku.
Duduk sebelah aku...” pinta Rus.
“Yalah. Sekarang ni kau tak payah fikir perkara lain. Hal Amy
tu, kau tolak tepi dulu,” nasihat Nurul.
Perlahan-lahan mereka beriringan menuju ke ruang tamu. Rus
melangkah dengan perasaan berdebar-debar. Di matanya bagai tiada apa yang dia
nampak, yang kelihatan seakan ruang kosong yang sangat luas.
RUS menahan rasa sebak. Debaran di dada bagai menghentak
jantungnya. ‘Ya ALLAH, permudahkanlah urusan pernikahanku ini,’ doanya
berkali-kali.
Ketika upacara
akad nikah akan berlangsung, sedaya upaya Rus cuba untuk bertenang. Namun,
masakan boleh? Fikirannya sudah serabut dihujani dengan berbagai-bagai perkara.
Wajah Amy juga terbayang-bayang di ruangan mata. Mujur gadis itu memang tidak
dapat datang ke majlisnya. Andai gadis itu muncul, runtuh semua khemah!
Buat masa ini Rus masih boleh menarik nafas dengan teratur,
tetapi dia tetap risau. Tiba masanya, pasti Amy akan tahu juga yang dia
berkahwin dengan lelaki idamannya. Mesti Amy akan mengamuk dan tuduh dirinya
perampas. Itu yang dia tidak sanggup hadapi.
Dalam keadaan fikiran yang berkecamuk, akhirnya Rus selamat
diijabkabulkan dengan Shah. Tanpa benar-benar kenal dan bercinta, terus sahaja
berkahwin dengan sebegitu mudah.
Rus berusaha memaniskan wajah walau getaran di jiwa bagai
sukar dikawal. Tidak berapa lama kemudian, pengantin
lelaki menghampirinya untuk menyarung cincin. Perasaan di hatinya hanya TUHAN
yang tahu. Betapa tidak keruannya dia saat ini.
Tiba-tiba mata Rus tidak berkelip. Berkerut
dahinya tatkala matanya dapat mengenal pasti wajah yang kini tersenyum di
hadapannya. Dia? Sungguh Rus tidak duga lelaki itu yang jadi suaminya. Bertambah
galau apabila dia turut ternampak bayang-bayang Amy di sebelahnya!
Mengenangkan sahabatnya itu, dia dihimpit
rasa bersalah. Rasa menggeletar seluruh tubuh saat jari-jemarinya disentuh
suami buat pertama kalinya. Begitu pun cincin bertakhtakan berlian tersarung
cantik di jari manisnya.
Dalam kekalutan hati, Rus tunduk menyalam
dan mencium tangan suaminya. Dia terus memejamkan matanya saat pengantin lelaki
mengucup lembut keningnya.